Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gencatan senjata mungkin dicapai sebelum Ramadan: AS

Afrika Selatan minta Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) supaya arahkan langkah kecemasan baru
Mar 7, 2024 | 1:20 PM
Penjaja dari Palestin menjual lampu tradisional ‘fanous’ sebagai persiapan menjelang Ramadan di Rafah, Gaza, yang sesak dengan penduduk.
Penjaja dari Palestin menjual lampu tradisional ‘fanous’ sebagai persiapan menjelang Ramadan di Rafah, Gaza, yang sesak dengan penduduk. - Foto AFP

RAFAH (Jaluran Gaza): Amerika Syarikat berkata pada 6 Mac bahawa persetujuan gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza boleh dicapai antara Hamas dengan Israel.

Ini kerana krisis kemanusiaan di kawasan itu telah mendorong Afrika Selatan meminta Mahkamah Dunia untuk langkah kecemasan terkini.

Perunding dari Hamas, Qatar dan Mesir – tanpa kehadirin Israel – masih giat berusaha untuk gencatan senjata selama 40 hari sebelum permulaan Ramadan awal minggu depan.

Walaupun terdapat spekulasi rundingan menemui jalan buntu, Amerika berkata bahawa perjanjian gencatan senjata masih mungkin boleh dicapai.

“Kami terus percaya bahawa halangan tidak dapat diatasi tetapi kesepakatan boleh dicapai... jadi kami akan terus mengusahakannya,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Encik Matthew Miller, di Washington.

Pada Januari, Afrika Selatan, telah membawa kes ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda – menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Pada 6 Mac, ia meminta mahkamah dunia itu supaya mengarahkan langkah kecemasan baru termasuk menghentikan permusuhan kerana orang awam Palestin berdepan masalah kebuluran.

“Ancaman kebuluran kini telah menjadi kenyataan. Mahkamah perlu bertindak sekarang untuk menghentikan tragedi yang akan berlaku,” kata pejabat presiden Afrika Selatan dalam satu kenyataan.

Kementerian kesihatan Gaza berkata dua rakyat Palestin, berusia 15 dan 72 tahun, meninggal dunia akibat penyahhidratan dan kekurangan zat makanan di Hospital Al Shifa dan Kamal Adwan pada 6 Mac, meningkatkan jumlah kematian dalam masa lebih seminggu kepada 20 orang.

Hamas berikrar untuk meneruskan rundingan di Kahirah, tetapi pegawainya berkata gencatan senjata mesti diadakan sebelum tebusan dibebaskan, tentera Israel mesti meninggalkan Gaza dan semua penduduk Gaza dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

“Kami menunjukkan fleksibiliti untuk mencapai pemberhentian menyeluruh terhadap pencerobohan terhadap rakyat kami, tetapi Israel masih mengelak daripada perjanjian ini,” kata Hamas dalam satu kenyataan.

Sumber sebelum ini berkata Israel menjauhkan diri daripada rundingan di Kahirah kerana Hamas enggan memberikan senarai tebusan yang masih hidup.

Hamas berkata ini adalah mustahil tanpa gencatan senjata kerana tebusan bertaburan di zon perang.

Pegawai kanan Hamas, Encik Bassem Naim, berkata mereka telah membentangkan draf perjanjiannya sendiri dan sedang menunggu jawapan Israel, dan bahawa “bola kini berada di mahkamah Amerika”.

Presiden Amerika, Encik Joe Biden, pada 5 Mac berkata sekutunya Israel bekerjasama dan menggesa Hamas agar menerima “tawaran rasional” yang dibuat Israel.

Tentera Israel, yang memulakan serangan mereka di Gaza selepas serbuan maut Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober, terus mengebom dan mengepung wilayah Palestin itu sejak rundingan dimulakan di Kahirah pada 3 Mac dan situasi kemanusiaan semakin memburuk.

Pegawai kesihatan di Gaza berkata jumlah orang yang disahkan terbunuh dalam serangan Israel kini telah melepasi 30,700 orang. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg