Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gambia hujah di ICJ bahawa Myanmar sasar hapuskan Rohingya

Jan 13, 2026 | 1:02 PM
Gambia, ICJ, Myanmar, Rohingya
Perbicaraan pertama di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 12 Januari 2025 menyaksikan Myanmar dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya - Foto EPA

THE HAGUE: Gambia pada 12 Januari memberitahu hakim Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) bahawa Myanmar menyasarkan minoriti Muslim Rohingya untuk dimusnahkan dan menjadikan kehidupan mereka bak mimpi ngeri dalam kes Myanmar dituduh melakukan genosid.

Ia merupakan kes genosid pertama yang didengar sepenuhnya oleh ICJ dalam tempoh lebih sedekad.

Hasilnya akan berkemungkinan besar menjejas kes genosid Afrika Selatan di ICJ terhadap Israel berhubung perang di Gaza.

Myanmar telah menafikan genosid. Israel juga mengambil pendirian yang sama.

Menteri Kehakiman Gambia, Encik Dawda Jallow, memberitahu hakim ICJ bahawa Rohingya adalah masyarakat biasa yang mempunyai impian untuk hidup aman dan bermaruah.

“Mereka telah disasarkan untuk dimusnahkan. Myanmar telah menafikan impian mereka, malah ia mengubah hidup mereka menjadi mimpi ngeri, menyebabkan mereka menjadi mangsa keganasan dan kemusnahan paling dahsyat yang dapat dibayangkan,” jelas beliau.

Gambia, sebuah negara Afrika Barat yang majoriti penduduknya beragama Islam, memfailkan kes itu di ICJ pada 2019, menuduh Myanmar melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap Rohingya, minoriti yang kebanyakannya beragama Islam di wilayah terpencil di barat Rakhine.

Angkatan tentera Myanmar melancarkan serangan pada 2017, memaksa sekurang-kurangnya 730,000 Rohingya melarikan diri ke negara jiran Bangladesh.

Misi pencarian fakta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyimpulkan bahawa serangan tentera itu sebagai “tindakan pembunuhan beramai-ramai”.

Pihak berkuasa Myanmar menolak laporan itu dengan menyatakan bahawa serangan tenteranya adalah kempen sebagai tindak balas terhadap serangan oleh militan Islam.

Bercakap di The Hague sebelum perbicaraan, mangsa Rohingya berkata mereka mahu kes yang telah lama ditunggu-tunggu itu memberikan keadilan.

“Kami berharap keputusan positif yang akan memberitahu dunia bahawa Myanmar telah melakukan pembunuhan beramai-ramai, dan kami adalah mangsanya, dan kami berhak mendapat keadilan,” kata Encik Yousuf Ali, seorang pelarian Rohingya berusia 52 tahun yang mendakwa pernah diseksa oleh tentera Myanmar, kepada Reuters.

Dalam perbicaraan awal 2019 dalam kes ICJ, pemimpin Myanmar ketika itu, Cik Aung San Suu Kyi, menolak tuduhan pembunuhan beramai-ramai Gambia sebagai “tidak lengkap dan mengelirukan”.

Gambia akan membentangkan kesnya selama tiga hari lagi dan pada 16 Januari, Myanmar akan dapat menjawab dakwaan tersebut.

Selepas itu, mahkamah akan mendengar keterangan mangsa Rohingya dalam sesi tertutup.

Secara keseluruhan, perbicaraan di ICJ akan berlangsung selama tiga minggu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg