Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelombang haba ragut 4 nyawa di Jepun, 57 dirawat di hospital

Jun 20, 2025 | 4:01 PM
cuaca panas, jepun
Jepun berkali-kali mengeluarkan amaran gelombang haba di seluruh negara apabila suhu meningkat, mencecah 36 darjah Celsius di wilayah Tokyo pada 18 Jun. - Foto AFP

TOKYO: Jepun kini dilanda gelombang haba luar biasa yang menyebabkan sekurang-kurangnya empat kematian disyaki akibat strok haba, sekali gus mencetuskan amaran meluas daripada pihak kerajaan.

Pakar menyifatkan cuaca panas terik itu sebagai sesuatu yang belum pernah direkodkan pada seawal tahun seperti ini.

Jepun berkali-kali mengeluarkan amaran gelombang haba di seluruh negara apabila suhu meningkat, mencecah 36 darjah Celsius di wilayah Tokyo pada 18 Jun.

Sejumlah 57 orang telah dihantar ke hospital di Tokyo pada 18 Jun kerana diserang penyakit berkaitan haba, lapor agensi berita NHK, memetik jabatan bomba.

Pada Jun sahaja, rekod suhu dicatatkan di 14 stesen cuaca di seluruh negara, menurut Agensi Meteorologi Jepun (JMA).

Amaran itu dibuat selepas cuaca panas yang memecahkan rekod pada musim panas lalu menyebabkan kerajaan memperkenalkan peraturan lebih ketat yang memerlukan majikan menyediakan perlindungan secukupnya daripada suhu melampau.

Menurut kementerian kesihatan, terdapat 30 kematian di tempat kerja pada 2024 dan sekitar 1,200 kecederaan yang dikaitkan dengan suhu melampau.

Strok haba ialah keadaan yang berpotensi mengancam nyawa disebabkan oleh suhu badan naik amat tinggi yang boleh mengakibatkan kerosakan teruk kepada organ jika tidak segera dirawat.

Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada 2024, terdapat hampir setengah juta kematian berkaitan haba setiap tahun antara 2000 dengan 2019.

Bersama-sama dengan impak terhadap kesihatan awam, suhu yang lebih tinggi boleh memberi kesan kepada produktiviti pekerja dan mencetuskan kebimbangan kesan gelombang haba terhadap ekonomi negara.

Purata suhu sejagat melebihi 1.5 darjah Celsius di atas paras era praindustri telah dicatat buat kali pertama pada 2024.

Paras tertinggi baru diramal bakal direkodkan dalam tempoh lima tahun akan datang, kata Pertubuhan Meteorologi Dunia.

Laporan sebelum ini menyebut bahawa 2024 merupakan tahun terpanas sejak catatan rekod dimulakan di Jepun sedang pengeluaran gas rumah hijau yang semakin meningkat telah mendorong perubahan iklim.

Pada Januari, agensi iklim dan cuaca Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan 2024 merupakan tahun paling panas dalam rekod di serata dunia, menandakan tempoh sedekad suhu panas yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di serata Jepun pula, suhu purata dari Januari hingga Disember ialah 1.48 darjah Celsius – lebih tinggi berbanding purata dari tempoh 1991 hingga 2020, kata JMA. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg