RAMALLAH: Presiden Penguasa Palestin, Encik Mahmoud Abbas, mengeluarkan dekri menetapkan pilihan raya legislatif Palestin pada 28 November, sekali gus membuka peluang kepada rakyat Palestin memilih semula anggota Parlimen buat kali pertama dalam tempoh hampir dua dekad.

Jika berlangsung seperti dijadualkan, pilihan raya itu akan menjadi yang pertama sejak 2006, sekali gus dianggap sebagai usaha penting untuk memulihkan sistem politik Palestin yang sekian lama terhenti akibat perpecahan politik, konflik berterusan dan pelbagai cabaran keselamatan.

Menurut dekri yang dipetik agensi berita rasmi Wafa, semua rakyat Palestin di Tebing Barat yang diduduki, Baitulmakdis Timur yang diduduki dan Gaza boleh mengundi secara bebas memilih anggota Majlis Perundangan Palestin (PLC).

Pilihan raya berkenaan bakal diadakan ketika Penguasa Palestin berusaha mendapatkan semula keyakinan rakyat serta memenuhi tuntutan masyarakat antarabangsa yang mahu melihat pembaharuan institusi politik di wilayah Palestin.

Kali terakhir rakyat Palestin mengundi bagi pilihan raya legislatif ialah pada 2006 apabila Hamas mengejutkan banyak pihak dengan menewaskan parti Fatah yang diterajui Encik Abbas, sekali gus menamatkan dominasi politik Fatah.

Kemenangan Hamas akhirnya membawa kepada perpecahan politik antara Hamas dengan Fatah, sebelum kededua pihak bertelagah sehingga mengakibatkan Hamas menguasai Gaza pada 2007, manakala Penguasa Palestin terus mentadbir Tebing Barat.

Sejak itu, Majlis Perundangan Palestin tidak lagi bersidang, menyebabkan badan perundangan tersebut lumpuh selama hampir 20 tahun.

Encik Abbas yang kini berusia 90 tahun memenangi pilihan raya presiden Palestin pada 2005 dengan mandat selama empat tahun.

Bagaimanapun, pilihan raya presiden tidak pernah diadakan semula selepas tempoh itu berakhir pada 2009 dan beliau terus mentadbir melalui dekri presiden.

Pada Jun, Encik Abbas mengumumkan pilihan raya presiden akan diadakan pada 2027, namun tidak menyatakan sama ada beliau akan bertanding semula.

Profesor sains politik Universiti Birzeit, Encik Ghassan Khatib, berkata langkah mengadakan pilihan raya mencerminkan kesedaran bahawa kepimpinan Palestin memerlukan mandat baharu daripada rakyat.

“Terdapat sentimen bahawa legitimasi politik Palestin semakin terhakis kerana terlalu lama tiada pilihan raya diadakan,” katanya.

Beliau berkata keadaan itu mewujudkan jurang antara rakyat dengan kepimpinan Palestin.

“Kepimpinan memerlukan pembaharuan dan suntikan tenaga baharu. Ketiadaan Majlis Perundangan Palestin sejak sekian lama telah menyebabkan kerosakan besar terhadap sistem politik,” katanya lagi.

Penguasa Palestin sejak beberapa tahun lalu berdepan kritikan kerana didakwa gagal melaksanakan pembaharuan, selain berdepan dakwaan rasuah, kelemahan pentadbiran dan kemerosotan kepercayaan rakyat.

Masyarakat antarabangsa, termasuk Kesatuan Eropah (EU), turut menjadikan pembaharuan institusi sebagai antara syarat penting bagi meneruskan sokongan kewangan kepada pentadbiran Palestin.

Dekri pilihan raya itu diumumkan hanya beberapa hari sebelum persidangan penderma antarabangsa anjuran EU di Brussels, ketika Penguasa Palestin berdepan krisis kewangan yang semakin meruncing.

Selama 16 bulan, Menteri Kewangan Israel, Encik Bezalel Smotrich, dilaporkan menyekat pemindahan hasil cukai Palestin yang dikutip Israel, iaitu sumber utama pendapatan Penguasa Palestin bagi membiayai perkhidmatan awam di Tebing Barat.

Encik Smotrich yang secara terbuka menyokong pengilhakan Tebing Barat oleh Israel turut mengambil beberapa langkah yang menjejaskan sektor perbankan Palestin sehingga menyukarkan urusan kewangan pemeritah Palestin.

Keadaan itu menyebabkan Penguasa Palestin bergantung kepada bantuan daripada EU dan negara Arab bagi menampung kekurangan dana.

Walaupun tarikh pilihan raya telah diumumkan, pelaksanaannya masih berdepan pelbagai cabaran.

Pada 2021, Abbas pernah mengumumkan pilihan raya legislatif dan presiden, namun kededuanya ditangguhkan tanpa tempoh selepas Israel tidak memberi jaminan bahawa pengundian boleh diadakan di Baitulmakdis Timur.

Selain itu, perang di Gaza sejak Oktober 2023 telah memusnahkan sebahagian besar prasarana awam serta menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mengendalikan proses pengundian.

Cabaran turut melibatkan penyertaan Hamas selepas Encik Abbas menandatangani undang-undang pilihan raya baharu yang mewajibkan semua calon menerima program politik Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), termasuk pengiktirafan terhadap Israel dan sokongan kepada penyelesaian dua negara.

Syarat itu dilihat sukar diterima Hamas yang selama ini menolak kededua prinsip berkenaan.

Walaupun demikian, perkembangan politik di Gaza memberi sedikit harapan apabila Hamas baru-baru ini mengumumkan pembubaran pentadbiran awamnya sebagai persediaan menyerahkan kuasa kepada Jawatankuasa Nasional Pentadbiran Gaza (NCAG), selaras dengan pelan peralihan yang dipersetujui sebelum ini.

Encik Khatib berkata kejayaan pilihan raya bergantung kepada kesediaan Israel membenarkan proses itu berlangsung tanpa gangguan.

“Masyarakat antarabangsa perlu memberi tekanan kepada Israel supaya menyediakan suasana yang sesuai, atau sekurang-kurangnya tidak menghalang pilihan raya ini,” katanya.

Beliau berkata Israel dijangka tidak menyokong proses yang boleh mengukuhkan kedudukan politik Penguasa Palestin. – Agensi berita.