Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Filipina tutup sekolah, batal penerbangan ketika diancam taufan Co-May

Jul 24, 2025 | 2:18 PM
Penduduk berjalan di sepanjang jalan berlumpur selepas banjir surut di sebuah komuniti tepi sungai di Rodriguez, wilayah Rizal yang terletak di timur Metro Manila, Filipina, pada 24 Julai 2025. Biro kaji cuaca Filipina menjangkakan taufan Co-May berada 210 kilometer di barat wilayah Pangasinan di utara Filipina, dengan kelajuan angin 120 kilometer sejam berhampiran pusatnya.
Penduduk berjalan di sepanjang jalan berlumpur selepas banjir surut di sebuah komuniti tepi sungai di Rodriguez, wilayah Rizal yang terletak di timur Metro Manila, Filipina, pada 24 Julai 2025. Biro kaji cuaca Filipina menjangkakan taufan Co-May berada 210 kilometer di barat wilayah Pangasinan di utara Filipina, dengan kelajuan angin 120 kilometer sejam berhampiran pusatnya. - Foto EPA

MANILA: Filipina menutup sekolah dan membatalkan penerbangan pada 24 Julai selepas hujan lebat yang dibawa oleh taufan dan satu lagi ribut tropika melanda pulau utama di utara negara itu, Luzon.

Taufan Co-May, yang dinaik taraf daripada ribut tropika semalaman, berlaku selepas beberapa hari hujan monsun yang telah meragut sekurang-kurangnya 12 nyawa dan menyebabkan lapan lagi hilang di seluruh kepulauan sejak 18 Julai, menurut agensi pengurusan bencana kebangsaan.

Dengan kelajuan angin maksimum berterusan mencecah 120 kilometer sejam, taufan itu dijangka melanda kawasan pantai barat sama ada di wilayah La Union atau Ilocos Sur pada pagi Jumaat, 25 julai menurut perkhidmatan kaji cuaca negara.

Sekitar 70 penerbangan domestik dan antarabangsa telah dibatalkan akibat ribut, menurut pihak berkuasa penerbangan awam. Pemerintah juga telah mengumumkan penangguhan sesi persekolahan di seluruh Luzon bagi hari Khamis, 24 Julai.

Puluhan ribu orang telah dipindahkan di sekitar Manila awal minggu ini selepas banjir melanda beberapa kawasan sehingga paras pinggang dan menyebabkan penduduk di wilayah berhampiran terperangkap serta memerlukan bantuan bot untuk diselamatkan.

Setakat 24 Julai, beberapa ribu orang di Manila masih belum dapat pulang ke rumah mereka. “Kami belum boleh membenarkan mereka pulang kerana hujan masih turun dan beberapa taufan lagi dijangka akan menjejaskan negara,” kata Cik Ria Mei Pangilinan, seorang penyelaras penyelamat di ibu kota, kepada AFP. “Mungkin akan ada lebih ramai (yang dipindahkan) jika hujan tidak berhenti.”

Taufan Co-May berada kira-kira 210 kilometer dari pantai barat negara itu setakat jam 11 pagi waktu tempatan. Sementara itu, Ribut Tropika Francisco berada kira-kira 735 kilometer dari pantai timur negara dan sedang menuju ke arah utara Taiwan. Kedua-dua ribut itu tidak dijangka akan bertembung. - AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg