ABU DHABI: Amiriah Arab Bersatu (UAE) pada 30 Disember mengumumkan pengunduran tenteranya dari Yaman, sekali gus menamatkan operasi yang disifatkannya sebagai usaha “memerangi keganasan”, ketika krisis diplomatik dengan Arab Saudi semakin memuncak berhubung dakwaan sokongan terhadap kumpulan pemisah di negara itu.
Pengumuman tersebut dibuat beberapa jam selepas pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa menggesa UAE menarik balik semua pasukannya dalam tempoh 24 jam, satu tuntutan yang disokong secara terbuka oleh Arab Saudi.
Ketegangan memuncak dengan pantas apabila tentera pakatan pimpinan Arab Saudi melancarkan serangan udara ke atas pelabuhan Mukalla di selatan Yaman, dengan Riyadh mendakwa sasaran tersebut ialah penghantaran senjata yang dikaitkan dengan UAE untuk Majlis Peralihan Selatan (STC).
STC, yang sebelum ini menyokong pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi dalam memerangi kumpulan Houthi, melancarkan serangan ketenteraan terhadap pasukan pemerintah bulan Disember ini dengan matlamat menubuhkan sebuah negara merdeka di selatan Yaman. Perkembangan itu mempertembungkan dua sekutu utama Amerika Syarikat di Asia Barat.
Di Washington, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Encik Marco Rubio, mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan, mengenai “ketegangan yang sedang berlaku di Yaman”, menurut jurucakap Jabatan Negara.
Kemaraan STC menamatkan kebuntuan bertahun-tahun apabila kumpulan itu berjaya menguasai kawasan luas di selatan Yaman, termasuk wilayah Hadramout dan Mahara, walaupun menerima amaran keras daripada Riyadh.
Arab Saudi secara terbuka menuduh UAE menyokong STC, namun Abu Dhabi menafikan dakwaan itu.
Dalam satu kenyataan susulan perkembangan pantas pada 30 Disember, Kementerian Pertahanan UAE berkata pihaknya telah menjalankan “penilaian menyeluruh” terhadap peranan UAE di Yaman dan memutuskan untuk menamatkan misi ketenteraannya.
“Sehubungan perkembangan terkini dan implikasinya terhadap keselamatan serta keberkesanan operasi memerangi keganasan, Kementerian Pertahanan mengumumkan penamatan kehadiran baki anggota memerangi keganasan di Yaman secara sukarela, dengan cara yang memastikan keselamatan semua anggota,” menurut kenyataan itu.
Serangan udara di Mukalla mendedahkan perpecahan yang semakin melebar antara Arab Saudi dan UAE, dua negara yang sebelum ini bekerjasama rapat dalam pakatan menentang pemberontak Houthi yang menguasai sebahagian besar utara Yaman.
Susulan serangan itu, Ketua Majlis Presiden Yaman yang disokong Arab Saudi, Encik Rashad al-Alimi, membubarkan pakatan pertahanan dengan UAE dan memberikan tempoh 24 jam kepada pasukan Amirati untuk meninggalkan negara itu. Dalam ucapan disiarkan di televisyen, beliau berkata telah “dipastikan secara muktamad bahawa UAE memberi tekanan dan mengarahkan STC untuk melemahkan dan memberontak terhadap autoriti negara melalui peningkatan ketenteraan”.
Arab Saudi kemudiannya mengeluarkan kenyataan menyatakan rasa kecewa terhadap “tekanan yang dikenakan oleh UAE” ke atas STC untuk melancarkan operasi ketenteraan di Hadramout dan Mahara, wilayah yang berhampiran sempadan pemerintah itu.
Riyadh menyifatkan tindakan tersebut sebagai ancaman kepada keselamatan negaranya. “Dalam konteks ini, kerajaan menegaskan bahawa sebarang ancaman terhadap keselamatan negara adalah garis merah, dan Arab Saudi tidak akan teragak-agak mengambil semua langkah yang perlu untuk menanganinya,” menurut kenyataan itu.
Arab Saudi turut menggesa UAE mematuhi seruan Presiden Al-Alimi untuk meninggalkan Yaman serta menghentikan “sebarang sokongan ketenteraan atau kewangan kepada mana-mana pihak” di negara itu. Nada kenyataan tersebut disifatkan pemerhati sebagai yang paling keras setakat ini dalam pertikaian terbuka antara kedua-dua jiran Teluk itu.
UAE bagaimanapun berkata pihaknya terkejut dengan serangan udara tersebut dan menegaskan penghantaran yang disasarkan tidak mengandungi senjata serta ditujukan kepada pasukan Amirati sendiri. Abu Dhabi menyatakan kesediaannya mencari penyelesaian “yang mengelakkan peningkatan konflik, berasaskan fakta yang boleh dipercayai dan penyelarasan sedia ada”.
Televisyen pemerintah Yaman menyiarkan rakaman asap hitam tebal yang naik dari kawasan pelabuhan Mukalla pada awal pagi, dengan beberapa kenderaan kelihatan hangus. Presiden Al-Alimi mengisytiharkan zon larangan terbang serta sekatan laut dan darat di semua pelabuhan dan pintu masuk negara itu selama 72 jam.
Penduduk Mukalla melaporkan mendengar letupan kuat sekitar 4.20 pagi. Gambar agensi berita antarabangsa menunjukkan pelabuhan industri yang dipenuhi kenderaan tentera, sebahagiannya musnah atau terbakar. Wartawan tempatan, Encik Ahmed Saleh, berkata letupan tersebut memecahkan cermin bangunan berhampiran, mencerminkan betapa rapuhnya keadaan keselamatan di selatan Yaman ketika ini.
STC bagaimanapun kekal bertegas dan menolak sebarang pengunduran. “Tidak timbul sama sekali soal berundur,” kata jurucakap STC, Encik Anwar al-Tamimi, kepada AFP. “Adalah tidak munasabah pemilik tanah diminta meninggalkan tanahnya sendiri. Keadaan menuntut kami kekal dan memperkukuh kedudukan,” katanya, sambil memberi amaran bahawa sebarang pergerakan terhadap pasukan mereka akan dibalas.
Arab Saudi telah menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa sejak perang saudara meletus pada 2014, selepas Houthi merampas ibu kota Sanaa dengan sokongan Iran. Serangan udara di Mukalla merupakan kali pertama Arab Saudi diketahui menyasarkan aset yang dikaitkan secara langsung dengan STC.
Penganalisis memberi amaran bahawa konflik kini memasuki fasa yang lebih berbahaya. “Selepas bertahun-tahun persaingan tidak langsung melalui proksi tempatan, pertikaian ini kini kelihatan bergerak ke arah konfrontasi secara langsung,” kata Encik Farea al-Muslimi, penyelidik Yaman di Chatham House, London. “Situasi ini memasuki fasa yang sangat tidak stabil dan berisiko.”
Perang saudara Yaman kini berada dalam kebuntuan, dengan Houthi menguasai utara manakala selatan berada di bawah pentadbiran pemerintah yang disokong Arab Saudi. Namun, perpecahan dalaman, khususnya peranan STC yang diasaskan pada 2017 dengan sokongan kewangan dan ketenteraan UAE, terus menimbulkan ketidakpastian terhadap masa depan negara itu. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg