Aplikasi penghantaran makanan popular Foodpanda akan membayar balik sepenuhnya kepada pelanggan yang menggunakan perkhidmatan berbayar Pandapro antara 1 Julai dengan 30 September, selepas badan pemerhati persaingan mendapati iklannya dalam tempoh itu mengelirukan.
Kempen Foodpanda menjanjikan “penghantaran percuma tanpa had di semua restoran” untuk pengguna yang melanggani Pandapro, kata Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) pada 20 November.
Tawaran itu dipasarkan bermula dari $4.99 sebulan, dengan bulan pertama hanya berharga $1.
Bagaimanapun, pelanggan hanya menerima diskaun $3 untuk semua bayaran penghantaran restoran, atau diskaun sehingga $6 untuk kedai makan terpilih, kata suruhanjaya itu.
Susulan aduan mengenai iklan tersebut, siasatan CCCS mendapati pelanggan Pandapro masih perlu membayar kos penghantaran ke atas lebih 40 peratus pesanan penghantaran makanan yang dibuat sepanjang tempoh kempen.
CCCS telah mengeluarkan amaran kepada Foodpanda atas iklan tanpa syarat yang jelas dan mengelirukan itu.
Iklan tersebut disiarkan di media sosial Foodpanda, papan iklan, perhentian bas dan dalam aplikasi.
“Tanpa sebarang syarat yang jelas, (iklan itu) boleh mengelirukan pengguna untuk berfikir bahawa pelanggan Pandapro akan menikmati penghantaran percuma di semua restoran yang tersedia di Foodpanda,” jelas CCCS.
Apabila membuat kenyataan seperti “percuma”, sebarang syarat, pengecualian dan kos sampingan mesti dinyatakan dengan jelas, dan penafian generik seperti “tertakluk terma dan syarat” biasanya tidak mencukupi, tambahnya.
Ketua Eksekutif CCCS, Encik Alvin Koh, dipetik The Straits Times sebagai berkata bahawa pengguna biasanya memahami “percuma” bermakna tiada apa-apa yang akan dikenakan.
“Harga yang telus adalah penting untuk pengguna membuat pembelian dan membolehkan semua perniagaan bersaing secara adil,” katanya.
Menurut suruhanjaya itu, Foodpanda mengakui keprihatinan itu dan bersetuju membayar balik pelanggan Pandapro yang terjejas.
Ia juga bersetuju menjelaskan syarat langganan Pandapronya dan memastikan bahan pemasarannya mengikut undang-undang perdagangan yang adil.
Suruhanjaya itu telah menutup kes terhadap Foodpanda.
Sebarang aduan mengenai amalan perdagangan yang tidak adil dalam pengiklanan boleh dibuat dengan menghubungi 6461-1888 atau lungsuri https://asas.org.sg/feedback/online-complaint
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg