Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

GEMPA DI LOMBAK

Lebih 1,000 pendaki Gunung Rinjani jaya dipindahkan

Penduduk Lombok bimbang bencana boleh jejas kegiatan pelancongan
Aug 01, 2018 | 05:30 AM



MATARAM (Lombok): Lebih 1,000 pendaki gunung yang terkandas di Gunung Rinjani di pulau Lombok, Indonesia, selepas satu gempa bumi, telah selamat dipindahkan dan dibawa ke pusat-pusat bantuan.



Penyelamat turut menjumpai mayat seorang pendaki Indonesia, Allahyarham Muhammad Ainul Muksin, yang meninggal dunia selepas ditimpa tanah runtuh semasa gempa bumi Ahad lalu itu.



Mayatnya tidak ditemui lebih awal kerana sebagai langkah berjaga-jaga, laluan pendakian ke lokasi beliau ditutup ekoran gempa itu.



Jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Nasional (BNPB), Dr Sutopo Purwo Nugroho, berkata dalam satu pesanan mesej pagi semalam bahawa pasukan penyelamat sedang berusaha membawa mayat Allahyarham ke bawah.



Gempa bumi sekuat 6.4 pada skala Richter itu mencetuskan tanah runtuh di sekitar gunung berapi kedua tertinggi di Indonesia itu, memutuskan laluan menyelamatkan diri.



Kebanyakan pendaki gunung dan jurupandu mereka boleh turun selepas laluan selamat ditemui buat mereka tetapi ada yang diterbangkan oleh helikopter.



Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dan lebih 330 cedera dalam gempa tersebut.



Seorang pendaki Malaysia antara yang terkorban.



Gunung setinggi 3,726 meter di atas paras laut itu antara tarikan pelancongan utama Lombok.



Indonesia terletak dalam 'Lingkaran Api' (Ring of Fire), iaitu zon ketidakstabilan geologi yang luas di seluruh rim Pasifik tempat pelanggaran plat tektonik kerap hingga menyebabkan gempa dan kegiatan gunung berapi besar.



"Hingga kini, jumlah pengunjung Gunung Rinjani yang telah pun dibawa turun antara 29 Julai dengan 31 Julai ialah 1,090 dan mereka termasuk 723 warga asing serta 367 warga Indonesia," ujar Dr Sutopo.



Mereka terdiri daripada pendaki, jurupandu gunung dan pengangkat barang (porter).



Dr Sutopo berkata 820 pendaki, kebanyakannya rakyat asing, sedang mendaki Gunung Rinjani apabila gempa itu melanda dan membuat dua laluan ke puncak, melalui desa Sembalun dan Senaru, tertutup sama sekali.



Pihak Taman Negara Gunung Rinjani dalam satu kenyataan menerusi Twitter kelmarin berkata laluan di Senaru telah dibuka bagi membolehkan semua pendaki dibawa turun.



Encik I Gusti Lan Lan Wiswananda, jurucakap agensi pencarian dan menyelamat Mataram, ibu kota Lombok, berkata mereka yang telah dibawa turun semua "letih tetapi dalam keadaan baik".



Walaupun hidup dalam bayang-bayang gunung berapi bermakna penduduk Lombok tidak asing pada bencana alam, gempa kuat Ahad lalu dan beratus-ratus gempa susulan membuat mereka berasa bimbang.



Namun, masyarakat dengan cepat bersatu untuk membaiki bangunan rosak, termasuk satu-satunya klinik kesihatan di bandar Sembalun.



Bekalan elektrik dan air bersih sedang dipulihkan ke kampung-kampung.



Kawasan sekitar kaki gunung itu semakin bergantung pada pelancongan dan penutupan gunung itu sekarang dek gempa tersebut turut membuat perniagaan bimbang.



"Banyak tempahan antarabangsa saya dibatal," kata Encik Hugeng, yang mengendalikan sebuah penginapan di kaki Gunung Rinjani.



"Saya harap penduduk setempat akan datang dan relaks di sini."



Sementara itu, jenazah pendaki Malaysia, Allahyarhamha Siti Nur Iesmawida Ismail, dijangka diterbangkan dari Lombok ke Jakarta dan kemudian tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) petang semalam bagi dikebumikan di Sentul, Kuala Lumpur.



Suami Allahyarhamha, Encik Mohd Hafiz Mohd Kassim, 30 tahun, terbang ke Lombok kelmarin bagi membawa jenazah isterinya, yang juga berusia 30 tahun.



Allahyarhamha dilaporkan terkorban apabila dihempap runtuhan tembok inap desa (homestay) di Sembalun, tempat pasukannya menginap selepas turun dari Gunung Rinjani sebelum pulang ke Malaysia.



Beliau sempat menawan puncak Rinjani sebelum gempa itu melanda. - Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >