Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

USAHA INDONESIA PERANGI RASUAH

Gabenor Papua ditahan

Lukas Enembe didakwa boros, dipercayai lakukan rasuah hingga ketepikan kesejahteraan penduduk
Jan 24, 2023 | 05:30 AM



LANGKAH pihak berkuasa Indonesia memerangi amalan rasuah dalam kalangan pemimpin negara itu mencatat satu lagi kemajuan apabila ia berjaya menahan Gabenor Papua, Lukas Enembe, pada 10 Januari lalu.



Kes tersebut menarik perhatian ramai apabila Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia, Encik Firli Bahuri, menyifatkan Gabenor Enembe, sebagai "epal busuk" yang mesti dibawa ke muka pengadilan kerana sikapnya yang didakwa boros dan dipercayai melakukan rasuah hingga mengenepikan kesejahteraan penduduk di wilayah itu.



Enembe, 56 tahun, dituduh KPK mengambil 1 bilion rupiah ($87,676) sebagai rasuah daripada seorang individu yang dikenal pasti sebagai Rijanto Lakka, bagi pembinaan prasarana termasuk jalan dan kemudahan di sebuah prasekolah.



Gabenor ke-13 Papua itu telah menafikan dakwaan berkenaan.



Enembe seorang ahli politik terkemuka Indonesia yang diketahui bertelagah dengan pemerintah pusat mengenai dasar-dasarnya di wilayah autonomi khas itu.



Menurut jurucakap KPK, Encik Ali Fikri, kepada Metro TV, tertuduh telah diterbangkan ke ibu kota Jakarta untuk disoal siasat.



Peguam Enembe mengesahkan penahanan itu dan memberitahu agensi berita Reuters, anak guamnya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa.



Ketegangan memuncak selama beberapa dekad di Papua yang kaya dengan sumber asli, di mana perjuangan menuntut kemerdekaan telah dilancarkan sejak pengilhakan pada 1969 oleh Indonesia.



Indonesia menguasai wilayah barat kepulauan New Guinea yang dihuni 3.38 juta penduduk dan menyaksikan perubahan nama sebanyak tiga kali itu - daripada Irian Barat (1962-1973), Irian Jaya (1973- 2002), and Papua (2002 sehingga kini).



Secara rasmi, Indonesia menguasai Papua pada 1969 dengan mendapat undian sokongan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), namun sebahagian pihak menganggapnya sebagai palsu.



Rakaman daripada berita tempatan menunjukkan pergelutan antara anggota keselamatan dengan beberapa individu yang berkumpul di luar balai polis, tempat awal Enembe ditahan.



Beberapa aktivis percaya gabenor Papua itu menjadi sasaran pemerintah kerana menentang pembentukan tiga wilayah baru di wilayah Papua.



Ia diumumkan pada 12 November tahun lalu oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia, Encik Muhammad Tito Karnavian, yang berkata perundangan untuk menubuhkan tiga wilayah baru berkenaan sudah disahkan oleh Parlimen Indonesia pada akhir Jun 2022.



Ketiga-tiga wilayah baru tersebut - Papua Selatan, Papua Tengah, dan Tanah Tinggi Papua - sebelum ini adalah sebahagian daripada wilayah Papua dan kini secara keseluruhan menjadi lima bersama Papua Barat yang merangkumi separuh pulau New Guinea yang dimiliki Indonesia.



Tiga pegawai sementara telah dilantik untuk mentadbir ketiga-tiga wilayah tersebut sehingga pilihan raya Indonesia diadakan pada 2024.



Pengkritik bimbang wilayah baru yang telah diluluskan Parlimen itu boleh menjejas penduduk pribumi di kawasan berkenaan dan mengancam kuasa autonomi khas Papua.



Ketua Menteri Keselamatan, Encik Mohammad Mahfud MD, bagaimana pun, berkata siasatan terhadap Enembe tidak bermotifkan politik.



Enembe ditahan empat bulan selepas dia dinamakan suspek rasuah kerana didakwa mengambil rasuah daripada ahli perniagaan.



Pihak berkuasa juga sedang menyiasat gaya hidupnya yang mewah dan tabiat berjudi.



"Suspek menunjukkan contoh seorang pemimpin melulu yang, atas sebab apa pun, telah menunjukkan sikap tidak berdisiplin semasa memegang jawatan awam sehingga dia mesti menghadapi pendakwaan jenayah," kata Encik Firli dalam satu kenyataan.



Papua menerima sejumlah besar bantuan kewangan yang dipanggil "dana autonomi khas" daripada pemerintah pusat setiap tahun tetapi penyaluran wang tersebut didapati tidak banyak memberi kesan kepada kemakmuran rakyat di wilayah miskin itu, kata Encik Firli lagi.



Dipercayai, golongan elit dalam pemerintah tempatan Papua mengambil dana daripada pemerintah pusat untuk memperkayakan diri mereka dan "menggerakkan pendapat umum untuk membenarkan kecurian" dan memanipulasi rakyat mereka sendiri seolah-olah dana itu dibelanjakan untuk kepentingan awam, kata Encik Firli, yang ditukil laman berita Jakarta Globe, minggu lalu. (14 Jan)



Hakikatnya, tidak ada projek pembangunan yang besar dilakukan pemerintah wilayah selama ini walaupun bantuan kewangan berterusan daripada pemerintah pusat.



"KPK datang untuk mendapatkan semula dan menjamin wang dan aset negara yang mesti digunakan untuk meningkatkan kemakmuran rakyat di Papua," tegas Encik Firli.



Encik Mohammad Mahfud berkata pada Oktober tahun lalu, pemerintah pusat telah menyalurkan sejumlah 1,000 trilion rupiah ($87 bilion) dalam "pembiayaan autonomi" kepada Papua sejak 2001, kira-kira separuh daripada jumlah itu telah dikeluarkan semasa penggal Lukas.



"Lebih daripada 500 trilion rupiah ($43.51 bilion) telah dikeluarkan semasa tempoh Lukas Enembe tetapi tiada apa yang berlaku: rakyat kekal miskin dan pegawai meneruskan gaya hidup mewah mereka," kata Mahfud.



Pusat Laporan dan Analisis Transaksi Kewangan (PPATK) mendedahkan bahawa Enembe telah membuat pembayaran berjumlah $55 juta kepada kasino luar negara sejak 2017 selepas mereka menganalisis rekod kewangan gabenor atas permintaan KPK.



Pada satu ketika, Enembe membelanjakan $5 juta dalam satu pembayaran kasino, menurut PPATK.



KPK juga mendapati gabenor Papua itu pernah membayar $55,000 untuk seutas jam tangan.



Pada 12 Januari lalu, seorang peguam Enembe menuntut anak guamnya dibebaskan segera, memetik keadaan kesihatannya yang lemah.



Encik Petrus Bala Pattyona memberi alasan, Enembe mempunyai masalah angin ahmar dan sakit jantung, buah pinggang dan paru-paru dan perlu menjalani rawatan perubatan secara berkala.



Dalam memenuhi permintaan ini, KPK menawarkan agar Enembe dirawat di Rumah Sakit Pusat Angkatan Darat di Jakarta.



"Kalau rumah sakit di Jakarta tidak mampu merawatnya, maka akan diizinkan keluar negeri tetapi dengan didampingi petugas KPK," kata Timbalan Ketua KPK, Encik Alexander Marwata, yang ditukil akhbar Tempo, minggu lalu.




"Suspek menunjukkan contoh seorang pemimpin melulu yang, atas sebab apa pun, telah menunjukkan sikap tidak berdisiplin semasa memegang jawatan awam sehingga dia mesti menghadapi pendakwaan jenayah. KPK datang untuk mendapatkan semula dan menjamin wang dan aset negara yang mesti digunakan untuk meningkatkan kemakmuran rakyat di Papua."
- Ketua Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia, Encik Firli Bahuri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >