Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gempa bumi jejas kilang cip yang jana ekonomi sejagat

Apr 4, 2024 | 1:48 PM
Salah sebuah kilang pembuat cip terbesar Taiwan, TSMC yang terletak di taman sains di Tainan, di selatan Taiwan.
Salah sebuah kilang pembuat cip terbesar Taiwan, TSMC yang terletak di taman sains di Tainan, di selatan Taiwan. - Foto REUTERS

TAIPEI: Gempa bumi kuat yang melanda Taiwan pada 3 April menghentikan sementara penghasilan cip di kilang-kilang yang terletak di sepanjang pantai barat pulau itu, mengakibatkan industri teknologi itu terjejas seketika.

Gangguan itu menunjukkan betapa ekonomi sejagat bergantung kepada cip semikonduktor yang dihasilkan di Taiwan.

Dianggarkan 92 peratus daripada cip paling canggih di dunia dihasilkan oleh sebuah syarikat iaitu Taiwan Semiconductor Manufacturing Co (TSMC).

Gempa itu, dengan magnitud 7.4, melanda pantai timur pulau itu pada 3 April.

Kilang-kilang TSMC, yang dikenali sebagai chip fab, terletak di sepanjang pantai barat Selat Taiwan, kira-kira 144 kilometer dari pusat gempa.

TSMC berkata dalam satu kenyataan bahawa beberapa pekerjanya telah dipindahkan buat sementara pada hari itu untuk pemeriksaan. Tetapi mereka kini telah kembali bertugas.

Menurut TSMC, mereka dijangka menyambung semula pengeluaran cip sepanjang malam.

Syarikat itu berkata pemeriksaan awal menunjukkan bahawa tiada isu utama di mana-mana tapak cip.

“Sebilangan kecil alat telah rosak di kemudahan tertentu, sebahagiannya memberi kesan kepada operasi mereka.

“Bagaimanapun, tiada kerosakan pada alat genting kami,” jelas jurucakap TSMC dalam satu kenyataan kepada badan tidak meraih untung, NPR.

TSMC membekalkan cip canggih untuk pelbagai kegunaan, daripada yang mudah kepada yang canggih, termasuk untuk kegunaan jet pejuang.

Telefon pintar, komputer riba dan alatan AI (kecerdasan buatan) generatif seperti ChatGPT, dikuasakan oleh cip TSMC.

Syarikat seperti Apple, Huawei, Nvidia, Tesla, OpenAI dan lain-lain bergantung kepada pembuat cip.

Penganalisis berkata walaupun gangguan itu adalah minimum, ia boleh menangguhkan penghantaran dan menjejas jutaan dolar.

Walaupun keadaan terburuk masih belum menimpa industri teknologi, namun para pakar yang mengkaji sektor cip di Taiwan telah lama mengatakan bahawa bencana alam di pulau itu boleh menggugat ekonomi sejagat.

“Hampir sepertiga daripada kuasa pengkomputeran baru yang kami harapkan setiap tahun, dibuat di Taiwan.

“Ini menjadikan TSMC salah sebuah syarikat paling berharga di dunia,” kata ahli sejarah, Encik Chris Miller, dalam buku Chip War, yang diterbitkan pada 2022. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg