Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PBB: Banjir ancam 40% penduduk Gaza, lebih 760 tapak pelarian berdepan risiko

Dec 12, 2025 | 9:13 AM
khan younis, hujan lebat di palestin
Penduduk Palestin yang kehilangan tempat tinggal bergerak dengan platform kayu yang ditarik haiwan melalui jalan yang ditenggelami air selepas hujan lebat melanda Khan Younis di selatan Gaza, 11 Disember. - Foto EPA

GAZA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa hujan lebat dan banjir yang melanda ratusan tapak pelarian di Jaluran Gaza sejak 11 Disember meletakkan hampir separuh penduduk wilayah itu pada risiko tinggi, ketika ribut musim sejuk terus memburukkan keadaan kemanusiaan yang sudah kritikal.

Jurucakap PBB, Encik Farhan Haq, berkata hujan berterusan telah menenggelamkan khemah, merosakkan barangan peribadi penduduk dan meningkatkan ancaman penyakit.

“Hujan lebat menenggelamkan khemah, membasahi pakaian dan makanan, serta meningkatkan risiko kesihatan termasuk hipotermia dalam kalangan bayi dan penyakit akibat limpahan kumbahan,” katanya pada sidang media, memetik laporan Pejabat Penyelaras Hal Ehwal Kemanusiaan PBB (Ocha).

Encik Haq berkata pasukan PBB dan badan bukan pemerintah (NGO)  telah menubuhkan sistem maklum balas kecemasan bagi menangani amaran banjir yang semakin meningkat.

“Sejak awal pagi Khamis (11 Disember), lebih 160 amaran banjir telah diproses,” katanya.

Agensi PBB kini mengagihkan khemah, kanvas, selimut, pakaian tebal dan kit kebersihan di seluruh Gaza.

Ribut Byron melanda Gaza ketika hampir 1.5 juta penduduk Palestin berlindung di khemah daif tanpa perlindungan kukuh.

Badan bantuan menyalahkan sekatan Israel terhadap bahan kritikal seperti kayu dan tiang khemah, yang menyebabkan keluarga terdedah kepada angin kuat, hujan dan penyakit.

Menurut analisis risiko banjir PBB, lebih 760 tapak petempatan sementara yang menempatkan kira-kira 850,000 orang berada dalam kategori risiko tertinggi.

“Itu bersamaan 40 peratus daripada keseluruhan penduduk Gaza,” kata Encik Haq.

Beliau turut menegaskan bahawa keperluan bantuan adalah “amat besar” dan menuntut sekatan terhadap operasi kemanusiaan dilonggarkan.

“Ini termasuk menamatkan larangan terhadap kebanyakan NGO antarabangsa dan UNRWA (Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat PBB bagi Pelarian Palestin), serta membuka lebih banyak laluan bagi membawa masuk barangan bantuan,” katanya.

Sejak 10 Disember, ribuan khemah pelarian bertukar menjadi kolam air akibat hujan lebat, membasahkan tilam, makanan dan pakaian serta memaksa keluarga bergelut dalam kesejukan tanpa perlindungan.

Menurut Majlis Pelarian Norway (NRC), Gaza memerlukan sekurang-kurangnya 300,000 khemah dan unit kediaman sementara.

Namun hanya 15,600 khemah dibawa masuk sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober, mencukupi untuk membantu sekitar 88,000 orang sedangkan 1.29 juta penduduk memerlukan tempat berlindung.

B’Tselem, kumpulan hak asasi Israel, berkata lebih 6,500 lori yang membawa khemah, selimut dan pakaian musim sejuk masih menunggu untuk dibenarkan masuk ke Gaza.

Jurucakap Pertahanan Awam Gaza, Encik Mahmoud Basal, berkata pihaknya menerima lebih 1,000 panggilan kecemasan sejak pagi 11 Disember.

“Paras air meningkat lebih satu meter di beberapa pusat perlindungan akibat ribut,” katanya dalam satu video.

“Jam-jam mendatang akan lebih sukar bagi keluarga yang berlindung, dengan hujan lebih lebat dijangka berterusan sehingga Jumaat (12 Disember),” katanya.

Beliau memberi amaran lebih 250,000 keluarga kini terdedah kepada hujan dan cuaca sejuk dalam khemah usang yang koyak.

Pada masa sama, jurucakap Perbandaran Gaza, Encik Hosni Mahna, berkata sistem pembetungan lumpuh hampir sepenuhnya selepas 7 daripada 8 stesen pam musnah dalam serangan Israel.

“Keupayaan mengalirkan air hujan menurun sehingga 80 peratus. Pasukan kami beroperasi dengan hanya 15 peratus peralatan lama di tengah-tengah kekurangan bahan api,” katanya.

Runtuhan bangunan yang memenuhi jalan turut menghalang aliran air hujan ke saliran.

Data terdahulu menunjukkan Gaza memerlukan sekitar 300,000 unit tempat tinggal sementara selepas dua tahun kemusnahan infrastruktur akibat perang.

PBB menganggarkan kos membina semula Gaza mencecah AS$70 bilion (S$90.4 bilion).

Sejak Oktober 2023, serangan Israel telah mengorbankan lebih 70,000 penduduk Palestin dan mencederakan 171,000 penduduk. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg