NAZARETH, Isarel: Pemimpin parti Islam Israel, Encik Mansour Abbas, mengambil langkah luar biasa dengan memilih seorang tokoh Yahudi-Zionis sebagai calon nombor dua partinya, dalam percubaan merapatkan jurang politik Arab-Yahudi menjelang pilihan raya Israel pada Oktober.

Langkah itu dianggap penting kerana parti Raam pimpinan Encik Abbas berpotensi menjadi penentu sama ada blok pembangkang mempunyai cukup kerusi di Parlimen, atau Knesset, untuk membentuk pemerintah baharu dan menamatkan pemerintahan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Pada 31 Ogos, Encik Abbas mengumumkan Encik Yoav Segalovitz sebagai calon nombor dua Raam, nama singkatan bahasa Ibrani bagi United Arab List.

Encik Segalovitz ialah bekas anggota pasukan payung terjun Israel, pegawai kanan polis dan mantan Timbalan Menteri Keselamatan Negara.

Beliau sebelum ini merupakan anggota Yesh Atid, parti berhaluan tengah yang secara terbuka berpegang kepada fahaman Zionisme.

Penyertaannya dalam Raam dianggap sesuatu yang jarang berlaku dalam politik Israel kerana sebelum ini, tokoh Yahudi yang menyertai parti Arab kebanyakannya datang daripada kelompok politik berhaluan kiri seperti Parti Komunis.

Encik Abbas berkata langkah tersebut mencerminkan kesediaan Raam membina kerjasama politik merentasi masyarakat Arab dan Yahudi.

“Ada orang yang takut kepada kerjasama. Ada parti yang takut kepada kerjasama. Mereka takut apa yang orang akan katakan dan apa yang mungkin mereka kehilangan,” katanya ketika memperkenalkan Encik Segalovitz di Nazareth, antara bandar dengan penduduk majoriti Arab terbesar di Israel.

“Raam tidak takut kepada kerjasama. Raam menggerakkannya.”

Sebagai calon nombor dua, Encik Segalovitz hampir pasti memasuki Knesset jika Raam memenangi sekurang-kurangnya dua kerusi.

Tinjauan pendapat setakat ini menunjukkan parti itu berpotensi memperoleh lima atau lebih kerusi.

Kedua-dua pemimpin itu bukan asing dalam bekerjasama.

Mereka pernah berada dalam pemerintah campuran yang dipimpin Encik Naftali Bennett dan kemudian Encik Yair Lapid pada 2021 dan 2022.

Ketika itu, Encik Abbas mencipta sejarah apabila Raam menjadi parti Arab pertama menyertai pemerintah campuran Israel.

Encik Segalovitz pula, sebagai Timbalan Menteri Keselamatan Negara, diberi tanggungjawab menangani peningkatan jenayah dalam masyarakat Arab Israel.

Usahanya menyasarkan kumpulan jenayah terancang dikaitkan dengan penurunan 16 peratus kes pembunuhan dan 30 peratus kejadian tembakan.

Walaupun tidak boleh berbahasa Arab, Encik Segalovitz mendapat sokongan dalam kalangan masyarakat Arab yang membentuk kira-kira satu perlima penduduk Israel.

Bagaimanapun, kadar jenayah dalam masyarakat Arab kembali meningkat selepas Encik Netanyahu kembali berkuasa dan melantik ahli politik berhaluan kanan, Encik Itamar Ben-Gvir, sebagai Menteri Keselamatan Negara.

Setakat tahun ini, 168 warga Arab Israel dilaporkan terbunuh akibat keganasan, menurut pertubuhan bukan mencari keuntungan Yahudi-Arab, Abraham Initiatives.

Jumlah itu sudah melebihi angka sepanjang 2025.

Encik Segalovitz, yang berkhidmat selama 28 tahun dalam pasukan polis dan membantu menubuhkan unit antirasuah serta jenayah berat Lahav 433, berkata beliau kini mahu menjadi Menteri Keselamatan Negara.

“Pemerintah sekarang telah membawa Israel ke keadaan yang tidak boleh diterima dalam setiap aspek kehidupan,” katanya.

Beliau antara lain menyebut jenayah yang tidak terkawal dan kurangnya keselamatan peribadi, khususnya bagi warga Arab.

Encik Abbas pula menegaskan masalah jenayah dalam masyarakat Arab bukan isu yang hanya menjejaskan golongan minoriti itu.

“Kumpulan yang memungut wang perlindungan daripada pemilik kedai runcit Arab turut memungutnya daripada pemilik bengkel Yahudi,” katanya.

“Ini bukan masalah orang Arab. Ini masalah negara.”

Kerjasama itu juga sebahagian daripada perubahan lebih luas yang dilakukan Encik Abbas terhadap Raam.

Parti tersebut yang mempunyai akar politik Islam dan hubungan rapat dengan cabang selatan Gerakan Islam, baru-baru ini memutuskan hubungan institusi rasminya dengan Majlis Syura dan bergerak ke arah menjadi parti sivik yang terbuka kepada rakyat Israel daripada semua agama.

Encik Abbas juga berulang kali mengecam Hamas dan serangan 7 Oktober 2023 serta menggesa pembebasan tebusan Israel.

Namun, serangan Hamas itu turut meningkatkan rasa curiga dan permusuhan sebahagian masyarakat Yahudi terhadap warga Arab Israel, menyebabkan usaha Encik Abbas mendapatkan penerimaan dalam politik arus perdana menjadi semakin sukar.

Pakar politik Arab Israel di Institut Van Leer Jerusalem, Encik Thair Abu Ras, berkata pemilihan Encik Segalovitz membawa mesej kepada kedua-dua masyarakat.

Kepada masyarakat Arab, katanya, Raam mahu menunjukkan ia serius menyelesaikan masalah harian mereka, manakala kepada masyarakat Yahudi, parti itu mahu menampilkan dirinya sebagai sebuah parti sederhana yang boleh menjadi rakan dalam pemerintah.

Langkah itu penting menjelang pilihan raya Oktober kerana tinjauan menunjukkan sekurang-kurangnya 10 parti mungkin memasuki Knesset dan tiada sebuah parti dijangka memperoleh lebih 24 daripada keseluruhan 120 kerusi.

Keadaan itu bermakna pembentukan pemerintah hampir pasti memerlukan rundingan campuran yang rumit.

Sokongan Raam pula mungkin menjadi penentu sama ada parti pembangkang mempunyai angka mencukupi untuk menyingkirkan Encik Netanyahu.

Namun, strategi Encik Abbas bukan tanpa risiko.

Pendekatan lebih terbuka terhadap parti dan ahli politik Yahudi-Zionis boleh menyebabkan Raam kehilangan sebahagian pengundi tradisionalnya yang menganggap parti itu terlalu banyak berkompromi untuk mendapatkan penerimaan masyarakat Yahudi.

Encik Abbas bagaimanapun menegaskan pemilihan Encik Segalovitz didorong pertimbangan praktikal dan bukannya semata-mata keinginan menyertai pemerintah selepas pilihan raya.

“Mereka akan bertanya kepada saya, ‘Apa orang Arab mahu dengan seorang mejar jeneral polis Yahudi?’ Dan mereka akan bertanya kepadanya, ‘Apa yang seorang mejar jeneral polis Yahudi mahu dengan orang Arab?’” katanya.

“Jawapan saya mudah. Saya tidak mencari seseorang yang sama seperti saya. Saya mencari seseorang yang tahu bagaimana melakukan tugasnya.” - Agensi berita