ADEN (Yaman): Gabenor wilayah Hadramout yang disokong Arab Saudi mengumumkan pada 2 Januari beliau akan melancarkan satu operasi “aman dan terhad” bagi mengambil semula beberapa kedudukan ketenteraan daripada Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong Amiriah Arab Bersatu (UAE), sambil menegaskan langkah itu bukan pengisytiharan perang.
Pengumuman itu menandakan peningkatan terkini ketegangan di Yaman, ketika perpecahan antara dua kuasa Teluk, Arab Saudi dan UAE, semakin terserlah sejak Disember lalu.
Kedua-dua negara itu menyokong pihak berbeza dalam konflik Yaman yang berlarutan.
Pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa dan disokong Arab Saudi berkata ia telah melantik Gabenor Hadramout, Encik Salem Ahmed Saeed Al-Khunbashi, sebagai pemerintah keseluruhan pasukan ‘Perisai Tanah Air’ di wilayah timur itu, dengan kuasa penuh ketenteraan, keselamatan dan pentadbiran.
Langkah itu menurut pemerintah, bertujuan memulihkan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Operasi ini menyasarkan tapak ketenteraan sahaja dan bukan pengisytiharan perang,” kata kenyataan pemerintah Yaman, sambil menambah bahawa tindakan itu perlu bagi menegakkan kedaulatan negara dan mengembalikan perintah undang-undang di Hadramout.
STC, yang disokong UAE, telah merampas kawasan luas di selatan Yaman pada Disember lalu daripada pemerintah yang diiktiraf antarabangsa, satu langkah yang dilihat Riyadh sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan dan kestabilan wilayah.
Rampasan itu mencetuskan krisis paling serius antara Arab Saudi dengan UAE dalam beberapa dekad, meskipun kedua-duanya secara rasmi merupakan sekutu dalam konflik Yaman.
UAE minggu lalu mengumumkan akan menarik keluar baki tenteranya dari Yaman selepas Arab Saudi menyokong gesaan agar pasukan Amiriah berundur dalam tempoh 24 jam.
Keputusan itu mencerminkan tahap ketegangan luar biasa antara dua kuasa minyak Teluk tersebut.
Setakat ini, STC belum memberikan sebarang maklum balas rasmi terhadap pengumuman gabenor Hadramout mengenai operasi pengambilalihan semula kedudukan tentera.
Krisis itu turut menjejas penerbangan awam.
Lapangan Terbang Antarabangsa Aden, pintu masuk utama ke kawasan Yaman di luar kawalan Houthi, kekal ditutup pada 2 Januari selepas penggantungan penerbangan yang bermula sehari sebelumnya.
Duta Arab Saudi ke Yaman, Encik Mohammed Al-Jaber, menyalahkan pemimpin STC, Encik Aidarus Al-Zubaidi, atas penutupan lapangan terbang itu.
Beliau mendakwa Encik Zubaidi enggan memberikan kebenaran mendarat kepada sebuah pesawat yang membawa delegasi Arab Saudi ke Aden.
“Selama beberapa minggu dan sehingga semalam (1 Januari), pemerintah Arab Saudi berusaha sedaya upaya bersama Majlis Peralihan Selatan untuk menamatkan peningkatan ketegangan ini, namun kami berdepan penolakan berterusan dan sikap keras kepala daripada Aidarus Al-Zubaidi,” kata Encik Al-Jaber dalam satu hantaran di platform X.
Menurut beliau, Encik Zubaidi mengeluarkan arahan menutup lalu lintas udara di Lapangan Terbang Aden pada 1 Januari, sekali gus menghalang pesawat delegasi Saudi yang bertujuan mencari penyelesaian krisis daripada mendarat.
STC bagaimanapun menafikan dakwaan itu.
Dalam satu kenyataan pada 1 Januari, Kementerian Pengangkutan yang dikawal STC menuduh Arab Saudi mengenakan sekatan udara, dengan mendakwa Riyadh mewajibkan semua penerbangan ke dan dari Aden melalui Arab Saudi untuk pemeriksaan tambahan.
Pertukaran tuduhan itu menambah kebimbangan terhadap nasib penduduk awam dan aliran bantuan kemanusiaan, memandangkan Lapangan Terbang Aden merupakan laluan penting bagi pergerakan orang ramai dan bekalan ke wilayah selatan Yaman.
Pemerhati politik berkata pelantikan gabenor Hadramout sebagai komander pasukan Perisai Tanah Air menunjukkan usaha Riyadh mengukuhkan semula pengaruh pemerintah pusat di timur Yaman, sambil mengelakkan pertembungan terbuka dengan STC yang boleh mencetuskan konflik bersenjata lebih luas.
“Dengan melabelkan operasi ini sebagai ‘aman’ dan bukan perang, pemerintah Yaman dan Arab Saudi cuba menghantar mesej bahawa tindakan itu bersifat terhad dan defensif,” kata seorang penganalisis serantau.
“Namun di lapangan, sebarang pergerakan ketenteraan membawa risiko salah perhitungan,” tambah beliau.
Konflik Yaman, yang bermula sejak 2014, telah memecahkan negara itu kepada pelbagai zon pengaruh, dengan pemerintah yang disokong Arab Saudi; STC yang disokong UAE dan pemberontak Houthi yang disokong Iran masing-masing menguasai wilayah berbeza.
Ketika ketegangan antara sekutu Teluk semakin memuncak, perkembangan di Hadramout dan Aden dilihat sebagai ujian penting sama ada perpecahan itu dapat dikawal melalui rundingan, atau berisiko mendorong Yaman ke fasa konflik baru yang lebih rumit. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg