Topik diikuti
Pergi ke BHkuAS syaki perisik China dekati CEO Nvidia melalui syarikat di S’pura
Laporan risikan dakwa eksekutif Megaspeed salur maklumat kepada Beijing; hubungan rapat dengan Jensen Huang cetus kebimbangan keselamatan negara di Washington
AS syaki perisik China dekati CEO Nvidia melalui syarikat di S’pura
WASHINGTON: Agensi perisikan Amerika Syarikat mengesyaki seorang eksekutif syarikat pusat data berpangkalan di Singapura, Megaspeed, bertindak sebagai ejen perisikan China dan menggunakan hubungan perniagaannya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia, Encik Jensen Huang, untuk mendapatkan maklumat bagi pihak Beijing.
Wanita berkenaan, Cik Alice Huang, yang turut dikenali sebagai Huang Le, sebelum ini disiasat pihak berkuasa Amerika kerana disyaki membantu menyeludup cip kecerdasan buatan (AI) Nvidia ke China, sekali gus memintas sekatan eksport teknologi yang dikenakan Washington.
Bagaimanapun, siasatan risikan kemudian mendapati beliau dipercayai turut menyalurkan maklumat komersial kepada Beijing, lapor The New York Times (NYT), pada 29 Oktober, memetik beberapa sumber yang mengetahui hasil pemantauan sulit itu.
Penemuan tersebut mencetuskan kebimbangan di Rumah Putih kerana Cik Huang mempunyai hubungan rapat dengan Encik Jensen Huang, seorang tokoh paling berpengaruh dalam industri AI yang juga mempunyai hubungan baik dengan Presiden Donald Trump.
Cik Huang dan Encik Jensen Huang tidak mempunyai pertalian keluarga walaupun berkongsi nama keluarga yang sama.
Menurut laporan itu, Encik Trump telah dimaklumkan mengenai penemuan risikan tersebut kira-kira setahun lalu, tetapi memilih untuk tidak mengambil tindakan.
Keputusan itu dipercayai berkait dengan kebimbangan bahawa tindakan terhadap Nvidia boleh menjejas pasaran saham dan ekonomi Amerika, serta hubungan perdagangan dengan China.
Bagaimanapun, belum dapat dipastikan maklumat sebenar yang didakwa disalurkan Cik Huang kepada Beijing atau sama ada ia melibatkan rahsia perdagangan Nvidia dan dasar pemerintah Amerika.
Siasatan mendapati Cik Huang mempunyai akses kepada Encik Jensen Huang melalui hubungan perniagaan antara Megaspeed dengan Nvidia.
Kedua-duanya pernah dilihat bersama dalam beberapa pertemuan industri, termasuk selepas pameran teknologi di Taipei pada Jun 2024 dan majlis makan malam perniagaan pada Mei 2025.
Pihak perisikan Amerika bimbang hubungan tersebut berpotensi membolehkan Beijing memperoleh maklumat mengenai strategi perniagaan Nvidia serta pendirian pentadbiran Encik Trump terhadap eksport cip AI ke China.
Kebimbangan itu timbul kerana Encik Jensen Huang, berjaya mempengaruhi beberapa keputusan Washington berhubung sekatan penjualan cip Nvidia kepada China.
Namun, Nvidia menolak tanggapan bahawa hubungan tersebut sesuatu yang mencurigakan.
Jurucakap Nvidia, Encik John Rizzo, berkata pertemuan dengan pelanggan merupakan sebahagian daripada tugas biasa ketua eksekutif syarikat.
Menurut beliau, Encik Jensen Huang, bertemu ribuan eksekutif pelanggan setiap tahun dan Megaspeed hanya menerima maklumat perniagaan biasa.
Beliau menegaskan bahawa syarikat itu tidak mempunyai akses kepada rahsia perdagangan sensitif Nvidia atau maklumat berkaitan keselamatan negara.
Megaspeed, yang mempunyai operasi di Asia Tenggara, merupakan antara syarikat yang membeli cip Nvidia untuk membangunkan pusat data dan menyediakan kuasa pengkomputeran kepada pelanggan, termasuk syarikat teknologi China seperti Alibaba.
Pihak berkuasa Amerika mula menyiasat Megaspeed pada penghujung 2024 selepas pegawai Jabatan Perdagangan melawat sebuah pusat data syarikat itu di Malaysia.
Menurut laporan, pegawai berkenaan mendapati peralatan Nvidia masih tersimpan dalam kotak, menimbulkan persoalan sama ada cip tersebut benar-benar digunakan di pusat data itu atau sedang dipindahkan ke lokasi lain.
Rekod perdagangan yang diperoleh menunjukkan sebuah syarikat berkaitan Megaspeed di Malaysia membeli peralatan AI bernilai sekurang-kurangnya AS$4.8 bilion ($6.2 bilion) antara Jun 2024 dengan Februari 2026.
Jumlah pembelian yang besar itu menimbulkan perhatian penyiasat memandangkan Megaspeed bukan sebuah syarikat teknologi yang terkenal.
Siasatan Jabatan Perdagangan Amerika dilaporkan telah diserahkan kepada Jabatan Kehakiman pada 2026.
Singapura turut menjalankan siasatan terhadap Megaspeed.
Pada 2025, pihak berkuasa Singapura memanggil Cik Huang untuk disoal siasat sebelum membebaskannya.
Bagaimanapun, laporan itu tidak menyatakan beliau telah didakwa melakukan sebarang kesalahan di Singapura.
Dalam kenyataan kepada NYT, Megaspeed berkata pihak pengurusan memandang serius dakwaan tersebut dan telah melantik peguam luar untuk menjalankan siasatan dalaman.
Syarikat itu turut menyatakan kesediaan memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Amerika.
Megaspeed bagaimanapun menegaskan bahawa tuduhan terhadapnya perlu disiasat berdasarkan bukti, bukannya diadili melalui laporan media.
Sementara itu, Kedutaan China di Washington menolak dakwaan risikan Amerika dan menyifatkannya sebagai usaha memburukkan nama Beijing tanpa asas.
Cik Huang pula tidak memberikan maklum balas terhadap permintaan media untuk mendapatkan komen.
Setakat ini, tiada bukti yang didedahkan secara terbuka bahawa Encik Jensen Huang mengetahui atau terlibat dalam kegiatan risikan yang didakwa dilakukan Cik Huang.
Kontroversi itu berlaku ketika Washington berusaha menghalang China daripada memperoleh cip AI paling canggih yang boleh digunakan untuk membangunkan sistem ketenteraan dan teknologi strategik.
Sejak 2022, Amerika mengenakan sekatan eksport terhadap cip Nvidia berprestasi tinggi ke China.
Namun, sebahagian syarikat China dilaporkan menggunakan pusat data di Asia Tenggara untuk mendapatkan akses kepada kuasa pengkomputeran yang dibekalkan cip tersebut.
Megaspeed kini turut membangunkan sebuah pusat data besar di Johor, Malaysia, yang dijangka menggunakan peralatan AI Nvidia.
Walaupun berdepan siasatan, Megaspeed dan syarikat berkaitannya dilaporkan terus membeli produk Nvidia melalui perantara sepanjang 2026.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai keberkesanan kawalan eksport Amerika serta peranan pusat data di Asia Tenggara dalam persaingan teknologi antara Washington dengan Beijing.
Bagi Singapura, dakwaan terhadap Megaspeed turut menarik perhatian kerana syarikat itu berpangkalan di republik tersebut, meskipun tuduhan risikan berkenaan masih belum dibuktikan secara terbuka.
Kes ini sekali gus memperlihatkan bagaimana persaingan menguasai teknologi AI semakin berkait rapat dengan keselamatan negara, hubungan diplomatik dan kegiatan perisikan antarabangsa. – Agensi berita