Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gangguan seksual: Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Indonesia dipecat

Jul 4, 2024 | 12:56 PM
skandal seksual
Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU), Hasyim Asy’ari, dipecat ekoran kes skandal seksual. - Foto AFP

JAKARTA: Panel etika mengarahkan, Hasyim Asy’ari, dipecat daripada jawatannya sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU), berhubung dakwaan gangguan seksual, kira-kira empat bulan sebelum pilihan raya wilayah seluruh negara.

Dalam perbicaraan pada 3 Julai, Majlis Etika Organisasi Pilihan Raya (DKPP) mendapati Hasyim bersalah atas pelanggaran etika, kerana mengganggu seorang wanita pentadbir pilihan raya di luar negara.

Majlis itu mengesyorkan supaya Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, secara rasmi memecat Hasyim daripada jawatannya selewat-lewatnya dalam masa seminggu selepas perintah itu dikeluarkan.

Panel enam anggota itu berkata, Hasyim telah menyalahgunakan kuasa dan sumber negara sebagai pengerusi badan pengundian, untuk memaksa plaintif, ahli Jawatankuasa Pilihan Raya Luar Negara (PPLN) The Hague di Negeri Belanda yang dikenal pasti dengan nama CAT, mengadakan hubungan seks dengannya dalam sebuah hotel di Amsterdam pada Oktober 2023.

“(Hasyim) terbukti gagal mengekalkan keseimbangan antara kepentingan peribadi dengan awam, apabila mencampurkan keinginan peribadi (dengan tugas rasmi) untuk memenuhi keinginannya,” kata ahli majlis itu, Encik Muhammad Tio Aliansyah.

Hasyim menghadiri perbicaraan secara maya dari pejabat KPU di Jakarta, manakala plaintif terbang dari Belanda untuk menghadirinya secara peribadi, supaya beliau dapat “melihat bagaimana keadilan dilaksanakan”, katanya selepas perbicaraan, seperti yang dilaporkan oleh Tempo.co.

Menjawab keputusan itu, Hasyim mengadakan sidang media pada hari yang sama dan berkata: “Kita semua tahu bagaimana perbicaraan berjalan dan berakhir dengan keputusan itu.”

“Sekarang, saya ingin mengucapkan alhamdulillah dan terima kasih kepada DKPP kerana telah melepaskan saya daripada tugas berat sebagai anggota KPU, yang menganjurkan pilihan raya,” tambahnya.

Ini bukan kali pertama Hasyim terlibat dalam kes etika.

Dia telah dilaporkan kepada DKPP pada Disember 2022 oleh seorang ahli politik wanita dari sebuah parti kecil, atas dakwaan gangguan seksual.

Hasyim dibebaskan daripada semua dakwaan, namun menerima amaran daripada majlis kerana apa yang dikatakan hubungan peribadinya yang tidak sesuai dengannya dan potensi percanggahan kepentingan, lapor The Jakarta Post. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg