MOSCOW: Stesen televisyen negeri Russia pada 30 Julai menyiarkan rakaman ombak tsunami melanda sebuah bandar pesisir di timur jauh negara itu, menghanyutkan bangunan dan serpihan ke laut.
Gempa bumi besar dengan magnitud 8.8 melanda kawasan pesisir Semenanjung Kamchatka di timur jauh Russia awal pagi 30 Julai, mencetuskan pemindahan penduduk dan amaran tsunami di beberapa bahagian pantai Pasifik.
Di Severo-Kurilsk, sebuah bandar kecil berpenduduk sekitar 2,000 orang yang terletak kira-kira 350 kilometer ke barat daya pusat gempa, ombak tsunami membadai kawasan pelabuhan dan menenggelamkan loji pemprosesan ikan tempatan, menurut pihak berkuasa.
Bandar tersebut terletak di Pulau Paramushir, iaitu salah satu daripada Kepulauan Kuril utara, di selatan Semenanjung Kamchatka. Menurut Datuk Bandar Alexander Ovsyannikov, ombak setinggi sehingga empat meter di beberapa kawasan turut mencapai Tugu Peringatan Perang Dunia Kedua yang terletak kira-kira 400 meter dari pesisir.
Beliau menambah bahawa kebanyakan kawasan kediaman bandar itu terletak di kawasan tanah tinggi yang selamat daripada banjir. “Semua orang telah dipindahkan. Kami ada masa yang cukup, satu jam penuh. Jadi semua penduduk telah dipindahkan ke zon selamat tsunami,” katanya dalam satu mesyuarat krisis bersama pegawai-pegawai.
‘Kremlin menyatakan bahawa “semua sistem amaran” berfungsi dengan baik.
“Syukur kepada Tuhan, tiada kemalangan jiwa,” kata jurucakap Encik Dmitry Peskov kepada wartawan termasuk AFP.
Satu kumpulan ekspedisi dari Persatuan Geografi Russia yang berada di pulau jiran, Shumshu, turut terjejas apabila tapak khemah mereka dihanyutkan tsunami.
“Ketika ombak melanda, kami hanya mampu lari ke kawasan yang lebih tinggi. Ia sangat sukar untuk dilakukan dengan memakai but di atas rumput licin dalam keadaan berkabus,” kata salah seorang ahli kumpulan itu, Vera Kostamo, kepada tabloid Russia Komsomolskaya Pravda.
“Semua khemah dan struktur dihanyutkan ombak, dan barang-barang kami berselerakan sepanjang ratusan meter di pantai,” tambahnya. “Kami tidak mengalami sebarang kecederaan, semua bertindak pantas, tetapi kami kehilangan semua barang.”
Pihak berkuasa di wilayah Sakhalin, yang merangkumi Kepulauan Kuril utara, mengisytiharkan darurat.
Perkhidmatan pemantauan seismik wilayah itu menyatakan bahawa gempa tersebut adalah yang terkuat di rantau itu sejak tahun 1952. “Gempa susulan kuat dengan magnitud sehingga 7.5 dijangka berlaku,” tambah kenyataan itu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg