JAKARTA: Gabenor Bank Indonesia (BI), Perry Warjiyo, meletakkan jawatan secara mengejut pada 27 Julai, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur mengenai hala tuju dasar monetari negara itu serta kebebasan bank pusat di bawah pentadbiran Presiden Prabowo Subianto.

Peletakan jawatan Encik Warjiyo diumumkan hanya beberapa jam sebelum pasaran kewangan Indonesia dibuka, menyebabkan nilai rupiah susut pada awal dagangan manakala pasaran saham turut mengalami turun naik apabila pelabur menilai implikasi perubahan kepimpinan itu.

Menteri Sekretariat Negara, Encik Prasetyo Hadi, berkata Presiden Prabowo menerima peletakan jawatan berkenaan selepas menerima surat rasmi daripada Warjiyo.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan alasan peletakan jawatan itu selain memaklumkan ia dibuat atas sebab peribadi.

“Tuan Perry Warjiyo telah mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Presiden dan permohonannya telah diterima,” katanya pada sidang media di Jakarta.

Timbalan Kanan Gabenor BI, Cik Destry Damayanti, dilantik sebagai pemangku gabenor sehingga pengganti tetap diputuskan.

Cik Destry turut mengesahkan Encik Warjiyo meletakkan jawatan atas faktor peribadi dan memberi jaminan bahawa BI akan terus melaksanakan tanggungjawabnya tanpa sebarang gangguan.

“Bank Indonesia akan terus memastikan kesinambungan semua tugas dan kuasanya bagi mengekalkan kestabilan nilai rupiah dan sistem kewangan, sekali gus mewujudkan persekitaran ekonomi yang kondusif untuk pertumbuhan,” katanya.

Beliau berkata, BI akan terus beroperasi mengikut amalan terbaik serta mengekalkan kredibiliti institusi dalam melaksanakan dasar monetari negara.

Reaksi pasaran terhadap pengumuman itu menunjukkan pelabur masih berhati-hati.

Rupiah susut sehingga 0.14 peratus kepada 17,960 rupiah ($1.29) berbanding dolar Amerika Syarikat pada awal dagangan sebelum kembali stabil, manakala indeks saham utama Indonesia jatuh sehingga 0.68 peratus sebelum kembali meningkat 0.26 peratus.

Penganalisis menyifatkan peletakan jawatan Encik Warjiyo sebagai perkembangan yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur, memandangkan beliau dianggap tokoh penting yang berjaya mengekalkan kestabilan dasar monetari ketika ekonomi Indonesia berdepan pelbagai cabaran.

Pakar Asean di Aletheia Capital, Encik Angus Mackintosh, berkata Encik Warjiyo mempunyai rekod yang kukuh dalam mengurus dasar monetari dan kehilangan beliau dijangka memberi kesan kepada sentimen pasaran.

“Peletakan jawatan Perry Warjiyo berkemungkinan diterima secara negatif oleh pasaran kerana beliau dianggap pemimpin yang berpengalaman dan mempunyai rekod prestasi yang baik.

“Banyak bergantung kepada siapa yang akan menggantikannya. Jika Destry kekal mengetuai BI, pasaran mungkin lebih tenang.

“Namun sekiranya jawatan itu diberikan kepada tokoh yang mempunyai hubungan politik rapat dengan pemerintah, pelabur mungkin mempersoalkan kebebasan Bank Indonesia,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada kemungkinan Timbalan Gabenor BI, Encik Thomas Djiwandono, yang juga anak saudara Presiden Prabowo, dipilih sebagai gabenor baharu.

Menurutnya, pelantikan individu yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan presiden ke jawatan teknokratik seperti gabenor bank pusat boleh menimbulkan persepsi bahawa kebebasan BI semakin terhakis.

Encik Warjiyo mula dilantik sebagai Gabenor BI pada 2018 sebelum diberikan penggal kedua selama lima tahun pada 2023.

Sepanjang tempoh pentadbirannya, beliau berdepan tekanan untuk mengimbangi usaha menyokong pertumbuhan ekonomi dengan keperluan mengekalkan kestabilan mata wang dan inflasi.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, BI berada di bawah tekanan untuk menyokong agenda pertumbuhan ekonomi agresif Prabowo, ketika rupiah terus melemah akibat ketidaktentuan ekonomi global, peningkatan harga tenaga susulan konflik di Asia Barat serta kebimbangan terhadap kedudukan fiskal Indonesia.

Rupiah menjadi mata wang paling lemah di Asia tahun ini apabila susut kira-kira tujuh peratus sejak tercetusnya konflik di Asia Barat, manakala pasaran saham Indonesia pula kehilangan hampir satu pertiga daripada nilainya sepanjang 2026.

Bagi mempertahankan nilai rupiah, BI menaikkan kadar faedah dasar sebanyak 100 mata asas kepada 5.75 peratus sejak Mei, selain memperkenalkan beberapa insentif baharu bagi menarik aliran masuk modal asing.

Minggu lalu, BI mengejutkan pasaran apabila mengekalkan kadar faedah tanpa perubahan walaupun tekanan terhadap rupiah masih berterusan.

Pada masa sama, kebimbangan terhadap kebebasan BI turut meningkat selepas Parlimen Indonesia meluluskan pindaan undang-undang pada Jun yang memperluaskan peranan bank pusat untuk menyokong pertumbuhan ekonomi, selain memberikan kuasa lebih besar kepada anggota Parlimen mengemukakan syor yang mengikat kepada BI dan pengawal selia kewangan.

Firma broker Mirae Asset Sekuritas berkata pelabur kini memberi perhatian kepada keputusan pemerintah mengenai pengganti Encik Warjiyo kerana ia akan menentukan kesinambungan dasar monetari dan kredibiliti institusi kewangan Indonesia.

“Pelabur akan menilai sama ada perubahan kepimpinan ini menjejaskan hala tuju dasar monetari, kredibiliti institusi serta keyakinan terhadap ekonomi Indonesia,” menurut firma itu.

Situasi itu mengingatkan pelabur kepada kejutan pada 2025 lalu apabila Menteri Kewangan ketika itu, Cik Sri Mulyani Indrawati, disingkirkan secara mengejut, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap disiplin fiskal negara di bawah pentadbiran Prabowo.

Dalam perkembangan berkaitan, pemerintah Indonesia sedang menyediakan Belanjawan Negara 2026 dengan mengambil kira kemungkinan harga minyak dunia terus meningkat.

Menteri Kewangan, Encik Purbaya Yudhi Sadewa, berkata pemerintah akan mengekalkan subsidi tenaga dan tidak bercadang menaikkan harga bahan api bersubsidi walaupun kos fiskal dijangka meningkat.

Menurut beliau, beberapa senario harga minyak sedang dirangka bagi memastikan kestabilan fiskal dapat dikekalkan sekiranya harga tenaga global terus meningkat.

Pada masa sama, Direktorat Jeneral Percukaian Indonesia turut memperkukuh kutipan hasil melalui kerjasama dengan 165 syarikat pembayar cukai utama bagi meningkatkan pematuhan sukarela serta membantu mencapai sasaran kutipan cukai sebanyak 2,357.7 trilion rupiah pada tahun 2027.

Pemerhati ekonomi berpendapat, keputusan pemerintah memilih pengganti Encik Warjiyo dalam tempoh terdekat akan menjadi penentu utama sama ada keyakinan pelabur terhadap ekonomi Indonesia dapat dipulihkan atau terus terjejas. - Agensi berita