Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa bumi Afghanistan: Lebih 800 nyawa terkorban, 2,800 cedera

Sep 1, 2025 | 5:18 PM
Gempa bumi, Afghanistan, lebih 620 nyawa terkorban
Gempa bumi itu melanda Kunar, wilayah timur laut Afghanistan yang bergunung-ganang. - Foto X

KABUL: Seramai 800 orang maut dan lebih 2,800 yang lain cedera akibat gempa bumi dahsyat yang melanda timur Afghanistan, kata pihak berkuasa pada 1 September.

Pasukan penyelamat menggunakan helikopter untuk membawa mereka yang cedera ke tempat selamat dan mencari mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Bencana itu menambah beban kepada Afghanistan, yang sudah pun menghadapi krisis kemanusiaan seperti kekurangan bantuan dan penghantaran balik besar-besaran rakyatnya dari negara jiran.

Jurucakap Kementerian Kesihatan di Kabul, Encik Sharafat Zaman, menyeru bantuan antarabangsa untuk menangani kemusnahan akibat gempa bumi berskala 6 yang berlaku sekitar tengah malam pada kedalaman 10 kilometer.

“Kami memerlukannya kerana ramai orang di sini telah kehilangan nyawa dan rumah,” katanya.

Gempa bumi itu meragut 812 nyawa di wilayah timur Kunar dan Nangarhar, kata jurucakap pentadbiran, Encik Zabihullah Mujahid.

Pasukan penyelamat berusaha sampai ke kawasan pergunungan terpencil di sempadan Pakistan, di mana rumah batu lumpur di lereng bukit runtuh akibat gempa dan tiada liputan mudah alih.

“Semua pasukan kami telah dikerahkan untuk mempercepatkan bantuan, supaya sokongan menyeluruh dan penuh dapat diberikan,” kata jurucakap Kementerian Kesihatan, Encik Abdul Maten Qanee, merujuk kepada usaha dalam pelbagai bidang dari keselamatan hingga makanan dan kesihatan.

Mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital selepas gempa bumi di Jalalabad, Afghanistan, pada 1 September.
Mangsa yang cedera dirawat di sebuah hospital selepas gempa bumi di Jalalabad, Afghanistan, pada 1 September. - Foto AFP

Gambar dari agensi berita, Reuters, menunjukkan helikopter sedang mengangkut mangsa gempa, sementara penduduk bersama tentera dan petugas perubatan membantu mengusung mereka yang cedera ke ambulans.

Pasukan penyelamat tentera telah menyebar ke seluruh wilayah, kata Kementerian Pertahanan dalam satu kenyataan, dengan 40 penerbangan membawa keluar 420 yang cedera dan yang meninggal dunia.

Tiga kampung telah musnah sepenuhnya di wilayah Kunar, dengan banyak lagi mengalami kerosakan besar, menurut Kementerian Kesihatan di Afghanistan.

Kerugian lebih besar dicatatkan di Kunar dengan 610 orang korban, manakala 12 yang lain maut di Nangarhar, kata Kementerian Dalam Negeri pula.

“Setakat ini, belum ada pemerintah asing yang menghulurkan bantuan untuk kerja-kerja menyelamat atau bantuan kemanusiaan,” kata jurucakap Kementerian Luar.

China bersedia memberikan bantuan bencana “mengikut keperluan Afghanistan dan dalam kapasiti mereka,” kata jurucakap Kementerian Luar China kemudian.

Dalam satu hantaran di X, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres berkata misi PBB di Afghanistan sedang bersiap sedia untuk membantu mereka yang terjejas di kawasan yang musnah akibat gempa.

Afghanistan sering dilanda gempa bumi kuat, terutama di kawasan pergunungan Hindu Kush, tempat pertemuan plat tektonik India dan Eurasia.

Beberapa siri gempa bumi di bahagian barat negara itu pada 2024 telah meragut lebih 1,000 nyawa dengan Afghanistan, sebagai salah sebuah negara termiskin di dunia, sangat mudah terjejas oleh bencana alam. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg