LOMBOK: Seorang penumpang maut selepas sebuah feri yang membawa lebih 100 penumpang dan anak kapal terbakar di perairan Selat Lombok ketika dalam perjalanan dari Bali ke Lombok pada awal pagi 12 Ogos.

Kapal Motor Penumpang (KMP) Putri Yasmin sedang dalam perjalanan dari Pelabuhan Padang Bai di Bali menuju Pelabuhan Lembar di Lombok apabila kebakaran berlaku berhampiran Pantai Sekotong, Lombok Barat, sekitar 4.15 pagi waktu tempatan.

Pihak berkuasa Indonesia melancarkan operasi besar-besaran dengan mengerahkan kapal penyelamat, kapal Tentera Laut Indonesia, bot peronda dan helikopter bagi membantu memindahkan penumpang serta anak kapal ke tempat selamat.

Tiga mangsa tiba di Pelabuhan Lembar dengan bot laju sekitar 10.55 pagi. Dua daripada mereka, seorang lelaki dan seorang wanita, terselamat dan diberikan rawatan perubatan sebaik tiba.

Seorang lagi mangsa disahkan meninggal dunia. Identitinya belum diumumkan pihak berkuasa.

Ketua Pejabat Syahbandar dan Penguasa Pelabuhan (KSOP) Lembar, Encik Syamsurizal, berkata operasi menyelamat masih diteruskan dengan beberapa kapal membantu memindahkan penumpang.

Sebahagian mangsa dibawa ke Pelabuhan Lembar di Lombok, manakala yang lain dihantar kembali ke Pelabuhan Padang Bai di Bali.

“Masih banyak kapal yang melakukan pemindahan. Sebahagian dibawa ke Padang Bai dan sebahagian lagi ke Lembar,” katanya.

Ketua Pejabat Mencari dan Menyelamat Mataram, Encik Muhamad Hariyadi, berkata jumlah sebenar individu di atas feri itu masih diperiksa bagi memastikan semua penumpang dan anak kapal telah diselamatkan.

Berdasarkan senarai penumpang yang dikeluarkan pihak berkuasa Pelabuhan Padang Bai, KMP Putri Yasmin membawa 114 penumpang dan 17 anak kapal.

Feri itu turut membawa 44 kenderaan dan 53 motosikal.

Laporan awal menyatakan seramai 106 orang berjaya diselamatkan, manakala usaha mencari dan memindahkan baki penumpang diteruskan.

Encik Hariyadi kemudian berkata pasukan penyelamat yang menghampiri feri berkenaan tidak lagi melihat penumpang berada di atas kapal.

“Kami telah menghampiri kapal dan mengesahkan bahawa semua penumpang tidak lagi berada di atas kapal,” katanya.

“Kami tidak melihat secara visual ada penumpang yang masih berada di atas kapal.”

Pihak berkuasa bagaimanapun masih menyemak jumlah keseluruhan mangsa yang dipindahkan kerana mereka dibawa keluar menggunakan beberapa kapal dan dihantar ke lokasi berbeza.

Menurut Encik Hariyadi, penumpang dipindahkan menggunakan sekurang-kurangnya tiga kapal, termasuk sebuah kapal Tentera Laut Indonesia dan sebuah feri lain.

Pejabat mencari dan menyelamat Mataram menerima maklumat mengenai kejadian itu pada 4.39 pagi daripada nakhoda kapal penyelamat RB 220 Mataram, sebelum anggota dan aset dikerahkan ke lokasi.

Operasi menyelamat berdepan cabaran akibat keadaan laut bergelora dengan ombak dilaporkan mencapai ketinggian sehingga empat meter.

Sebuah helikopter turut digunakan untuk membuat tinjauan dari udara bagi membantu operasi dan memastikan tiada mangsa terlepas daripada pencarian.

Rakaman video kira-kira 50 saat yang tersebar selepas kejadian menunjukkan asap tebal menyelubungi feri ketika penumpang berkumpul dalam keadaan cemas.

Penumpang dalam rakaman itu dilihat sudah memakai jaket keselamatan ketika kebakaran merebak di kapal.

Punca kebakaran masih belum diketahui dan pihak berkuasa dijangka menjalankan siasatan selepas operasi menyelamat selesai.

Kejadian terbaru itu sekali lagi memberi perhatian kepada keselamatan pengangkutan laut di Indonesia, negara kepulauan yang mempunyai lebih 17,000 pulau dan bergantung kepada feri sebagai antara pengangkutan utama untuk menghubungkan penduduk serta mengangkut barangan dan kenderaan.

Insiden itu berlaku tidak lama selepas beberapa kemalangan feri lain dilaporkan di Indonesia.

Pada awal Ogos, sekurang-kurangnya lima orang maut selepas sebuah feri terbakar di perairan berhampiran Pulau Madura.

KMP Mutiara Sentosa 2 ketika itu sedang melakukan perjalanan dari Surabaya menuju Makassar apabila terbakar, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat besar-besaran dilancarkan.

Dalam satu lagi kejadian pada Julai, sebuah feri yang membawa lebih 70 orang karam berhampiran Selayar, sebuah pulau kecil di selatan Sulawesi.

Empat mayat ditemukan, manakala operasi mencari akhirnya ditamatkan dengan 14 mangsa masih disenaraikan sebagai hilang.

Kemalangan kapal dan feri berlaku secara berkala di Indonesia, dengan faktor seperti keadaan cuaca, penyelenggaraan kapal, muatan serta tahap pematuhan terhadap peraturan keselamatan sering menjadi perhatian selepas kejadian.

Bagi insiden KMP Putri Yasmin, pihak berkuasa berkata tumpuan utama masih diberikan kepada usaha mengesahkan kedudukan setiap penumpang dan anak kapal serta memastikan mereka yang terselamat menerima rawatan dan bantuan sewajarnya. - Agensi berita