MANDALAY: Ketika azan Jumaat berkumandang di wilayah Sagaing, Myanmar pada 28 Mac, ratusan umat Islam bergegas menuju ke lima masjid utama di tengah-tengah bandar bagi menunaikan solat Jumaat terakhir Ramadan.
Beberapa hari sahaja lagi menjelang Aidilfitri, mereka bersedia menyambut hari kemenangan setelah sebulan berpuasa.
Namun, detik 12.51 tengah hari menjadi titik hitam yang akan terpahat dalam sejarah masyarakat Muslim di Sagaing.
Gempa bumi dahsyat menggegarkan kawasan itu, mengakibatkan tiga masjid runtuh, termasuk masjid terbesar, Masjid Myoma.
Hampir semua yang berada di dalamnya terkorban.
“Saya tidak dapat menahan air mata apabila mengenang anak-anak dan anggota jemaah yang terkorban,” kata Encik Soe Nay Oo, mantan imam Masjid Myoma, yang kini tinggal di Mae Sot, Thailand.
“Mereka adalah sahabat, saudara dan orang-orang yang menyambut saya dengan tangan terbuka setiap kali saya pulang.”
Menurut laporan pihak berkuasa, lebih 2,700 orang terkorban, termasuk sekitar 500 umat Islam yang maut ketika sedang bersolat.
Jalan Myoma, lokasi utama masjid-masjid terbabit, menjadi kawasan paling teruk terjejas dengan banyak rumah turut musnah.
Penduduk yang terselamat kini berlindung di tepi jalan, bimbang akan gempa susulan dan kekurangan bekalan makanan.
Angka korban akibat gempa bumi berukuran 7.7 magnitud pada 28 Mac dilaporkan meningkat kepada 2,719 setakat pagi 1 April dan dijangka melebihi 3,000.
Setakat ini, seramai 4,521 orang cedera, manakala 441 lagi dilaporkan hilang.
“Di Masjid Myoma sahaja, lebih 60 jasad ditarik keluar dari runtuhan. Di masjid Myodaw dan Moekya pula, jumlah korban juga tinggi.
“Ada yang ditemui di tempat wuduk, ada pula yang masih berpegangan tangan, seolah-olah cuba menyelamatkan satu sama lain,” tambah Encik Soe.
Encik Soe yang kehilangan hampir 170 anggota keluarga, rakan dan jemaahnya, kini membantu menyelaras usaha bantuan dari seberang sempadan.
Namun keadaan di lapangan amat mencabar.
Tanah perkuburan Islam di Sagaing telah ditutup bertahun lamanya kerana berada berhampiran kawasan kawalan kumpulan pemberontak.
Kini, jenazah perlu dibawa menyeberangi Sungai Irrawaddy ke Mandalay untuk dikebumikan.
“Bagi umat Islam, paling menyayat hati adalah apabila tidak dapat menguruskan pengebumian keluarga sendiri,” katanya dalam nada sebak.
“Saya tidak dapat tidur. Saya masih belum dapat berita tentang adik-beradik saya di Mandalay,” tambah beliau.
Di tengah kehancuran itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa bantuan kemanusiaan segera disalurkan sebelum musim monsun yang boleh memburukkan keadaan.
Jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric, menegaskan bahawa keperluan paling mendesak kini adalah air bersih, makanan, tempat perlindungan dan ubat-ubatan.
Keadaan menjadi lebih rumit apabila konflik bersenjata antara junta tentera dengan kumpulan penentang masih berterusan di wilayah yang sama.
PBB memberi amaran operasi ketenteraan yang diteruskan berisiko meragut lebih banyak nyawa dan menyekat usaha menyelamat mangsa.
“Lebih tiga juta rakyat Myanmar telah kehilangan tempat tinggal sejak sebelum gempa.
“Kini mereka berdepan dua bencana: perang dan alam,” ujar wakil khas PBB ke Myanmar, Cik Julie Bishop.
Masyarakat Muslim di Sagaing kini mengharapkan bantuan luar sebagai penyambung nyawa.
Di sebalik keperitan, semangat untuk saling membantu tidak pernah luntur.
Encik Soe melaporkan hampir 1,000 orang Islam di kawasan itu masih sangat memerlukan bantuan.
“Saya hanya rasa sedikit lega apabila ada yang meminta tolong dan saya dapat membantu dari jauh,
“Mereka semua telah kembali ke rumah Allah. Bagi saya, mereka syahid dan akan sentiasa hidup dalam doa kami,” ujar Encik Soe. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg