Topik diikuti
Pergi ke BHkuGegaran susulan, hujan lebat hambat operasi menyelamat di Mindanao
Gegaran susulan, hujan lebat hambat operasi menyelamat di Mindanao
Angka korban akibat gempa meningkat kepada 55 orang, jumlah mangsa hilang turut bertambah
Gegaran susulan, hujan lebat hambat operasi menyelamat di Mindanao
MANILA: Pasukan penyelamat di selatan Filipina terus bergelut dengan hujan lebat, gegaran susulan dan jalan rosak dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang selepas gempa bumi kuat melanda Pulau Mindanao, tatkala jumlah kematian meningkat kepada 55 orang.
Data terkini pemerintah Filipina yang dikeluarkan pada 12 Jun menunjukkan lapan lagi kematian direkodkan, manakala 31 individu masih hilang.
Lebih 480 orang turut cedera, sementara kira-kira 45,000 penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara.
Wilayah Sarangani antara kawasan paling teruk terjejas apabila banyak jalan utama tertimbus akibat runtuhan tanah dan batu besar.
Gempa bumi bermagnitud 7.8 yang berlaku di luar pesisir Mindanao pada 8 Jun lalu menyebabkan bangunan runtuh, tanah runtuh dan mencetuskan amaran tsunami di beberapa negara sekitar rantau itu.
Ketua Bencana Wilayah Sarangani, Encik Rene Punzalan, berkata kebanyakan jalan yang terhalang sudah dapat dibuka, namun beberapa kawasan pedalaman masih terputus hubungan.
“Kami masih menggunakan helikopter untuk menghantar makanan dan air kepada penduduk yang terperangkap dan masih tiada bekalan elektrik,” katanya kepada agensi berita, AFP.
Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat turut diperlahankan oleh gegaran susulan yang masih berlaku hampir setiap hari.
“Gegaran susulan masih memperlahankan operasi kami. Hujan malam tadi juga memaksa kami menghentikan operasi buat sementara waktu,” katanya.
Menurutnya, harapan menemui mangsa yang masih hidup kini semakin tipis.
“Sudah banyak hari berlalu sejak gempa bumi itu. Ia akan menjadi satu keajaiban jika ada mangsa masih hidup,” katanya.
“Matlamat kami sekarang hanya untuk menemukan mayat mereka.”
Sejak gempa berlaku, lebih 2,000 gegaran susulan direkodkan termasuk beberapa gegaran kuat yang mencecah magnitud 6.4.
Pengurus Operasi Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC), Encik Drew Strobel, menyifatkan keadaan di Mindanao sebagai sangat mencabar.
“Ia situasi yang sangat berbahaya dan banyak cabaran perlu dihadapi,” katanya.
Menurut beliau, banyak masyarakat luar bandar masih belum dapat dinilai kerana jalan raya dan jambatan runtuh.
“Ketika ini, tumpuan banyak diberikan kepada kawasan bandar, tetapi masih banyak kawasan pedalaman yang belum dapat diakses,” katanya.
“Kami sedang berusaha sampai ke kawasan terpencil untuk memberikan bantuan menyelamatkan nyawa. Selagi kami belum sampai ke sana, kerja kami belum selesai.”
Pertubuhan bantuan kemanusiaan kini memberi keutamaan kepada bekalan air bersih, makanan, sanitasi dan rawatan kesihatan untuk mangsa terjejas.
Palang Merah Filipina turut mendirikan khemah perubatan sementara bagi menggantikan hospital yang rosak akibat gempa.
Selain itu, bantuan ambulans, rawatan kecemasan serta sokongan psikososial turut disediakan kepada mangsa.
Encik Strobel berkata kesan psikologi terhadap kanak-kanak dan keluarga yang kehilangan rumah serta ahli keluarga tidak boleh dipandang ringan.
“Kesan psikososial mungkin dipandang rendah,” katanya.
“Kami menyediakan bantuan kesihatan mental dan sokongan psikososial secara berterusan bagi membantu masyarakat menghadapi trauma.”
Menurut beliau, usaha bantuan jangka panjang termasuk program bantuan kewangan juga sedang dirancang bagi membantu penduduk membina semula kehidupan mereka.
Gempa bumi itu berlaku pada hari pertama sesi persekolahan bagi jutaan pelajar di Mindanao.
Kementerian Pendidikan Filipina memaklumkan lebih 1,000 sekolah awam terjejas dan sesi persekolahan masih digantung di beberapa kawasan.
Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr, yang melawat kawasan terjejas di General Santos pada 10 Jun, berkata pemerintah akan memperuntukkan 100 juta peso ($2.1 juta) bagi membina semula dewan bandar raya yang rosak.
Beliau turut memberi amaran mengenai kesan trauma terhadap kanak-kanak akibat bencana itu dan mengumumkan latihan khas kepada guru untuk membantu pelajar menghadapi tekanan emosi.
Ramai penduduk masih takut untuk pulang ke rumah masing-masing kerana gegaran susulan masih berlaku hampir setiap hari.
Pihak berkuasa dan badan bantuan menjangkakan proses pemulihan penuh akan mengambil masa berbulan-bulan memandangkan kerosakan besar terhadap rumah, sekolah, jalan raya dan prasarana elektrik di wilayah selatan Filipina itu. – Agensi berita.
