KATHMANDU: Di luar sebuah hospital di ibu kota Nepal, deretan wajah memenuhi tembok sepanjang 25 meter – kanak-kanak, warga emas, pekerja asing, pendaki dan penganut agama yang semuanya mempunyai satu persamaan: mereka masih hilang.

Bagi keluarga yang menampal gambar orang tersayang di tembok Hospital Pengajar Universiti Tribhuvan di, Kathmandu, setiap foto mewakili harapan yang semakin tipis selepas banjir dahsyat melanda Nepal pada 26 Ogos.

Hampir 4,500 orang masih hilang selepas runtuhan glasier Himalaya di sempadan China-Nepal mencetuskan gelombang air sejuk dan serpihan yang membadai kawasan di sepanjang lembah sungai.

Bencana itu mengorbankan lebih 900 orang, manakala hampir 4,000 daripada mereka yang masih hilang berada di Nepal, termasuk hampir 600 warga asing.

Foto mangsa kini memenuhi tembok hospital sehingga ke bahagian paling tinggi dan tiang bangunan.

Encik Prakash Chhetri, 46 tahun, antara mereka yang datang menampal gambar abangnya, dengan harapan beliau mungkin masih hidup.

“Dia membawa sembilan penganut agama ke Gosaikunda.

“Daripada sembilan orang itu, seorang terselamat selepas melompat keluar dari kenderaan,” katanya.

Di bahagian lain tembok, gambar beberapa anggota keluarga yang hilang bersama turut dipamerkan – seorang wanita berusia 30 tahun, seorang lagi berusia 35 tahun serta anak perempuannya yang berumur lapan tahun.

Terdapat juga gambar lelaki muda, termasuk seorang daripada masyarakat Sherpa yang memakai cermin mata hitam dan jaket sukan ketika hilang, di samping foto seorang ibu bertopi bulu yang mendukung anak kecilnya.

Bagi sesetengah keluarga, harapan untuk menemui mangsa masih hidup semakin pudar.

Encik Debu Sapkota, 58 tahun, datang membawa gambar ibu mentuanya yang berusia 83 tahun dan cucunya yang hilang di Trishuli Bazaar ketika kawasan itu dihanyutkan arus deras.

Menurutnya, amaran kecemasan sempat dibunyikan, tetapi wanita warga emas itu tidak mampu melarikan diri dengan pantas.

“Dia terlalu tua untuk berlari,” kata pemandu itu.

“Cucunya cuba membantunya melarikan diri tetapi kedua-duanya dihanyutkan.”

Encik Sapkota berkata beliau kini tidak lagi berharap mereka masih hidup kerana kedua-duanya dilihat dibawa arus.

“Saya berada di sini dengan harapan dapat menemui mayat mereka,” katanya sambil memegang gambar kedua-duanya yang memakai pakaian tradisional.

Tembok itu turut memaparkan gambar ramai pekerja dan jurutera China yang bekerja di tapak pembinaan projek hidroelektrik, selain seorang peniaga China yang membawa barangan melalui lintasan sempadan Rasuwa.

Turut hilang ialah beberapa penganut agama India yang dalam perjalanan ke Gunung Kailash di Tibet, lokasi suci bagi penganut Hindu, serta seorang pelancong Amerika.

Orang ramai tidak putus-putus berkumpul di hadapan deretan gambar itu.

Ada yang memeriksa setiap wajah, manakala yang lain merakamnya dengan telefon bimbit dengan harapan seseorang mungkin mengenali individu yang hilang.

Tidak jauh dari situ, berhampiran bilik mayat hospital, satu lagi kumpulan gambar dipamerkan.

Kali ini, ia bukan gambar mereka yang masih dicari, tetapi mayat yang ditemukan tertimbus dalam lumpur dan serpihan.

Keadaan wajah yang membengkak menyukarkan proses pengecaman, namun keluarga terus datang mencari orang tersayang.

Cik Raj Kumari Tamang, 20 tahun, pergi ke bilik mayat untuk mencari bapanya, Encik Moti Lal Tamang.
“Bapa saya pergi ke Trishuli Bazaar untuk membayar bil elektrik,” katanya.

Data lokasi telefon bimbit menunjukkan bapanya kali terakhir berada berhampiran Jambatan Trishuli, yang kemudian dihanyutkan banjir.

“Saya tidak tahu apa lagi yang berlaku kepadanya,” katanya.

Polis kini mengendalikan sebuah pejabat sementara di kawasan terbuka hospital bagi membantu keluarga mengenal pasti mayat.

Pegawai polis yang bertanggungjawab menguruskan mayat mangsa bencana, Encik Om Bahadur Rana, berkata 94 mayat telah dibawa ke situ.

“Kami menerima 94 mayat,” katanya kepada AFP sambil menjelaskan kesemuanya dipercayai warga Nepal.

Namun, proses pengecaman bergerak perlahan.

“Kami hanya berjaya mengenal pasti 12 mayat dan menyerahkannya kepada keluarga,” katanya.

Usaha mencari ribuan mangsa yang masih hilang turut berlangsung dalam talian.

Sebuah laman pemerintah mengumpulkan maklumat mengenai mangsa terselamat dan mereka yang belum ditemukan, sementara keluarga menggunakan media sosial untuk menyebarkan gambar serta rayuan mendapatkan maklumat.

Setiap rakaman baharu dari kawasan bencana membawa harapan, tetapi pada masa sama boleh menambahkan keresahan.

Satu rayuan dalam talian menggambarkan bagaimana sebuah keluarga menyangka mereka mungkin terlihat saudara mereka dalam rakaman dari kawasan banjir.

“Semalam, kami melihat video seorang kanak-kanak bergelut untuk melepaskan dirinya daripada lumpur yang memerangkapnya; dia kelihatan sama seperti anak saudara saya,” menurut mesej itu.

Lebih seminggu selepas bencana, tembok di luar hospital itu kini menjadi pusat pencarian tidak rasmi bagi keluarga yang masih menunggu jawapan.

Bagi sesetengahnya, mereka masih berharap orang tersayang akan pulang dengan selamat.

Bagi yang lain, harapan itu kini lebih sederhana dan menyedihkan – sekurang-kurangnya menemui jasad ahli keluarga agar mereka dapat dibawa pulang dan dikebumikan. – Agensi berita.