NUWAKOT (Nepal): Pasukan penyelamat di Nepal dan China masih giat meneruskan operasi pada 29 Ogos bagi menjejak ribuan mangsa yang hilang, beberapa hari selepas rempuhan air seakan tsunami bersama lumpur dan sisa runtuhan melanda kawasan Himalaya hingga menenggelamkan beberapa kampung.

Bilangan mangsa yang hilang melonjak kepada sekitar 3,000 orang pada 29 Ogos, sementara itu pasukan penyelamat mengesahkan telah menemui 633 mayat – dengan sesetengah mayat dipercayai dihanyutkan arus deras sejauh India. 

Di kawasan yang menempatkan projek prasarana tenaga berskala besar, pihak berkuasa pengurusan bencana Nepal menambah 933 pekerja loji hidrokuasa ke dalam senarai mangsa yang hilang.

Senarai berkenaan turut merangkumi pendaki gunung dan mereka yang membuat perjalanan agama ke Gunung Kailash di Tibet.

Mereka yang terselamat meluahkan rasa hiba selepas kehilangan segala harta benda dan kini terpaksa menanggung derita menantikan berita tentang nasib ahli keluarga yang masih hilang, selain berdepan cabaran membina semula kehidupan.

Trauma akibat bencana pada 26 Ogos itu amat “dahsyat”, dengan anggaran hingga 93,000 mangsa mungkin terjejas manakala angka korban dijangka terus meningkat, menurut Palang Merah.

Pasukan penyelamat sedang bertungkus lumus menyelamatkan mangsa di kawasan terjejas, di tengah cabaran bekalan makanan dan air bersih yang semakin berkurangan ekoran kemusnahan berskala besar. 

Usaha mencari mangsa yang hilang kini semakin sukar disebabkan kebimbangan akan terjadinya banjir susulan di kawasan terjejas.

Banjir limpahan ais dan lumpur itu turut menyebabkan pembentukan tasik-tasik besar, dengan salah satu daripadanya kini memberi ancaman langsung kepada pasukan penyelamat yang melalui kawasan berkenaan bagi menjejak mangsa terselamat.

Polis Nepal menggesa semua penyelamat supaya “segera berpindah ke lokasi selamat”, selepas menerima maklumat bahawa “empangan air di bahagian Tibet telah pecah sekali lagi”.

Di Tibet – di mana pihak berkuasa China menjadi satu-satunya sumber maklumat – Beijing menggantung operasi menyelamat di kawasan paling teruk terjejas di Gyirong berikutan risiko banjir berulang, sebelum mengesahkan ancaman berkenaan telah reda.

Agensi berita rasmi Xinhua melaporkan pada awal pagi 29 Ogos bahawa dua penduduk kampung berjaya diselamatkan di kawasan tersebut.

Di sebelah sempadan Nepal, pihak tentera telah mengesan mangsa yang terperangkap di dalam terowong projek hidrikuasa Trishuli 3A, di mana mereka sedang berusaha mencari jalan untuk mengeluarkan mangsa yang terselamat.

“Dua helikopter telah dikerah, namun tugas ini mencabar kerana ia amat sukar untuk mengesan pintu-pintu masuk bagi terowong berkenaan,” kata jurucakap tentera, Brigadier Jeneral Raja Ram Basnet kepada AFP.

Kira-kira 350 pekerja dan penduduk telah dibawa ke tempat selamat dari lokasi tersebut, tambah beliau, manakala usaha sedang giat dijalankan untuk menyelamatkan lebih 100 lagi mangsa yang terperangkap di kawasan sama.

Nepal melaporkan angka korban mencecah 616 orang pada 29 Ogos.

Pihak berkuasa pengurusan bencana sebelum itu mengesahkan seramai 1,924 orang, termasuk 517 warga asing, masih gagal dihubungi di Nepal.

Di India, pihak berkuasa mengesahkan telah menemui tujuh mayat di sungai-sungai yang mengalir dari Nepal – yang dipercayai merupakan mangsa banjir.

Di seberang sempadan di Tibet – kawasan yang sebahagian besarnya sukar diakses oleh wartawan asing – seramai tujuh orang terkorban manakala 554 lagi masih hilang, lapor agensi berita rasmi Xinhua pada awal pagi 29 Ogos.

Pihak berkuasa turut memaklumkan bahawa mereka telah memindahkan 555 pelancong terkandas dan 499 penduduk warga China dari Tibet.

Puluhan penganut Hindu dari serata dunia merupakan antara yang dilaporkan hilang di kawasan sempadan itu, memandangkan ramai yang sedang dalam perjalanan agama ke Gunung Kailash di Tibet.

Cik Sivaranjani Muthunathan sedang menaiki bas bersama 56 penumpang lain menuju ke sempadan China apabila mereka terperangkap dalam satu kawasan yang mereka sangka merupakan kesesakan jalan raya.

“Kemudian muncul kabus, asap, dan sesuatu yang seolah-olah tiba-tiba menyelubungi kami,” kata Cik Muthunathan, 46 tahun, kepada AFP pada 28 Ogos, sambil menunjukkan rakaman video telefon bimbit yang merakamkan arus deras menuju ke arahnya.

Di sekeliling mereka, kenderaan dihanyutkan atau tertimbus di bawah lumpur.

“Seorang demi seorang, cuba merangkak keluar melalui pintu bahagian pemandu dan kemudian memanjat bukit untuk menyelamatkan diri,” katanya. – AFP.