BERLIN: Encik Friedrich Merz, yang bakal menjadi Canselor Jerman selepas parti konservatif pembangkangnya memenangi pilihan raya nasional pada 23 Februari, berikrar untuk membantu Eropah mencapai “kebebasan sebenar” daripada Amerika Syarikat.
Kemenangan itu diperoleh selepas gabungan tiga parti pimpinan Canselor Olaf Scholz yang kurang digemari runtuh, membuka jalan kepada perubahan besar dalam politik Jerman.
Encik Merz, 69 tahun, kini menghadapi cabaran besar membentuk pemerintah kerana perlu berunding dengan parti-parti lain dalam gabungan yang rumit dan mungkin mengambil masa yang agak panjang.
Parti sayap kanan jauh, Alternatif untuk Jerman (AfD), muncul di tempat kedua dengan pencapaian terbaik dalam sejarah mereka, namum parti-parti arus perdana menolak untuk bekerjasama dengannya.
AfD mendapat sokongan tokoh terkenal Amerika seperti Elon Musk, jutawan teknologi dan sekutu Presiden Donald Trump.
Walaupun tidak pernah memegang jawatan pemerintah, Encik Merz, dari Demokrat Kristian kini bakal mengetuai Jerman ketika ekonomi terbesar Eropah sedang mengalami kelemahan, masyarakat terpecah akibat isu migrasi, dan keselamatan negara terperangkap dalam ketegangan antara Amerika Syarikat yang agresif dengan pengaruh yang semakin kuat dari Russia dan China.
Selepas kemenangannya, beliau secara tegas mengkritik Amerika, menyifatkan komen dari Washington semasa kempen sebagai “sangat keterlaluan” serta menyamakannya dengan campur tangan yang dilakukan oleh Russia.
“Kita sedang menghadapi tekanan besar daripada dua pihak, jadi keutamaan saya sekarang adalah menyatukan Eropah. Ini boleh dilakukan,” kata Encik Merz.
Beliau menambah: “Keutamaan mutlak saya adalah menguatkan Eropah secepat mungkin supaya kita boleh mencapai kebebasan sebenar dari Amerika secara berperingkat.”
Walaupun Encik Trump mengalu-alukan keputusan pilihan raya tersebut, Encik Merz berkata pentadbiran Trump “tidak ambil peduli tentang nasib Eropah.”
Encik Trump menulis di Truth Social: “Seperti Amerika, rakyat Jerman sudah bosan dengan agenda yang tidak masuk akal, terutama mengenai tenaga dan imigresen, yang berlangsung selama bertahun-tahun.”
Blok konservatif Kesatuan Demokratik Kristian dan Kesatuan Sosial Kristian (CDU/CSU) yang diketuai Encik Merz mendapat 28.5 peratus undi, diikuti AfD dengan 20.5 peratus.
Parti Sosial Demokrat (SPD) pimpinan Canselor Scholz merosot dengan hanya 16.4 peratus undi, keputusan terburuk sejak Perang Dunia Kedua.
Parti Hijau mendapat 12.2 peratus, manakala parti sayap kiri, Die Linke, naik ke 8.9 peratus, disokong ramai pengundi muda.
Parti populis Sahra Wagenknecht Alliance (BSW) dan Parti Demokratik Bebas (FDP) gagal mencapai ambang 5 peratus yang diperlukan untuk menyertai Bundestag, dewan rendah Parlimen Jerman.
Sebanyak 29 parti bertanding, namun hanya parti yang memperoleh lebih daripada 5 peratus undi layak mendapat kerusi di Parlimen.
Pemimpin AfD, Cik Alice Weidel, berkata: “Keputusan ini hanyalah permulaan. Kami masih menghulurkan tangan untuk membentuk pemerintah. Lain kali, kami akan berada di tempat yang pertama.”
Encik Merz kini perlu berunding untuk membentuk pemerintah gabungan, tetapi kedudukannya kurang kukuh kerana CDU/CSU mencapai keputusan kedua terburuk sejak tamat perang.
Beliau mungkin memerlukan satu atau dua parti lain untuk mendapatkan majoriti, namun ini bergantung pada parti-parti kecil yang masih belum pasti nasibnya.
Sekiranya terbentuk gabungan tiga parti, ia boleh menjadi lebih sukar dikendalikan dan menghalang Jerman daripada memimpin dengan berkesan.
Encik Carsten Brzeski dari ING berkata: “Gabungan tiga parti berisiko membawa kepada lebih banyak kesukaran dan kemerosotan, kecuali semua pihak sedar ini merupakan peluang terakhir membawa perubahan dan menghalang AfD daripada menjadi lebih kuat.”
Kadar mereka yang keluar mengundi adalah 83 peratus, tertinggi sejak penyatuan semula Jerman pada 1990.
Pengundi lelaki dilihat lebih cenderung menyokong parti berhaluan kanan, manakala wanita lebih memilih parti berhaluan kiri.
Encik Merz, seorang liberal ekonomi yang mendorong parti konservatif ke arah berhaluan kanan, dianggap berbeza daripada bekas Canselor Angela Merkel yang telah memimpin negara selama 16 tahun.
Perbincangan gabungan yang berlarutan mungkin menyebabkan Encik Scholz terus berperanan sebagai pemerintah sementara selama berbulan-bulan, sekali gus menangguhkan pelaksanaan dasar penting untuk memulihkan ekonomi Jerman yang telah menyusut selama dua tahun.
Keadaan itu juga berpotensi mewujudkan kekosongan kepimpinan di Eropah apabila berdepan dengan cabaran seperti ancaman perang dagang Encik Trump.
Encik Merz berkata: “Kita perlu bergerak pantas untuk memastikan Eropah berdiri teguh sendiri, bebas daripada bayangan Amerika.” – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg