LONDON: Sekitar 2,300 orang maut akibat faktor berkaitan haba di 12 bandar Eropah semasa gelombang haba melampau yang berakhir minggu lalu, menurut satu analisis saintifik pantas yang diterbitkan pada 9 Julai.
Kajian tersebut memberi tumpuan kepada tempoh 10 hari berakhir 2 Julai, di mana sebahagian besar Eropah Barat dilanda cuaca panas melampau, dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius di Sepanyol dan kebakaran hutan berlaku di Perancis.
Daripada jumlah kematian itu, 1,500 kes dikaitkan dengan perubahan iklim, yang menyebabkan gelombang haba menjadi lebih teruk, menurut kajian yang dijalankan oleh para saintis di Imperial College London dan London School of Hygiene and Tropical Medicine.
“Perubahan iklim menyebabkan suhu menjadi jauh lebih panas berbanding biasa, yang menjadikannya jauh lebih berbahaya,” kata Dr Ben Clarke, penyelidik dari Imperial College London.
Kajian ini melibatkan 12 bandar termasuk Barcelona, Madrid, London dan Milan, di mana para penyelidik menyatakan bahawa perubahan iklim telah meningkatkan suhu gelombang haba sehingga 4 darjah Celsius.
Para penyelidik menggunakan model epidemiologi yang telah ditetapkan dan data kematian sejarah untuk menganggarkan jumlah korban, yang merangkumi kematian akibat haba sebagai punca utama, termasuk kes di mana pendedahan kepada haba memburukkan keadaan kesihatan sedia ada.
Para saintis berkata mereka menggunakan kaedah yang telah disemak oleh rakan penyelidik untuk menghasilkan anggaran korban dengan cepat, memandangkan kebanyakan kematian akibat haba tidak dilaporkan secara rasmi dan ada negara yang tidak mendedahkan data ini.
Menurut Khidmat Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah dalam buletin bulanan pada 9 Julai, bulan Jun lalu merupakan bulan ketiga terpanas dalam sejarah, selepas bulan yang sama pada tahun 2024 dan 2023.
Eropah Barat mengalami bulan Jun terpanas yang pernah dicatatkan, dengan sebahagian besar wilayah mengalami “tekanan haba yang sangat kuat” – ditakrifkan sebagai keadaan yang terasa seperti suhu 38 darjah Celsius atau lebih, menurut Copernicus.
“Dalam dunia yang semakin panas, gelombang haba dijangka berlaku lebih kerap, lebih kuat, dan memberi kesan kepada lebih ramai orang di seluruh Eropah,” kata Cik Samantha Burgess, ketua strategik Copernicus untuk iklim.
Penyelidik daripada institusi kesihatan Eropah melaporkan bahawa pada tahun 2023, sehingga 61,000 orang mungkin telah terkorban akibat gelombang haba melampau di Eropah pada tahun 2022, menurut kajian baru, mencadangkan bahawa usaha kesiapsiagaan negara-negara menghadapi haba masih belum mencukupi.
Peningkatan suhu purata global disebabkan oleh pengumpulan gas rumah hijau dalam atmosfera – kebanyakannya berpunca daripada pembakaran bahan api fosil. Peningkatan suhu asas ini menyebabkan apabila gelombang haba berlaku, suhunya boleh melonjak ke tahap yang lebih tinggi. - Agrnsi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg