Topik diikuti
Pergi ke BHkuRibuan sekolah rosak akibat gempa Mindanao, jejas hampir 5 juta pelajar
Ribuan sekolah rosak akibat gempa Mindanao, jejas hampir 5 juta pelajar
Ribuan sekolah rosak akibat gempa Mindanao, jejas hampir 5 juta pelajar
MANILA: Pertubuhan guru di Filipina menggesa pemerintah menjalankan audit menyeluruh terhadap prasarana sekolah di seluruh negara serta merobohkan segera bangunan sekolah yang tidak lagi selamat selepas gempa bumi kuat melanda Mindanao pada 8 Jun lalu.
Gempa bermagnitud 7.8 yang melanda berhampiran Maasim di Sarangani pada 8 Jun menyebabkan ribuan bilik darjah, bangunan sekolah dan kemudahan pendidikan rosak di beberapa wilayah di Mindanao.
Jabatan Pendidikan Filipina (DepEd) pada 11 Jun memberi jaminan bahawa integriti struktur ribuan bangunan sekolah yang terjejas akan diperiksa sepenuhnya sebelum pelajar dibenarkan kembali ke bilik darjah.
Data DepEd setakat 8 Jun menunjukkan sebanyak 8,642 sekolah di 43 bahagian pendidikan dalam enam wilayah di Mindanao terjejas akibat gempa tersebut.
Wilayah yang terkesan termasuk Semenanjung Zamboanga, Mindanao Utara, Wilayah Davao, Soccsksargen, Caraga dan Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao.
DepEd berkata gangguan itu menjejaskan sekitar 4.9 juta pelajar serta 156,282 kakitangan sekolah.
Pakar sains data dari Universiti Filipina Diliman, Dr Alicor Panao, berkata kerosakan sekolah akibat bencana alam bukan lagi insiden terpencil tetapi sebahagian daripada masalah prasarana yang lebih besar.
Kajian menganggarkan sekolah di Filipina menanggung kerugian tahunan sekitar AS$299.6 juta ($385.7 juta) akibat gempa bumi.
Setiausaha Pendidikan Filipina, Encik Sonny Angara, berkata pihaknya masih menunggu penilaian akhir daripada Jabatan Kerja Raya dan Lebuh Raya (DPWH) bagi menentukan tahap kerosakan sekolah yang terjejas.
Penilaian itu akan menentukan bangunan yang boleh dibaiki dan yang perlu dibina semula sepenuhnya.
Presiden Filipina, Encik Ferdinand Marcos Jr. sebelum ini mengarahkan kerja pemulihan kemudahan sekolah yang rosak dilakukan segera.
Beliau melawat General Santos City pada 10 Jun bagi meninjau kawasan terjejas serta menilai kerosakan prasarana awam termasuk sekolah.
“Kita perlu benar-benar pasti bangunan itu selamat sebelum membenarkan kanak-kanak kembali ke sekolah,” katanya kepada wartawan selepas lawatan Presiden Marcos ke Sekolah Rendah Pinaglabanan di San Juan City pada 11 Jun.
Bagi memastikan pembelajaran tidak terhenti, kementerian turut melaksanakan kaedah pembelajaran alternatif sementara kerja pembaikan dijalankan.
Sementara itu, kumpulan guru ACT memetik data Pelan Pendidikan Nasional Suruhanjaya Kongres Kedua Pendidikan (Edcom II) yang menunjukkan sebanyak 51,222 bilik darjah berusia lebih 50 tahun dijadual dirobohkan menjelang 2028.
Selain itu, sebanyak 2,335 bilik darjah dilaporkan musnah akibat taufan, gempa bumi dan bencana lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Kumpulan itu berkata angka tersebut menunjukkan Filipina berdepan tunggakan serius dalam pembaikan prasarana sekolah selain risiko berterusan terhadap keselamatan jutaan pelajar dan guru.
“Kami tidak boleh terus membiarkan pelajar dan guru belajar serta bekerja dalam bangunan yang tidak selamat,” menurut kenyataan ACT.
Gempa bumi kuat di Mindanao turut menyebabkan bangunan runtuh, jalan rosak dan gangguan bekalan elektrik di beberapa kawasan.
Sekurang-kurangnya 47 orang terbunuh, 31 hilang dan 688 cedera selepas gempa bumi berukuran 7.8 magnitud melanda pantai selatan Mindanao, Filipina, menurut Majlis Pengurangan dan Pengurusan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada 11 Jun.
Menurut NDRRMC, gempa bumi itu menjejaskan lebih 75,300 isi rumah atau lebih 346,000 orang dan lebih 45,000 penduduk terjejas kehilangan tempat tinggal dengan lebih 12,600 rumah mengalami kerosakan.
Gempa bumi itu turut mencetuskan 45 kejadian berkaitan terutamanya tanah runtuh.
Badan itu menambah gempa bumi menjejaskan operasi 45 bahagian jalan, lapan bahagian jambatan, satu lapangan terbang dan dua pelabuhan laut serta industri pertanian, penternakan dan perikanan.
Perkhidmatan tenaga terjejas di 48 bandar dan majlis perbandaran.
Pihak berkuasa Filipina kini meneruskan pemeriksaan keselamatan terhadap bangunan awam dan sekolah bagi mengelakkan risiko runtuhan susulan ketika gegaran susulan masih berlaku di beberapa wilayah selatan negara itu. - Agensi berita
