Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gambar penahanan Maduro cetus fenomena sut Nike di media sosial

Jan 7, 2026 | 7:45 PM
Gambar yang dimuat naik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memperlihatkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam tahanan Amerika Syarikat mengenakan sut Nike Tech Fleece, mencetuskan fenomena tular di media sosial dan lonjakan minat global terhadap pakaian sukan berkenaan, sekali gus menonjolkan pertembungan luar jangka antara politik, fesyen dan budaya Internet.
Gambar yang dimuat naik Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memperlihatkan Presiden Venezuela Nicolas Maduro dalam tahanan Amerika Syarikat mengenakan sut Nike Tech Fleece, mencetuskan fenomena tular di media sosial dan lonjakan minat global terhadap pakaian sukan berkenaan, sekali gus menonjolkan pertembungan luar jangka antara politik, fesyen dan budaya Internet. - Foto TRUTH SOCIAL: @realDonaldTrump

NEW YORK: Penahanan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, secara tidak langsung mencetuskan fenomena luar jangka di dunia fesyen global apabila satu gambar yang dimuat naik oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, mencetuskan lonjakan minat terhadap pakaian sukan jenama Nike, khususnya sut Nike Tech Fleece.

Gambar yang dikongsi Encik Trump pada 3 Januari di platform Truth Social itu memperlihatkan Encik Maduro dalam tahanan Amerika Syarikat, dalam keadaan bergari, ditutup mata dan telinga dengan fon kepala pembatal bunyi, sambil mengenakan sut trek kelabu Nike. Imej tersebut, yang dilihat oleh jutaan pengguna di seluruh dunia, segera mencuri perhatian bukan sahaja kerana konteks geopolitiknya, tetapi juga kerana pilihan pakaian yang dipakai oleh pemimpin Venezuela itu.

Dalam masa beberapa jam selepas gambar tersebut tersebar, carian Google bagi frasa “Nike Tech” melonjak mendadak, menurut data Google Trends, dengan peningkatan global dianggarkan hampir empat kali ganda. Di beberapa pasaran utama termasuk Amerika Syarikat dan sebahagian Eropah, stok sut berkenaan dilaporkan habis terjual, khususnya bagi saiz besar.

Encik Maduro dan isterinya, Cik Cilia Flores, ditahan dalam satu serbuan tentera mengejut di Caracas pada 3 Januari lalu sebelum dibawa ke Amerika Syarikat untuk berdepan pertuduhan berkaitan dadah dan senjata. Kedua-duanya mengaku tidak bersalah pada 5 Januari. Trump turut mendakwa Maduro diterbangkan dengan helikopter ke kapal perang USS Iwo Jima sebelum dibawa ke New York.

Namun di luar naratif politik, tumpuan pengguna media sosial pantas beralih kepada sut Nike Tech Fleece yang dipakai Encik Maduro - pakaian yang mempunyai makna budaya tersendiri, khususnya dalam kalangan generasi muda. Sut tersebut sering dikaitkan dengan budaya busana jalanan dan menjadi pilihan popular dalam kalangan pemuzik rap, atlet serta belia bandar di kota seperti New York.

Di laman web Nike, jaket zip penuh Tech Fleece dijual sekitar AS$140 (S$179), manakala seluar joging mencecah AS$120. Nike menggambarkan produknya sebagai menawarkan “keselesaan premium dengan kehangatan ringan dan kemasan kemas”. Menariknya, ulasan pengguna yang muncul selepas penahanan Encik Maduro turut sarat dengan sindiran politik.

“Ia sangat selesa untuk penerbangan jarak jauh,” tulis seorang pembeli. “Hari saya sangat buruk, tetapi pakaian ini sedikit sebanyak membuatkan keadaan lebih tertanggung,” tulis seorang lagi, dipercayai merujuk secara sinis kepada nasib seluar joging Maduro.

Seorang pengguna lain pula menamakan semula pakaian itu sebagai “Nike Operation Absolute Resolve Freedom Tech Fleece”, merujuk operasi ketenteraan Amerika Syarikat.

Fenomena ini turut menghidupkan kembali perdebatan dalam talian yang sudah lama berlegar, khususnya dalam kalangan lelaki muda, mengenai identiti fesyen antara “pasukan Nike Tech” dan “pasukan zip suku”, yang secara berseloroh melambangkan peralihan daripada gaya streetwear kepada imej korporat dan profesional.

Menurut Encik James Harris, hos bersama podcast fesyen lelaki popular Throwing Fits, fenomena ini mencerminkan cara masyarakat moden memproses peristiwa besar dunia. “Ada peristiwa global yang begitu mengejutkan sehingga reaksi paling cepat ialah melalui humor gelap dan meme,” katanya. Podcast tersebut memuat naik meme berkaitan gambar Encik Maduro dan menerima lebih 50,000 tanda suka.

Pensyarah kajian media di Queens College, New York, Encik Jamie Cohen, menyifatkan meme fesyen sebagai “cara tidak partisan dan mudah dikongsi” untuk terlibat dalam perbincangan awam. “Lebih mudah membedah pakaian daripada berdepan implikasi geopolitik yang rumit,” katanya.

Pakar interaksi manusia-komputer dari Universiti Carnegie Mellon, Encik Steve Rathje, pula berkata keanehan imej tersebut menjadi faktor utama ia tular. “Jarang kita melihat seorang pemimpin dunia dalam situasi seperti ini, apatah lagi berpakaian santai seperti belia bandar. Keanehan itulah yang menjadikannya tular,” jelasnya.

Nike, yang beribu pejabat di Oregon, tidak memberikan sebarang komen rasmi mengenai fenomena tersebut. Namun, dalam era media sosial, episod ini sekali lagi membuktikan bagaimana satu imej boleh melangkaui politik, bertukar menjadi rujukan budaya dan iklan percuma yang tidak dirancang. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg