Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata di Sudan bagi benarkan bantuan kemanusiaan dihantar

Jun 19, 2023 | 6:42 PM
ANGKARA PERANG: Asap dari kebakaran di sebuah bangunan di Khartoum Selatan, Sudan, pada 7 Jun.
ANGKARA PERANG: Asap dari kebakaran di sebuah bangunan di Khartoum Selatan, Sudan, pada 7 Jun. - Foto REUTERS

KHARTOUM: Gencatan senjata selama 72 jam antara dua jeneral Sudan yang berperang berkuat kuasa pada Ahad lalu bagi membolehkan penghantaran bantuan kecemasan kepada negara itu, menjelang persidangan kemanusiaan.

Tentera yang diketuai oleh Abdel Fattah al-Burhan, sejak 15 April telah memerangi pasukan separa tentera yang dipimpin oleh bekas timbalannya Mohamed Hamdan Daglo, selepas kedua-duanya bertelagah dalam perebutan kuasa yang sengit.

Beberapa kedamaian sementara telah dipersetujui dan dilanggar dalam peperangan yang telah meragut lebih 2,000 nyawa dan lebih dua juta orang terpaksa berpindah dari rumah mereka, termasuk sekurang-kurangnya 528,000 yang melarikan diri ke luar negara.

Gencatan senjata terbaru berkuat kuasa pada 6 pagi waktu tempatan (tengah hari, waktu Singapura), dengan pengantara berkata kedua-dua pihak bersetuju menahan diri daripada sebarang serangan dan membenarkan kebebasan bergerak dan penyampaian bantuan.

Arab Saudi dan Amerika Syarikat “mengumumkan persetujuan wakil Angkatan Tentera Sudan (SAF) dan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) mengenai gencatan senjata” selama 72 jam, kata Kementerian Luar Arab Saudi.

Saksi di Khartoum berkata keadaan adalah “tenang”.

“Kami mahu gencatan senjata sepenuhnya,” kata seorang penduduk Encik Sami Omar kepada AFP, yang tinggal di bandar kembar Khartoum, Omdurman.

“Gencatan senjata tidak mencukupi untuk kami kembali ke kehidupan kami. Mereka mungkin berhenti berperang tetapi RSF tidak akan meninggalkan rumah (yang mereka duduki).”

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Isnin akan menjadi tuan rumah persidangan penderma antarabangsa untuk Sudan di Geneva.

Pertempuran semakin sengit sebelum kedua-dua pihak berikrar menghormati gencatan senjata itu dalam kenyataan berasingan pada petang Sabtu.

RSF berkata ia akan mematuhi persetujuan gencatan senjata, manakala pihak tentera berkata “walaupun kami komited terhadap gencatan senjata, kami akan bertindak balas dengan tegas terhadap sebarang pelanggaran yang dilakukan oleh pemberontak”.

Arab Saudi mengancam pada Sabtu untuk “menangguhkan” rundingan di negaranya,“ sekiranya pihak-pihak gagal menghormati gencatan senjata 72 jam”.

Kedua-dua jeneral yang berperang juga telah menghantar utusan ke ibu kota wilayah.

Di Kahirah, Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi, pada Ahad menjadi tuan rumah kepada mantan ketua pemberontak Malik Agar, yang menggantikan Encik Daglo sebagai timbalan Encik Burhan.

Pesawat perang pada Sabtu menyerang daerah perumahan di Khartoum, membunuh “17 orang awam, termasuk lima kanak-kanak”, menurut jawatankuasa sokongan rakyat.

RSF menuduh tentera menyasarkan kawasan perumahan dan mendakwa telah menembak jatuh sebuah jet pejuang.

Sebuah video dalam talian yang disiarkan pasukan separa tentera menunjukkan rumah-rumah yang telah musnah dan selimut menutupi apa yang kelihatan seperti mayat.

Beberapa misi diplomatik di ibu negara telah diserang atau dirompak, kebanyakannya telah menghentikan operasi sejak pertempuran bermula. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg