Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB rayu Indonesia hulurkan misi selamatkan pelarian Rohingya

Oct 22, 2024 | 11:40 AM
Seorang pelarian Rohingya yang sakit di atas sebuah bot di Labuhan Haji, wilayah Aceh Selatan, dibantu oleh kakitangan agensi mencari dan menyelamat Indonesia pada 20 Oktober.
Seorang pelarian Rohingya yang sakit di atas sebuah bot di Labuhan Haji, wilayah Aceh Selatan, dibantu oleh kakitangan agensi mencari dan menyelamat Indonesia pada 20 Oktober. - Foto AFP

JAKARTA: Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) mengemukakan rayuan kepada pemerintah Indonesia agar menyelamatkan sebuah bot yang terapung di pantai barat negara itu yang membawa lebih 100 pelarian Rohingya, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pelarian Rohingya, yang kebanyakannya beragama Islam, menghadapi penindasan di Myanmar.

Setiap tahun, ramai daripada mereka mengambil risiko untuk melalui perjalanan laut yang panjang dan berbahaya dalam usaha melarikan diri ke Malaysia atau Indonesia.

Menurut laporan, bot yang dipercayai membawa lebih 100 pelarian itu telah berlabuh sekitar 6 kilometer dari pantai wilayah Aceh, tetapi pada 21 Oktober, sebuah bot bantuan telah menariknya ke jarak lebih dekat, iaitu 1.6 kilometer dari daratan.

UNHCR menyeru pemerintah Indonesia agar segera menjalankan operasi menyelamat dan memastikan pelarian tersebut dapat mendarat dengan selamat.

“UNHCR mendesak pihak berkuasa supaya memastikan operasi menyelamat di laut serta pendaratan selamat bagi kumpulan yang terdesak ini,” kata Encik Faisal Rahman, pegawai perlindungan UNHCR di Indonesia.

Beliau turut menambah UNHCR dan rakan-rakannya sedia memberikan bantuan yang sangat diperlukan kepada golongan pelarian yang terdedah kepada bahaya itu.

Pada 17 Oktober, lima pelarian Rohingya telah dipindahkan untuk mendapatkan rawatan perubatan di hospital tempatan di Aceh.

Menurut pegawai tempatan di daerah Aceh Selatan, sehingga kini, sekurang-kurangnya seorang pelarian dilaporkan meninggal dunia di atas bot tersebut.

Jurucakap daerah Aceh Selatan, Encik Yuhelmi, menyatakan bahawa penduduk tempatan sedang menunggu ketibaan pegawai imigresen sebelum sebarang keputusan lanjut diambil mengenai tindakan susulan.

Walaupun Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB, mereka berulang kali menekankan bahawa negara-negara jiran perlu berkongsi beban dalam penempatan semula pelarian Rohingya yang tiba di pantai mereka.

Ramai penduduk Aceh menunjukkan simpati terhadap pelarian tersebut kerana mempunyai sejarah konflik berdarah yang panjang.

Namun, terdapat juga pihak yang menyifatkan sumber terhad tempatan terjejas akibat kehadiran kumpulan pelarian itu.

Sebagai contoh, pada Disember 2023, berlaku kejadian apabila ratusan pelajar menyerbu sebuah dewan di Aceh yang digunakan untuk menempatkan pelarian Rohingya, mengusir mereka dan merosakkan harta benda pelarian. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg