Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Canselor Jerman bimbang dengan populariti sayap kanan dalam pilihan raya negeri

Sep 2, 2024 | 1:57 PM
Penunjuk perasaan melakukan protes menentang Alternatif untuk Jerman (AfD) selepas keputusan pengundian pertama diumumkan dalam pilihan raya negeri Thuringia di Erfurt, Jerman, pada 1 September 2024.
Penunjuk perasaan melakukan protes menentang Alternatif untuk Jerman (AfD) selepas keputusan pengundian pertama diumumkan dalam pilihan raya negeri Thuringia di Erfurt, Jerman, pada 1 September 2024. - Foto REUTERS

BERLIN: Canselor Jerman Olaf Scholz menyifatkan keputusan dua pilihan raya negeri yang menyaksikan kejayaan besar bagi parti sayap kanan Alternatif untuk Jerman (AfD) dan kekalahan kepada gabungannya sebagai “pahit”. Encik Scholz menyeru agar parti-parti utama membentuk pemerintah tanpa melibatkan “ekstremis kanan”.

Pada hujung minggu 1 September, AfD mencatat sejarah sebagai parti sayap kanan pertama untuk memenangi pilihan raya dewan negeri di Jerman sejak Perang Dunia Kedua dengan keputusan pilihan raya di Thuringia. Mereka juga mencatatkan keputusan kedua terbaik di Saxony, menurut ramalan pada 1 September.

Namun, meskipun AfD diiktiraf sebagai “ekstremis kanan” oleh pihak keselamatan di kedua-dua negeri timur Jerman itu. Mereka tidak mungkin dapat memerintah kerana parti-parti lain masih enggan bekerjasama dengan mereka untuk membentuk majoriti.

Bagaimanapun, parti nasionalis yang menentang migrasi dan mesra Russia ini mungkin akan memperoleh cukup kerusi di kedua-dua negeri untuk menghalang keputusan yang memerlukan majoriti dua pertiga, seperti pelantikan hakim atau pegawai keselamatan tertinggi, memberi mereka kuasa yang belum pernah diperolehi sebelumnya.

“Keputusan bagi AfD di Saxony dan Thuringia adalah membimbangkan,” kata Encik Scholz dalam satu kenyataan kepada agensi berita Reuters.

“Negara kita tidak boleh dan tidak terbiasa dengan keadaan ini. AfD merosakkan Jerman. Ia melemahkan ekonomi, memecahbelahkan masyarakat dan mencemar reputasi negara kita.”

Dengan hanya setahun sebelum pilihan raya nasional Jerman, keputusan pada 1 September memberikan tamparan kepada gabungan pemerintah yang berpecah-belah. Ketiga-tiga parti pemerintah kehilangan undi, dengan hanya parti Sosial Demokrat (SPD) pimpinan Encik Scholz berjaya melepasi ambang 5 peratus yang diperlukan untuk kekal dalam Parlimen kedua-dua negeri tersebut.

Parti baru populis kiri, Sahra Wagenknecht Alliance (BSW), yang diasaskan oleh bekas ahli Parti Komunis Jerman Timur, mengatasi ketiga-tiga rakan gabungan dalam pilihan raya negeri pertamanya, menduduki tempat ketiga.

“Keputusan pilihan raya pada Ahad (1 September) adalah pahit – untuk kami juga,” kata Encik Scholz. Mujur, beliau menegaskan bahawa ramalan yang lebih buruk, iaitu SPD mungkin terkeluar dari Parlimen negeri untuk pertama kalinya tidak menjadi kenyataan.

Rakan kongsi gabungan yang lebih junior – Parti Hijau dan Parti Demokrat Bebas yang pro-niaga – kedua-duanya terkeluar dari Dewan Negeri Thuringia.

Keputusan 1 September itu juga mungkin akan memberi tekanan kepada pemerintah untuk mengambil pendirian lebih tegas mengenai isu imigrasi dan memperhebat perdebatan mengenai sokongan untuk Ukraine, isu-isu yang mendominasi kempen. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg