Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Feri karam dekat Bali: 4 maut, 31 selamat

Usaha cari 38 mangsa diteruskan
Jul 3, 2025 | 11:11 AM
Ahli keluarga dan waris menunggu perkembangan terkini mengenai operasi mencari 30 orang yang masih hilang selepas sebuah feri karam berhampiran pulau peranginan popular Indonesia, Bali, di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur pada 3 Julai 2025.
Ahli keluarga dan waris menunggu perkembangan terkini mengenai operasi mencari 30 orang yang masih hilang selepas sebuah feri karam berhampiran pulau peranginan popular Indonesia, Bali, di Pelabuhan Ketapang, Banyuwangi, Jawa Timur pada 3 Julai 2025. - Foto AFP

BANYUWANGI: Sekurang-kurangnya empat orang maut dan 31 lagi berjaya diselamatkan selepas sebuah feri yang membawa 65 orang penumpang karam dalam pelayaran dari Banyuwangi, Jawa Timur menuju ke Bali, lewat malam Rabu, 2 Julai.

Pasukan penyelamat sedang berusaha mencari 30 individu lain yang masih hilang di laut.

Feri dikenali sebagai KMP Tunu Pratama Jaya, tenggelam kira-kira 25 minit selepas berlepas dari pelabuhan Ketapang di Banyuwangi menuju ke Pelabuhan Gilimanuk di Bali, menurut kenyataan Agensi Mencari dan Menyelamat (SAR) Surabaya.

“Feri itu terbalik dan terus tenggelam. Saya (naik feri) bersama bapa saya. Bapa saya sudah tiada,” kata salah seorang mangsa yang terselamat, Eka Toniansyah, kepada pihak media semasa ditemui di sebuah hospital di Bali.

Menurutnya, sebahagian besar penumpang feri tersebut merupakan warga Indonesia.

“Menurut data senarai penumpang feri, terdapat 53 penumpang dan 12 anak kapal,” jelas SAR Surabaya, yang turut memaklumkan bahawa feri itu juga membawa 22 kenderaan, termasuk 14 lori.

Setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada terdapat warga asing di atas feri ketika ia karam.

Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang kini berada dalam lawatan rasmi ke Arab Saudi, segera mengarahkan tindakan kecemasan sebaik menerima laporan kejadian tersebut.

“Presiden telah mengarahkan agar pasukan penyelamat digerakkan segera dan segala bentuk bantuan diberikan kepada mangsa dan keluarga,” kata Setiausaha Kabinet, Encik Teddy Indra Wijay, dalam kenyataan rasmi pada 3 Julai.

Pihak berkuasa masih menyiasat punca sebenar kejadian, namun cuaca buruk dipercayai menjadi antara faktor utama.

“Kemalangan ini berlaku akibat cuaca buruk,” ujar Encik Teddy.

Empat orang mangsa yang terselamat ditemui terapung menggunakan bot kecemasan feri dalam keadaan lemah pada awal pagi 3 Julai.

Mereka kini menerima rawatan lanjut dan berada dalam keadaan stabil, menurut agensi SAR.

Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota SAR, tentera laut, dan polis marin digerakkan sejurus kejadian dengan penggunaan bot getah penyelamat dan sebuah kapal besar dari Surabaya turut dihantar bagi membantu operasi.

“Kami sedang menilai sama ada jumlah sebenar penumpang melebihi jumlah dalam senarai.

“Dalam banyak kes di Indonesia, jumlah sebenar penumpang tidak sepadan dengan senarai rasmi,” kata seorang pegawai SAR.

Laluan feri antara Banyuwangi dan Bali merupakan salah satu laluan air paling sibuk di Indonesia, digunakan oleh penduduk tempatan dan pelancong yang menyeberang dengan kenderaan.

Perjalanan biasanya mengambil masa sekitar sejam.

Bagaimanapun, keselamatan perjalanan laut di Indonesia sering dipersoalkan.

Negara kepulauan iyu, yang mempunyai sekitar 17,000 buah pulau, kerap mencatatkan insiden nahas laut akibat penguatkuasaan peraturan keselamatan yang lemah dan cuaca tidak menentu.

Antara kejadian terdahulu berlaku pada Mac 2024 apabila sebuah bot yang membawa 16 orang karam di perairan bergelora berhampiran Bali, mengorbankan seorang wanita warga Australia.

Dalam kejadian pada 2022, feri membawa lebih 800 orang terkandas selama dua hari di perairan cetek di wilayah Nusa Tenggara Timur.

Manakala pada 2018, lebih 150 orang lemas apabila sebuah feri karam di Danau Toba, salah satu tasik terdalam di dunia di Sumatera.

Gambar-gambar yang diterbitkan oleh agensi berita Antara menunjukkan ambulans beratur di tepi jalan dan penduduk tempatan berkumpul menunggu maklumat terkini.

“Kami hanya mahu tahu nasib ahli keluarga kami. Kami risau sangat,” kata seorang waris mangsa, Cik Erna Wulandari, yang menunggu sejak awal pagi.

Pihak berkuasa tempatan meminta orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan dan menyeru supaya masyarakat memberi ruang kepada pasukan penyelamat menjalankan tugas mereka.

“Fokus kami kini ialah mencari mangsa yang masih hilang. Kami mohon doa dan sokongan semua pihak,” ujar pegawai SAR, Encik Rama Samtama Putra. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg