Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa bumi di Tibet: Lebih 400 mangsa diselamatkan, 30,000 penduduk dipindah

Jan 8, 2025 | 1:34 PM
Pasukan penyelamat bekerja di tengah-tengah runtuhan selepas gempa bumi di lokasi yang dikenal pasti sebagai Bandar Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China, seperti yang terlihat dalam tangkap layar daripada video pada 7 Januari. 
Pasukan penyelamat bekerja di tengah-tengah runtuhan selepas gempa bumi di lokasi yang dikenal pasti sebagai Bandar Shigatse, Wilayah Autonomi Tibet, China, seperti yang terlihat dalam tangkap layar daripada video pada 7 Januari.  - Foto REUTERS

BEIJING: Lebih 400 mangsa yang terperangkap akibat gempa bumi kuat di kaki pergunungan Himalaya telah diselamatkan, menurut pegawai China.

Sementara itu, lebih 30,000 penduduk pula telah dipindahkan manakala usaha mencari mangsa yang terselamat memasuki hari kedua pada 8 Januari.

Media China melaporkan bahawa di wilayah Shigatse, yang menempatkan 800,000 penduduk, 3,609 rumah telah musnah.

Seramai 126 orang dilaporkan terkorban, manakala 188 lagi cedera di bahagian Tibet.

Tiada kematian dilaporkan di Nepal atau negara jiran lain.

Gempa dengan kekuatan 6.8 magnitud yang berlaku pada 7 Januari itu berpusat di Tingri, wilayah Tibet, kira-kira 80 kilometer di utara Gunung Everest.

Gegaran turut dirasakan di Nepal, Bhutan dan India, menyebabkan kerosakan besar di kawasan tersebut.

Suhu yang turun sehingga -18 darjah Celsius pada malam kejadian menambah penderitaan mereka yang kehilangan tempat tinggal.

“Kami berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan semua mangsa yang terperangkap walaupun keadaan cuaca amat mencabar,” kata seorang pegawai penyelamat.

Lebih 500 anggota penyelamat dan 106 ambulans telah dikerahkan ke lokasi kejadian.

Bantuan seperti khemah, bekalan makanan, generator elektrik dan keperluan asas telah tiba di kawasan yang terjejas pada malam 7 Januari.

Semua jalan yang rosak akibat gempa telah dibuka semula untuk memudahkan pergerakan bantuan.

Seorang mangsa yang terselamat, Encik Tsering Drolma, berkongsi pengalamannya:

“Saya mendengar bunyi runtuhan dan rasakan tanah bergoncang. Kami terpaksa bergegas keluar rumah dalam kegelapan dengan hanya membawa pakaian tebal untuk melindungi diri daripada kesejukan.”

Pusat Rangkaian Gempa Bumi China melaporkan lebih 500 gegaran susulan dengan kekuatan sehingga 4.4 magnitud direkodkan sehingga 8 pagi pada 8 Januari.

Wilayah Tibet dan kawasan sekitarnya sering dilanda gempa bumi akibat pertembungan plat tektonik India dan Eurasia.

Dalam tempoh lima tahun lalu, 29 gempa bumi dengan kekuatan 3 magnitud atau lebih telah berlaku dalam lingkungan 200 kilometer dari pusat gempa 7 Januari.

Gempa kali itu adalah yang terburuk sejak kejadian gempa 6.2 magnitud pada 2023, yang meragut sekurang-kurangnya 149 nyawa di kawasan terpencil barat laut China.

Gempa Sichuan pada 2008, yang mencapai kekuatan 8 magnitud, mengorbankan lebih 70,000 orang dan kekal sebagai gempa paling dahsyat sejak kejadian di Tangshan pada 1976, yang meragut 242,000 nyawa.

Pihak berkuasa menggesa penduduk yang tinggal di kawasan berisiko untuk segera berpindah.

Bantuan kemanusiaan akan diteruskan bagi memastikan mangsa yang terselamat mendapat perlindungan dan keperluan asas.

“Kami memerlukan lebih banyak sumber untuk menghadapi kesan gempa ini, terutama di kawasan terpencil yang sukar diakses,” kata seorang pegawai tempatan.

Usaha menyelamat masih diteruskan dengan harapan dapat menemui mangsa yang masih hidup di bawah runtuhan.

Keutamaan kini diberikan kepada mangsa yang terperangkap dan mereka yang memerlukan rawatan perubatan segera.

“Kami tidak akan berhenti sehingga semua yang terjejas menerima bantuan,” tambah seorang pegawai penyelamat. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg