PARIS: Perancis dan Sepanyol berdepan musim kebakaran hutan paling buruk dalam sejarah moden apabila gelombang haba melampau yang melanda Eropah dijangka terus memburukkan keadaan.

Ia memaksa ratusan ribu penduduk dipindahkan dan memusnahkan kawasan hutan yang luas.

Pihak berkuasa kedua-dua negara memberi amaran bahawa suhu tinggi, angin kencang dan kelembapan yang amat rendah dijangka mencetuskan lebih banyak kebakaran sepanjang minggu ini, sekali gus menyukarkan usaha puluhan ribu anggota bomba, tentera dan sukarelawan mengawal api.

Presiden Perancis, Encik Emmanuel Macron, berkata negaranya sedang berdepan keadaan luar biasa yang belum pernah direkodkan sejak Perang Dunia Kedua.

“Kita perlu sedar bahawa kita sedang menghadapi kebakaran yang benar-benar luar biasa.

“Keadaan yang kita hadapi hari ini adalah yang paling sukar pernah direkodkan, malah paling buruk sejak Perang Dunia Kedua,” katanya ketika melawat pusat operasi bomba di Bordeaux pada 27 Julai.

Menurutnya, Perancis kini berdepan cuaca amat ekstrem dengan suhu yang terus meningkat serta angin kencang yang mempercepat penyebaran api.

Walaupun musim panas masih berbaki hampir dua bulan, Perancis sudah mencatat rekod baharu kebakaran hutan bagi 2026.

Perdana Menteri Perancis, Encik Sebastien Lecornu, berkata sejak Januari, sebanyak 13,566 kebakaran telah memusnahkan lebih 116,000 hektar tanah, jauh melepasi rekod 72,000 hektar yang musnah pada 2022.

“Kita sudah melepasi rekod kebakaran terbesar yang pernah dicatatkan sebelum ini,” katanya menerusi media sosial.

Di Sepanyol, keadaan turut bertambah buruk apabila lebih 153,000 hektar tanah terbakar sejak awal 2026, iaitu lebih enam kali ganda berbanding tempoh sama pada 2025.

Menteri Peralihan Ekologi Sepanyol, Cik Sara Aagesen, berkata kebakaran di barat Madrid yang memusnahkan lebih 50,000 hektar kini menjadi kebakaran terbesar dalam sejarah moden negara itu.

Api yang marak selepas beberapa minggu gelombang haba berturut-turut memusnahkan kawasan sekitar Bordeaux di Perancis serta Madrid dan Valencia di Sepanyol.

Kebakaran itu memusnahkan ratusan rumah, memaksa ratusan ribu penduduk meninggalkan kediaman masing-masing dan menimbulkan semula kebimbangan mengenai kesan perubahan iklim terhadap Eropah.

Di wilayah Gironde di barat daya Perancis – yang paling teruk terjejas – lebih 40,000 hektar hutan musnah, manakala sekurang-kurangnya 220,000 penduduk dipindahkan dalam antara operasi pemindahan terbesar pernah dilakukan negara itu pada waktu aman.

Api kini menghampiri Bordeaux, pusat industri wain Perancis, menyebabkan semua perkhidmatan kereta api ke selatan bandar itu digantung.

Di kawasan berhampiran Bordeaux, petani dan pengusaha balak menyertai operasi memadam kebakaran menggunakan traktor, lori tangki air dan jentera berat bagi menghalang api merebak ke kawasan penempatan.

“Kami mahu membantu. Saya seorang pemburu dan saya mahu alam semula jadi kekal seperti sekarang,” kata Encik Christopher Bonnefond, 25 tahun, seorang petani dari Marcheprime.

Datuk Bandar Bordeaux, Encik Thomas Cazenave, berkata pihak berkuasa sedang bersiap sedia sekiranya lebih ramai penduduk perlu dipindahkan.

Sebuah lagi kebakaran di wilayah Landes yang memaksa lebih 30,000 penduduk dipindahkan berjaya dikawal, namun Encik Macron memberi amaran keadaan masih berbahaya.

“Ia masih aktif dan kita perlu berhati-hati dalam tempoh beberapa jam serta beberapa hari akan datang,” katanya.

Kebakaran terbesar di Gironde turut menghasilkan awan pyrocumulonimbus, iaitu fenomena atmosfera yang jarang berlaku apabila haba kebakaran menghasilkan awan besar yang mampu mencetuskan kilat dan kebakaran baharu.

Di Sepanyol, Menteri Dalam Negeri, Encik Fernando Grande-Marlaska, berkata pihak bomba mempunyai tempoh kira-kira dua hari yang amat genting untuk mengawal kebakaran di barat Madrid sebelum gelombang haba baharu melanda.

Beliau berkata beberapa kawasan lain termasuk wilayah Castellon di timur Sepanyol turut berdepan kebakaran baharu yang memaksa 16,000 lagi penduduk dipindahkan dan mengancam sebuah taman negara.

Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sanchez, menyifatkan kebakaran itu sebagai manifestasi paling menyedihkan akibat krisis iklim.

“Darurat iklim kini telah melepasi semua jangkaan dan amaran yang selama ini diberikan oleh para saintis kepada Sepanyol dan seluruh Eropah,” katanya.

Beliau berkata lebih 100,000 hektar tanah musnah dalam tempoh seminggu lalu sahaja, manakala keseluruhan kawasan yang terbakar sejak awal tahun kini mencecah hampir 150,000 hektar.

Pada awal Julai, 13 orang terbunuh dalam kebakaran hutan di barat daya Sepanyol, manakala kebakaran turut memusnahkan sebahagian Hutan Fontainebleau di selatan Paris yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

Sementara itu, Suruhanjaya Eropah memberi amaran keadaan mungkin bertambah buruk apabila gelombang haba dijangka merebak ke Hungary, Slovakia, Republik Czech dan Portugal.

Pesuruhjaya Kesaksamaan, Kesiapsiagaan dan Pengurusan Krisis Kesatuan Eropah, Cik Hadja Lahbib, berkata armada pesawat pemadam kebakaran Eropah kini semakin terhad berikutan semakin banyak negara memerlukan bantuan serentak.

Agensi Meteorologi Sepanyol (AEMET) meramalkan suhu sehingga 42 darjah Celsius di timur laut negara itu mulai 28 Julai, manakala suhu di tengah Sepanyol dijangka mencecah 39 darjah Celsius.

Perkhidmatan Meteorologi Perancis pula menjangkakan suhu sehingga 40 darjah Celsius bersama angin kering, keadaan yang dijangka meningkatkan lagi risiko kebakaran hutan di kedua-dua negara dalam beberapa hari akan datang. – Agensi berita.