Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelombang protes nyaris cetus perang saudara di Israel

11,000 pasukan simpanan tentera, termasuk juruterbang, mengumum akan letak jawatan, sekali gus cetus kebimbangan kesiapsiagaan tentera akan terjejas
Aug 7, 2023 | 6:00 AM
ENGGAN BERGANJAK: Puluhan ribu rakyat Israel terus berdemonstrasi menentang rancangan kontroversi Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu bagi merombak sistem kehakiman negara itu.
ENGGAN BERGANJAK: Puluhan ribu rakyat Israel terus berdemonstrasi menentang rancangan kontroversi Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu bagi merombak sistem kehakiman negara itu. - Foto AFP

BAITULMAKDIS: Ratusan ribu rakyat Israel telah melakukan beberapa siri demonstrasi di seluruh negara menentang rancangan pemerintah untuk merombak sistem kehakiman sehingga masuk minggu ke-30 pada 31 Julai.

Penunjuk perasaan memperhebat tindakan, menjelang sesi undian terakhir mengenai rang undang-undang mengehadkan kuasa mahkamah dalam menyemak keputusan dan pelantikan pemerintah.

Perhimpunan besar-besaran terus tercetus di seluruh Israel pada 31 Julai selepas Ahli Parlimen meluluskan undang-undang pertama yang mengehadkan kuasa Mahkamah Agung.

Penunjuk perasaan membawa sepanduk bertulis ‘Selamatkan demokrasi!’, ‘Kebebasan untuk semua!’ dan ‘Netanyahu membawa kita kepada peperangan.’

Demonstrasi itu juga dilihat bahawa Israel sedang menuju kepada perang saudara.

Namun Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberitahu NBC News pada Isnin negaranya tidak menuju ke arah perang saudara, di tengah-tengah perpecahan dan protes besar-besaran berikutan undang-undang baru yang melemahkan Mahkamah Agung dengan teruk.

“Tidak akan ada perang saudara, saya jamin itu,” kata Encik Netanyahu semasa wawancara.

Undang-undang itu diluluskan dengan 64 menyokong, tanpa undi veto di Parlimen yang mempunyai 120 kerusi, dengan Ahli Parlimen pembangkang memboikot undian terakhir.

Undang-undang itu membatalkan kuasa Mahkamah Agung untuk menolak keputusan pemerintah yang dianggap ‘tidak munasabah’.

Bagi penununjuk perasaan, ia adalah sebahagian daripada rancangan pemerintah untuk melemahkan Mahkamah Agung dan menyusun semula sistem kehakiman.

Ramai pemerhati melihat penunjuk perasaan menyekat lebuh raya utama di Baitulmakdis, Tel Aviv, Haifa dan bandar-bandar lain di seluruh negara sebagai gelombang perang saudara yang memisahkan Israel kepada dua puak.

Polis bertempur dengan penunjuk perasaan dan menggunakan meriam air untuk menyuraikan mereka sehingga dilihat sebagai sukar untuk meleraikan mereka di Baitulmakdis.

Persatuan Peguam Israel dan organisasi serta individu lain memfailkan sekurang-kurangnya empat petisyen meminta Mahkamah Agung membatalkan undang-undang itu.

Rumah Putih dalam satu kenyataan memaklumkan ‘malangnya pengundian hari ini (30 Julai) berlaku dengan majoriti yang paling tipis’.

Lebih membimbangkan apabila 11,000 pasukan simpanan tentera, termasuk juruterbang, mengumumkan mereka akan meletakkan jawatan, sekali gus menimbulkan kebimbangan bahawa kesiapsiagaan tentera akan terjejas.

Pasukan simpanan tentera Israel mengumumkan pada sidang media pada ketika itu bahawa mereka mempunyai lebih 10,000 tandatangan yang enggan hadir bertugas.

Akhbar tempatan turut melaporkan ketua kesatuan buruh terbesar Israel turut mengadakan mesyuarat tergempar bagi memutuskan sama ada akan melancarkan mogok umum di negara itu.

Encik Netanyahu, 73 tahun, pemimpin paling lama berkhidmat di Israel, kembali memegang jawatan pada akhir Disember sebagai ketua kerajaan campuran yang menjadikan rombakan kehakiman sebagai agenda penting.

Dalam satu kenyataan di televisyen, Encik Netanyahu berkata undang-undang baru itu ‘perlu’ untuk membolehkan pemerintah ‘memerintah’ dan mewujudkan ‘perpaduan’.

Mahkamah Agung juga didakwa sering campur tangan dalam isu politik yang sepatutnya ditentukan oleh Parlimen.

Dalam masa yang sama, penyokong pemerintah mahu mengadakan bantahan besar-besaran untuk mempertahankan reformasi kehakiman.

Encik Netanyahu dan sekutunya berkata, mereka mahu mengekang kuasa badan kehakiman yang tidak dipilih dengan memberi Parlimen kuasa untuk mengubah keputusan Mahkamah Agung.

Keputusan Mahkamah Agung itu “menyebabkan krisis perlembagaan”, kata Encik Allison Kaplan Sommer, seorang wartawan politik di akhbar Israel, Haaretz.

Encik Netanyahu dan menteri kehakimannya, Encik Yariv Levin, berpendapat perubahan itu perlu bagi menetapkan semula keseimbangan antara pegawai yang dipilih dengan Mahkamah Agung yang mereka anggap sebagai dipolitikkan.

Penggubal undang-undang juga meluluskan dalam bacaan awal untuk mengenakan hukuman mati ke atas “pengganas”, dengan 55 Anggota Parlimen menyokong dan sembilan menentang.

Ahli politik ekstrem kanan telah berulang kali cuba meluluskan undang-undang sedemikian di dewan 120 kerusi, tetapi gagal mendapat sokongan yang mencukupi.

Israel memansuhkan hukuman mati untuk kes bunuh di mahkamah sivil pada 1954, walaupun secara teori masih boleh digunakan untuk jenayah perang, jenayah terhadap kemanusiaan, pembunuhan beramai-ramai, pengkhianatan dan jenayah terhadap orang Yahudi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg