SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Gempa bumi 7.5 magnitud landa Jepun

Gempa bumi 7.5 magnitud landa Jepun

Penduduk diarah pindah susulan amaran tsunami, gegaran kuat cetus ancaman gelombang besar
Apr 20, 2026 | 7:24 PM

Gempa bumi 7.5 magnitud landa Jepun

Agensi Meteorologi Jepun, gelombang tsunami, Jepun
Skrin televisyen memaparkan amaran tsunami oleh Agensi Meteorologi Jepun, yang menjangkakan gelombang tsunami sehingga tiga meter akan melanda kawasan pesisir pantai di utara Jepun, susulan gempa bumi 7.5 magnitud di timur laut Jepun pada 20 April. - Foto REUTERS

TOKYO: Gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda pantai timur laut Jepun pada 20 April, mengakibatkan pihak berkuasa menggesa penduduk menjauhi kawasan pantai yang dijangka dilanda badai gelombang tsunami sehingga tiga meter.

Gempa bumi itu juga menyebabkan bangunan besar di Tokyo dan sekitarnya dilaporkan bergegar.

Ombak terbesar diramalkan akan melanda wilayah Iwate dan Aomori di puncak Pulau Honshu di Jepun, dan pulau utara Hokkaido, kata pihak berkuasa.

Sejam selepas gempa bumi, yang melanda pada 4.52 petang (3.52 petang waktu Singapura), gelombang tsunami setinggi 80 sentimeter telah dikesan, manakala amaran untuk gelombang setinggi tiga meter dikekalkan.

Beberapa bandar pelabuhan termasuk Otsuchi dan Kamaishi – kedua-duanya dilanda teruk oleh gempa bumi dan tsunami pada 2011 – mengeluarkan arahan pemindahan untuk beribu-ribu penduduk, menurut stesen penyiar NHK.

Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, berkata pemerintah telah menubuhkan pasukan petugas kecemasan dan menggesa penduduk di kawasan yang terjejas supaya segera berpindah ke tempat lebih selamat.

“Kemungkinan kerosakan dan korban jiwa kini sedang diteliti,” kata Cik Takaichi kepada pemberita di pejabatnya di Tokyo.

Gegaran susulan besar mungkin berlaku dalam beberapa hari dan minggu berikutnya, kata seorang pegawai daripada Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam sidang akhbar berasingan yang disiarkan di televisyen.

Kapal-kapal dilihat belayar keluar dari Pelabuhan Hachinohe di Hokkaido kerana menjangkakan ombak besar, rakaman yang disiarkan di NHK menunjukkan, ketika amaran ‘Tsunami! Pindah!’ dipaparkan di skrin.

Tsunami setinggi tiga meter boleh menyebabkan kerosakan di kawasan rendah, membanjiri bangunan dan sesiapa sahaja yang terdedah akan terperangkap dalam arus derasnya, menurut JMA.

“Berpindah segera dari kawasan pesisir pantai dan kawasan tepi sungai ke tempat yang lebih selamat seperti tanah tinggi atau bangunan pemindahan,” katanya, memberi amaran kerosakan akibat ombak tsunami dijangka berlaku.

“Gelombang tsunami dijangka melanda berulang kali. Jangan tinggalkan tempat selamat sehingga amaran ditarik balik,” tegas JMA, sambil menyatakan gegaran itu berpusat di Lautan Pasifik dan sedalam 10 kilometer.

Perkhidmatan kereta api laju di Aomori di utara pulau Honshu telah dihentikan akibat gegaran itu, lapor agensi berita, Kyodo.

Rakaman NHK tidak menunjukkan sebarang kerosakan ketara serta-merta di sekitar beberapa pelabuhan di Iwate.

Pejabat Cik Takaichi berkata ia telah menubuhkan pasukan pengurusan krisis bagi menangani masalah yang dijangka berlaku.

Tiada loji kuasa nuklear yang sedang beroperasi di wilayah Hokkaido dan Tohoku tetapi Hokkaido Electric Power dan Tohoku Electric Power telah menutup beberapa loji kuasa nuklear di sana.

Tohoku Electric berkata ia sedang memeriksa kesan gempa bumi dan tsunami ke atas loji kuasa nuklear Onagawa.

Kedutaan Singapura di Tokyo menasihati rakyat Singapura supaya memantau keadaan dengan teliti dan merujuk laman web JMA dan NHK News untuk maklumat terkini, serta amaran dan nasihat.

Jepun merupakan salah sebuah negara paling aktif secara seismik di dunia, terletak di atas empat plat tektonik utama di sepanjang pinggir barat ‘Lingkaran Api’ Pasifik. – AFP, Reuters.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg