BAITULMAQDIS: Para penunjuk perasaan menyekat lapangan terbang dan lebuh raya utama Israel pada Selasa ketika pakatan sayap kanan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu meneruskan rang undang-undang kehakiman yang menimbulkan perpecahan mendalam dalam beberapa dekad di negara itu.
Sehari selepas Parlimen meluluskan elemen penting dalam rang undang-undang yang bertujuan mengekang kuasa Mahkamah Agung, ramai penunjuk perasaan mengibarkan bendera sambil menyekat lalu lintas di persimpangan utama dan di lebuh raya di seluruh negara. Ada yang berbaring di jalan raya, manakala yang lain melontar bunga api.
Polis menunggang kuda dikerah meleraikan ratusan penunjuk perasaan di hab perniagaan Israel, Tel Aviv.
Di pintu masuk ke Baitulmaqdis, pegawai menggunakan meriam air untuk menyuraikan penunjuk perasaan dan mengheret yang lain secara paksa.
Sekurang-kurangnya 66 orang telah diberkas, kata polis.
Sekitar 1,000 anggota polis telah dikerah di Lapangan Terbang Ben Gurion, di luar Tel Aviv, yang menyaksikan ribuan penunjuk perasaan mengubah kawasan di hadapan pintu masuk utama menjadi lautan bendera Israel biru putih.
Langkah gabungan nasionalis-agama Encik Netanyahu untuk mengubah sistem kehakiman telah mencetuskan protes yang tidak pernah berlaku sebelum ini – menimbulkan kebimbangan terhadap amalan demokrasi Israel di kalangan sekutu Barat dan melemahkan ekonomi.
“Mereka cuba merosakkan sistem kehakiman kita dengan meletakkan dan menguatkuasakan undang-undang yang akan meruntuhkan demokrasi,” kata Cik Ariel Dubinsky, yang menyertai salah satu bantahan di Tel Aviv.
Usul tersebut juga telah mencemaskan pelabur dan menyebabkan mata wang Israel, shekel, turun hampir 8 peratus sejak Januari.
Rang undang-undang baru itu mendapat undi pertama daripada tiga undian yang diperlukan untuk digubal ke dalam undang-undang lewat pada Isnin.
Jika diluluskan, ia akan mengekang kuasa Mahkamah Agung untuk membatalkan keputusan yang dibuat oleh pemerintah, menteri dan pegawai dengan memutuskannya sebagai tidak munasabah.
Pemerintah dan penyokongnya berkata rombakan itu diperlukan untuk mengekang campur tangan hakim, ramai daripada sayap kiri politik, yang telah menceroboh bidang politik.
Mereka berkata perubahan itu akan meningkatkan keberkesanan tata kelola dengan mengekang campur tangan mahkamah.
Bagi pengkritik, kebanyakannya syarikat teknologi dan perniagaan negara, pengawasan Mahkamah Agung dapat membantu mencegah rasuah dan salah guna kuasa dan langkah melemahkannya akan menghapuskan sebahagian penting amalan semak dan imbang demokrasi Israel. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg