Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa Afghanistan: Penduduk bermalam di kawasan terbuka selepas lebih 800 terkorban

Jumlah kematian mungkin naik kerana seluruh kampung di wilayah Kunar dilapor musnah
Sep 2, 2025 | 4:25 PM
Afghanistan, gempa bumi, earthquake, victims
Rakyat Afghanistan terpaksa bermalam di kawasan terbuka selepas gempa bumi kuat melanda perkampungan di Mazar Dara di daerah Nurgal, wilayah Kunar, pada malam 31 Ogos 2025. - Foto AFP

KUNAR (Afghanistan): Mereka yang terselamat daripada gempa bumi yang mengorbankan lebih 800 orang dan mencederakan ribuan orang di timur Afghanistan terpaksa bermalam di tempat terbuka, ketika usaha mencari dan menyelamat diteruskan.

Kebanyakan kematian berlaku di wilayah pergunungan Kunar, yang paling hampir dengan pusat gempa dengan kekuatan 6.0 menurut skala Richter ketika ia melanda pada malam 31 Ogos.

Pegawai pemerintah memberi amaran bahawa jumlah kematian mungkin meningkat dengan ketara kerana seluruh kampung dilaporkan musnah.

Beberapa negara telah menjanjikan bantuan, sementara ada sebahagian kampung masih tidak dapat diakses dan kemudahan kesihatan tempatan sesak dengan penduduk yang cuba mendapatkan rawatan.

Bencana itu berlaku ketika Afghanistan dilanda kemarau teruk, pemotongan bantuan dan apa yang disifatkan oleh Program Makanan Sedunia (WFP) sebagai krisis kebuluran yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Gempa bumi melanda sekitar 27 kilometer ke timur Jalalabad – bandar kelima terbesar di negara itu.

Seorang penduduk di Kunar, Encik Faridullah Fazli, berkata: “Gempa bumi sangat kuat disertai dengan bunyi yang sangat menakutkan. Kami sekeluarga tidak tidur sehingga pagi.”

Seorang lagi penduduk, Encik Mazar Dara, di wilayah Nurgal, menganggarkan sekitar 95 peratus daripada kampung itu telah musnah dengan lima hingga 10 orang cedera dalam setiap isi rumah.

Kunar, kawasan pergunungan dengan tanah ladang yang terhad, mengalami kerosakan paling teruk.

Jalan raya di kawasan itu merupakan landasan lumpur yang berliku di sekitar gunung, manakala rumah diperbuat daripada tanah liat, batu dan lumpur.

Wilayah itu juga telah mengalami banjir besar dan tanah runtuh sejak beberapa hari lalu, menyekat akses ke banyak kawasan.

Dengan jalan tersekat, operasi mencari dan menyelamat dilakukan melalui udara, dengan helikopter hanya dapat sampai ke kawasan terjejas pada pagi 1 September.

“Seluruh kampung ranap dan jalan raya ke kawasan pergunungan masih ditutup. Jadi sekarang, bagi kami, keutamaan bukanlah mencari mereka yang mati di bawah runtuhan, sebaliknya menyelamatkan mereka yang cedera,” kata seorang pegawai Taleban di wilayah Kunar.

Terdapat laporan kes mereka yang terperangkap di bawah runtuhan selama berjam lamanya ketika menunggu ketibaan penyelamat.

Jurucakap Palang Merah, Cik Joy Singhal, berkata bahawa mangsa yang terselamat takut untuk masuk ke dalam rumah mereka kerana bimbang akan gegaran susulan, sambil menambah bahawa bilangan khemah di wilayah itu tidak mencukupi.

Sebilangan negara – termasuk China, India, Britain dan Switzerland – telah menjanjikan sumbangan bantuan.

Pembiayaan kecemasan Britain “akan membantu rakan kongsi kami untuk memberikan penjagaan kesihatan kritikal dan bekalan kecemasan kepada yang paling terjejas”, kata Setiausaha Luar, Encik David Lammy. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg