SPH Logo mobile
Langgan|

Filipina iktiraf hak pengebumian segera umat Islam

Filipina iktiraf hak pengebumian segera umat Islam

Apr 23, 2025 | 4:32 PM

Filipina iktiraf hak pengebumian segera umat Islam

Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menandatangani undang-undang baru yang mengiktiraf hak umat Islam di negara itu bagi menyegerakan pengebumian jenazah mengikut hukum Islam.
Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, menandatangani undang-undang baru yang mengiktiraf hak umat Islam di negara itu bagi menyegerakan pengebumian jenazah mengikut hukum Islam. - Foto AFP

MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., telah menandatangani satu undang-undang penting yang menghormati dan mengiktiraf hak masyarakat Muslim Filipina untuk mengebumikan jenazah secara segera menurut syariat Islam.

Undang-undang yang dinamakan Akta Republik No. 12160 atau Akta Pengebumian Muslim Filipina itu telah ditandatangani pada 11 April dan diumumkan secara rasmi melalui Warta Rasmi pada 14 April lalu.

Di bawah undang-undang baru ini, pengebumian umat Islam perlu dilakukan secepat mungkin — sama ada dengan atau tanpa sijil kematian — selaras dengan tuntutan agama Islam yang menganjurkan pengebumian dalam tempoh 24 jam selepas kematian.

“Bagi tujuan pengebumian mengikut ajaran Islam, jenazah Muslim mesti dilepaskan dalam tempoh 24 jam oleh mana-mana hospital, klinik perubatan, rumah mayat, rumah pengebumian, pusat tahanan, atau mana-mana pihak yang menjaga mayat,” menurut kandungan undang-undang tersebut.

Bagi memastikan rekod kematian tetap direkodkan secara rasmi, individu yang menguruskan pengebumian atau waris terdekat si mati wajib melaporkan kematian kepada pegawai kesihatan tempatan dalam tempoh 14 hari selepas pengebumian.

Pegawai kesihatan akan mengesahkan punca kematian dan menyediakan sijil kematian. Jika tiada pegawai kesihatan bertauliah, laporan boleh dibuat kepada pejabat datuk bandar.

Dalam kes di mana siasatan forensik diperlukan, keluarga wajib dimaklumkan terlebih dahulu sebelum autopsi dijalankan oleh pihak berkuasa penguatkuasaan.

Satu ciri penting dalam undang-undang ini ialah larangan menahan jenazah disebabkan kegagalan menjelaskan bil hospital atau kos pengebumian. Jika terdapat tunggakan bayaran, waris boleh menandatangani surat aku janji atau memilih pelan bayaran sedia ada.

Mana-mana pihak yang enggan menyerahkan jenazah tanpa alasan munasabah boleh dikenakan hukuman penjara antara satu hingga enam bulan, denda antara 50,000 ($1,160) hingga 100,000 peso atau kedua-duanya.

Tambahan lagi, undang-undang ini turut menetapkan bahawa jenazah perlu dibungkus dengan kain kafan putih dan diletakkan dalam beg mayat atau kotak kayu yang kalis bocor serta ditutup rapat.

Langkah ini telah disambut baik oleh pelbagai pihak, khususnya masyarakat Islam di Filipina. Senator Robin Padilla, yang juga seorang Muslim dan menjadi penaja utama rang undang-undang ini di Dewan Senat, menganggap ia satu kemenangan bermakna.

“RA 12160 ialah undang-undang yang ringkas tetapi amat bermakna bagi kami umat Islam,” kata beliau dalam kenyataan media. “Ia bukan sahaja menjamin hak kami untuk menjalankan pengkebumian seperti yang ditetapkan oleh agama, tetapi juga satu pengiktirafan terhadap kepelbagaian budaya dan kepercayaan yang wujud dalam negara ini.” - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg