Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Operasi rahsia berbulan buru Maduro tamat kurang 2 jam 20 minit

Bagaimana Amerika Syarikat jejak Presiden Venezuela dalam campur tangan paling dramatik di Amerika Latin sejak era Perang Dingin
Jan 7, 2026 | 5:30 AM
Amerika Syarikat, Donald Trump, menahan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro, Caracas
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, memuat naik sekeping gambar di media sosial pada 3 Januari yang didakwanya menunjukkan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, yang telah ditahan, berada di atas sebuah kapal perang Amerika beberapa jam selepas beliau ditangkap di Caracas. - Foto TRUTHSOCIAL

WASHINGTON/CARACAS: Selama berbulan-bulan sebelum penahanan Presiden Venezuela, Encik Nicolas Maduro, pergerakan pemimpin berusia 63 tahun itu dipantau secara rapi oleh ejen perisikan Amerika Syarikat, dalam satu operasi risikan dan ketenteraan yang disifatkan sebagai campur tangan paling dramatik Washington di Amerika Latin sejak era Perang Dingin.

Sumber keselamatan mendedahkan satu pasukan kecil perisik Amerika, termasuk seorang sumber manusia yang berada dalam struktur kerajaan Venezuela sendiri, memantau hampir setiap aspek kehidupan Encik Maduro.

Maklumat yang dikumpulkan bukan sahaja merangkumi lokasi beliau tidur dan rutin harian, malah apa yang dimakan, pakaian yang dipakai, dan berdasarkan pegawai kanan tentera Amerika, termasuk “haiwan peliharaannya”.

Pada awal Disember, perancangan yang dirahsiakan rapi itu dimuktamadkan dan dinamakan. Operasi Absolute Resolve.

Ia adalah hasil persiapan teliti selama beberapa bulan, termasuk latihan berulang oleh pasukan elit Amerika menggunakan replika berskala penuh rumah perlindungan Encik Maduro di Caracas bagi mensimulasikan laluan masuk dan titik sasaran.

Operasi tersebut, yang disifatkan oleh penganalisis sebagai campur tangan ketenteraan luar biasa di rantau itu, dilaksanakan tanpa sebarang makluman awal kepada Kongres Amerika.

Dengan butiran akhir dimuktamadkan, kepimpinan ketenteraan tertinggi hanya menunggu saat yang dianggap paling sesuai untuk bertindak.

“Kami mahu memaksimumkan unsur kejutan,” kata pegawai tentera Amerika pada 3 Januari.

Satu cubaan awal untuk melancarkan operasi itu berlaku empat hari lebih awal apabila Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi kelulusan.

Namun, ia ditangguhkan ekoran faktor cuaca dan litupan awan yang tidak mengizinkan.

“Sepanjang tempoh Krismas dan Tahun Baru, anggota tentera Amerika berada dalam keadaan bersiap sedia, menunggu dengan sabar sehingga semua pencetus dipenuhi dan presiden mengarahkan kami bertindak,” kata Pengerusi Ketua Turus Bersama Amerika, Jeneral Dan Caine, dalam satu sidang media.

Arahan muktamad daripada Encik Trump dikeluarkan pada 10.46 malam waktu Pantai Timur Amerika pada 2 Januari, bersamaan 3.46 pagi 3 Januari waktu GMT.

“Kami hampir melakukannya empat hari lalu, tiga hari lalu, dua hari lalu. Tiba-tiba semuanya terbuka dan kami berkata: Teruskan,” kata Encik Trump dalam temu bual bersama rancangan televisyen, Fox & Friends, beberapa jam selepas serbuan itu.

Encik Trump turut menyampaikan pesanan ringkas kepada tentera.

“Beliau berkata kepada kami, dan kami amat menghargainya: Semoga berjaya dan selamat menjalankan tugas,” kata Jeneral Caine.

Arahan itu diberikan tidak lama sebelum tengah malam di Caracas, membolehkan tentera Amerika memanfaatkan waktu gelap sepanjang malam.

Operasi yang dilancarkan selepas itu berlangsung selama sekitar dua jam 20 minit melalui udara, darat dan laut, sekali gus mengejutkan Washington dan masyarakat antarabangsa.

Serangan sebelum subuh pada 3 Januari itu berakhir dengan penahanan Encik Maduro dan isterinya, Cik Cilia Flores, satu peristiwa yang hampir tiada bandingan dalam politik moden.

Kedua-duanya ditangkap oleh pasukan elit Delta Force ketika cuba melarikan diri ke sebuah bilik perlindungan berkubu, dan kini ditahan di pusat tahanan di New York untuk menghadapi pertuduhan berkaitan pengganasan dan dadah terkawal.

Apabila matahari terbit, kesan operasi ketenteraan itu jelas kelihatan di Caracas.

Gambar dari Fuerte Tiuna, sebuah kompleks ketenteraan besar yang menempatkan pegawai tertinggi pemerintah, menunjukkan bangunan musnah dan kenderaan hangus terbakar.

Di situlah Encik Maduro dan isterinya ditangkap, ujar pemimpin parti pemerintah Venezuela, Encik Nahum Fernandez.

Operasi itu bermula sekitar 2 pagi waktu tempatan dengan letupan kuat di beberapa bahagian bandar.

Encik Trump kemudian mengesahkan bekalan elektrik ke Caracas telah diputuskan.

“Ia gelap dan ia membawa maut,” katanya.

Tujuan utama serangan awal itu adalah untuk melumpuhkan sistem pertahanan udara Venezuela dan membuka laluan selamat bagi helikopter tentera Amerika menuju ke Fuerte Tiuna.

“Kami menilai unsur kejutan berjaya dikekalkan sepenuhnya,” kata Jeneral Caine.

Pengesahan oleh BBC menunjukkan sekurang-kurangnya lima lokasi diserang, termasuk kompleks ketenteraan, sebuah pelabuhan dan lapangan terbang.

Rakaman menunjukkan Fuerte Tiuna terbakar dengan api besar yang dapat dilihat dari beberapa kilometer jauhnya.

Penduduk Caracas melaporkan helikopter tentera terbang rendah di atas bandar itu.

Sebuah helikopter ditembak, namun masih mampu beroperasi.

“Berlaku tembakan yang sangat hebat,” kata Encik Trump.

Pasukan Delta Force memasuki kompleks sasaran pada 2.01 pagi.

Menurut Jeneral Caine, Encik Maduro dan isterinya akhirnya “menyerah tanpa sebarang pergelutan”.

Encik Trump bagaimanapun mendedahkan lebih banyak perincian.

“Mereka cuba melarikan diri ke tempat selamat, sebuah kubu keluli,” katanya.

“Pintunya sangat tebal, sangat berat. Dia sempat sampai ke pintu itu, tetapi tidak mampu menutupnya.”

Encik Trump berkata walaupun mereka berjaya masuk ke bilik perlindungan itu, pasukan Amerika mampu memecahkannya dalam masa kira-kira “47 saat”.

Dari segi skala dan ketepatan, operasi itu hampir tidak pernah berlaku sebelum ini.

Namun ia mencetuskan kecaman serta-merta di peringkat antarabangsa.

Presiden Brazil, Encik Luiz Inácio Lula da Silva, menyifatkan penahanan ganas pemimpin Venezuela itu sebagai “satu contoh berbahaya yang amat serius bagi masyarakat antarabangsa”.

Encik Trump tidak memantau operasi itu dari Bilik Situasi Rumah Putih, sebaliknya menyaksikannya secara langsung dari kelab peribadinya di Mar-a-Lago, Florida, dikelilingi penasihat kanan termasuk Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe; dan Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio.

“Sungguh luar biasa untuk disaksikan,” kata Encik Trump.

“Saya menontonnya seperti menonton rancangan televisyen. Kepantasan, keganasan, semuanya menakjubkan.”

Lebih 150 pesawat tentera, termasuk pengebom, jet pejuang dan pesawat risikan, dikerahkan sepanjang malam, tambah pegawai Amerika.

“Ia sangat kompleks, amat kompleks. Kami ada jet pejuang untuk setiap kemungkinan,” kata Encik Trump.

Di Caracas, penduduk menyifatkan ia sebagai malam penuh ketakutan.

“Kami terjaga sekitar 1.55 pagi kerana bunyi letupan dan pesawat, Segalanya gelap, hanya diterangi kilatan letupan,” ujar seorang saksi, Cik Daniela.

Menteri Pertahanan Venezuela, Encik Vladimir Padrino, berkata sebahagian besar pasukan keselamatan Encik Maduro, anggota tentera dan orang awam terbunuh dalam operasi itu.

Amerika sebelum ini menawarkan ganjaran AS$50 juta ($64.4 juta) bagi maklumat yang membawa kepada penahanan Encik Maduro.

Menjelang 4.20 pagi, helikopter Amerika meninggalkan ruang udara Venezuela membawa Encik Maduro dan isterinya.

Tidak lama kemudian, Encik Trump mengumumkan penahanan itu kepada dunia.

“Maduro dan isterinya akan berdepan sepenuhnya dengan keadilan Amerika,” katanya. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg