Topik diikuti
Pergi ke BHkuEropah hadapi gelombang haba ekstrem
Eropah hadapi gelombang haba ekstrem
Dijangka memburuk, pemerintah ambil langkah kecemasan termasuk penutupan sekolah
Eropah hadapi gelombang haba ekstrem
PARIS: Sebahagian besar negara Eropah bersiap sedia menghadapi gelombang haba yang dijangka menjadi lebih buruk minggu ini, dengan beberapa pemerintah mengambil langkah kecemasan bagi mengurangkan kesan cuaca panas melampau itu.
Di Perancis, pihak berkuasa melaporkan beberapa kematian berkaitan cuaca panas hujung minggu lalu, ketika suhu di beberapa kawasan melepasi 40 darjah Celsius, keadaan yang dianggap luar biasa bagi bulan Jun.
Pemerintah Perancis pada 22 Jun meningkatkan amaran cuaca merah kepada 49, daripada 96 wilayah utama negara itu, berbanding 35 wilayah sebelum ini.
Sebagai langkah keselamatan, sebanyak 845 sekolah ditutup manakala kira-kira 1,800 lagi dibenarkan menamatkan sesi persekolahan lebih awal.
Beberapa bandar di negara itu turut membatalkan festival muzik tahunan, sementara pemerintah melarang pengambilan alkohol di tempat awam di kawasan yang berada di bawah amaran merah, atas faktor kesihatan dan ketenteraman awam.
Di wilayah Gironde di barat daya Perancis, pegawai tempatan mengesahkan tiga warga emas berusia antara 80 hingga 95 tahun meninggal dunia, dengan cuaca panas melampau dikenal pasti sebagai antara faktor penyumbang.
Pakar ramalan cuaca Perancis memberi amaran bahawa gelombang haba kali ini berpotensi menjadi seteruk tragedi cuaca panas pada Ogos 2003 yang mengorbankan hampir 15,000 orang di negara itu.
Menteri Ekologi Perancis, Encik Mathieu Lefevre, berkata fenomena kali ini amat luar biasa kerana berlaku lebih awal daripada kebiasaan.
“Gelombang haba ini sangat intensif dan berlaku terlalu awal,” katanya.
Selain Perancis, Belgium turut mengambil langkah luar biasa apabila mengurangkan beberapa perkhidmatan kereta api bagi mengelakkan gangguan teknikal akibat suhu terlalu panas.
Syarikat kereta api nasional Belgium, SNCB, mengumumkan beberapa perkhidmatan waktu puncak pada 22 Jun dan 23 Jun dibatalkan untuk mengurangkan risiko kerosakan landasan dan sistem rel.
Ketua ramalan cuaca Institut Meteorologi Belgium (IRM), Encik David Dehenauw, berkata negara itu mungkin mencatat suhu paling panas dalam sejarah moden minggu ini.
“Belgium dijangka mengalami suhu tertinggi pernah direkodkan,” katanya.
Di Sepanyol, agensi meteorologi, Aemet, memberi amaran suhu “amat tinggi” dijangka berterusan sehingga 24 Jun, termasuk pada waktu malam.
Suhu di beberapa kawasan dijangka mencecah 44 darjah Celsius.
Encik Aemet berkata walaupun suhu dijangka sedikit menurun pada 25 Jun, keadaan panas masih kekal pada tahap tinggi.
Gelombang haba itu turut menjejaskan acara awam, apabila pihak berkuasa Madrid membatalkan tayangan skrin besar kemenangan Sepanyol ke atas Arab Saudi, dalam saingan Piala Dunia kerana faktor keselamatan.
Britain pula dijangka berdepan suhu paling panas dalam sejarah bagi bulan Jun.
Ketua Eksekutif Persatuan Meteorologi Diraja Britain, Cik Liz Bentley, berkata rekod suhu sedia ada dijangka “dimusnahkan sepenuhnya”.
“Minggu ini Britain akan mengalami gelombang haba luar biasa dengan suhu berpotensi mencecah 38 hingga 39 darjah Celsius.
“Rekod suhu bagi bulan Jun ketika ini ialah 35.6 darjah Celsius,” katanya.
Menurut beliau, Britain kini mencatat suhu panas yang luar biasa untuk dua bulan berturut-turut.
Sementara itu, penyelidik kanan Pusat Sains Atmosfera Kebangsaan Universiti Reading di England, Dr Akshay Deoras, berkata perubahan iklim akibat aktiviti manusia menjadi faktor utama peningkatan suhu ekstrem di Eropah.
“Perubahan iklim yang didorong manusia telah menambahkan haba dalam atmosfera dan menyebabkan suhu ekstrem menjadi jauh lebih buruk berbanding masa lalu,” katanya.
Beberapa negara Eropah sebelum ini turut mencatat suhu tertinggi bagi bulan Mei, sekali gus menambah kebimbangan bahawa benua itu sedang berdepan musim panas paling mencabar dalam beberapa dekad.
Pakar iklim memberi amaran gelombang haba ekstrem kini semakin kerap berlaku dan dijangka terus meningkat sekiranya pelepasan gas rumah hijau global tidak dikurangkan secara drastik. – Agensi berita.
