Topik diikuti
Pergi ke BHkuGelombang haba ekstrem ragut lebih 1,300 nyawa di Eropah
Gelombang haba ekstrem ragut lebih 1,300 nyawa di Eropah
Perancis rekod lebih 1,000 kematian sejak 24 Jun
Gelombang haba ekstrem ragut lebih 1,300 nyawa di Eropah
PARIS/ROME/ZURICH: Gelombang haba luar biasa yang melanda Eropah sejak minggu lalu meragut lebih 1,300 nyawa dan menyebabkan suhu mencecah 40 darjah Celsius di beberapa negara, ketika saintis dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran benua itu semakin terdedah kepada bencana iklim akibat pemanasan sejagat.
Ketua Pengarah WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata lebih 150 juta penduduk Eropah kini hidup di bawah cuaca panas melampau, manakala ratusan lagi maut akibat tekanan haba.
“Ketika ini 150 juta orang hidup dalam keadaan haba melampau, ratusan telah meninggal dunia, sekolah ditutup dan sistem grid elektrik semakin terbeban,” katanya menerusi platform X.
Beliau menyifatkan tekanan haba sebagai “pembunuh senyap” kerana banyak rumah, tempat kerja dan sekolah di Eropah tidak dibina untuk menghadapi suhu setinggi itu.
“Fenomena gelombang haba yang sebelum ini berlaku sekali dalam satu generasi kini berlaku hampir setiap tahun akibat perubahan iklim dan pemanasan sejagat,” katanya.
Menurut WHO, Eropah kini menjadi benua paling cepat panas di dunia dengan kadar pemanasan hampir dua kali ganda purata sejagat sejagat.
Agensi kesihatan awam Perancis memaklumkan hampir 1,000 kematian tambahan direkodkan di negara itu sepanjang gelombang haba yang bermula pada 20 Jun lalu.
Kebanyakan mangsa terdiri daripada warga emas, khususnya penghuni pusat jagaan dan rumah persendirian.
Pejabat Kesihatan Awam Perancis memaklumkan, data berkenaan, yang masih bersifat sementara, menunjukkan peningkatan ketara dalam kadar kematian sepanjang tempoh gelombang haba, dengan majoriti kematian berlebihan melibatkan individu berusia 65 tahun ke atas.
Menteri Kesihatan Perancis, Cik Stephanie Rist, berkata kesan cuaca panas itu dijangka berterusan walaupun suhu mulai menurun di beberapa kawasan.
Agensi itu turut melaporkan peningkatan sebanyak 40 peratus dalam jumlah kematian yang berlaku di rumah.
“Episod ini belum berakhir,” katanya kepada stesen penyiaran BFM.
Saintis pula menyifatkan gelombang haba kali ini sebagai antara yang paling buruk pernah direkodkan di Eropah dan hampir mustahil berlaku tanpa perubahan iklim yang disebabkan kegiatan manusia.
Menurut kajian saintifik terkini, suhu malam yang sangat tinggi minggu ini menjadi 100 kali lebih berkemungkinan berlaku berbanding hanya dua dekad lalu.
Rekod suhu baharu dicatatkan di Austria, Republik Czech, Jerman dan Poland, manakala ribut petir melanda beberapa kawasan di Perancis dan Jerman sehingga mengganggu sistem pengangkutan dan bekalan elektrik.
Di Jerman, perkhidmatan kereta api di wilayah Rhine-Westphalia Utara dikurangkan, manakala operasi trem di bandar Leipzig digantung sementara akibat cuaca buruk dan suhu melampau.
Media tempatan melaporkan ramai penduduk memilih berlindung di rumah dan hanya keluar selepas matahari terbenam bagi mengelakkan risiko strok haba.
Di Vatican, Paus (Pope) Leo XIV mengucapkan terima kasih kepada penganut Katolik yang tetap menghadiri upacara doa di Dataran Saint Peter walaupun cuaca terlalu panas.
Gelombang haba itu turut menjejas sungai utama di Eropah apabila paras air semakin menyusut dan suhu air meningkat, sekali gus memberi kesan kepada pengeluaran tenaga dan sektor pertanian.
Pemerintah Hungary berkata loji tenaga nuklear Paks sekali lagi terpaksa mengurangkan pengeluaran elektrik akibat suhu Sungai Danube yang terlalu panas untuk digunakan sebagai sistem penyejukan reaktor.
Di Italy, paras Sungai Po turut menurun sehingga membolehkan air laut memasuki kawasan daratan sejauh 18 kilometer, mencetuskan kebimbangan terhadap sektor pertanian dan kawasan tanah lembap yang dilindungi.
Pihak berkuasa Italy juga melaporkan beberapa kes lemas membabitkan individu yang cuba menyejukkan badan di tasik dan kawasan air.
Pasukan penyelamat Italy sedang mencari suami seorang anggota Kabinet negara itu, Cik Eugenia Roccella, yang hilang ketika berenang di Tasik Vico, kira-kira 70 kilometer dari Rome.
Di Republik Czech, pihak berkuasa menggesa orang ramai mengelakkan kegiatan fizikal di luar rumah dan mengeluarkan amaran kabut asap susulan peningkatan paras ozon permukaan akibat cuaca panas.
Pakar meteorologi berkata ribut petir dijangka melanda beberapa kawasan di Perancis, Jerman dan Republik Czech dalam tempoh dua hari akan datang.
Cuaca lebih sejuk diramalkan mula melanda sebahagian Eropah Barat minggu ini, namun gelombang haba dijangka bergerak lebih jauh ke Eropah Tengah dan Balkan.
Agensi cuaca Perancis memaklumkan suhu ekstrem mulai berkurangan di kebanyakan kawasan negara itu, tetapi beberapa wilayah di timur laut masih berada di bawah amaran haba.
Ribut yang melanda Perancis pada malam 27 Jun turut menyebabkan gangguan bekalan elektrik kepada puluhan ribu rumah.
Syarikat utiliti Enedis berkata kira-kira 36,000 rumah di utara dan tengah Perancis masih terputus bekalan elektrik setakat petang 28 Jun.
WHO berkata pihaknya sedang bekerjasama dengan negara anggota dan rakan strategik untuk menangani ancaman kesihatan akibat haba ekstrem melalui langkah kesiapsiagaan, pencegahan dan pengukuhan sistem kesihatan.
Encik Tedros turut menggesa negara Eropah melaksanakan pelan tindakan kesihatan berkaitan haba sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas menangani kesan perubahan iklim.
WHO juga mengeluarkan beberapa garis panduan kepada orang ramai termasuk mengelakkan kegiatan luar ketika cuaca paling panas, berlindung di tempat teduh dan meluangkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga jam sehari di tempat yang sejuk.
Bagi memastikan rumah kekal dingin, WHO mengesyorkan orang ramai menggunakan udara malam untuk menyejukkan kediaman, menutup tingkap pada waktu siang dan mematikan sebanyak mungkin peralatan elektrik yang tidak digunakan. – Agensi berita.
