Topik diikuti
Pergi ke BHkuNahas kereta api di Sepanyol ragut 68 nyawa
Negara itu berkabung dalam kemalangan kedua dalam tempoh setahun, cetus persoalan terhadap keselamatan rangkaian kereta api
Nahas kereta api di Sepanyol ragut 68 nyawa
MADRID: Sepanyol memulakan tempoh berkabung selama tiga hari pada 29 Oktober selepas nahas perlanggaran kereta api kelajuan tinggi kedua pada 2026 mengorbankan sekurang-kurangnya 68 individu dan mencederakan puluhan yang lain.
Lebih 50 lagi cedera, sebahagiannya parah, apabila sebuah kereta api laju merempuh bahagian belakang kereta api lain yang berhenti di landasan yang terletak di Toledo, Sepanyol pada 28 Oktober.
Nahas itu merupakan kemalangan kereta api paling buruk di Sepanyol pada 2026, sekali gus mencetuskan persoalan serius mengenai keselamatan sistem pengangkutan rel negara tersebut.
Kemalangan berlaku kira-kira 8.30 pagi apabila kereta api kendalian syarikat nasional, Renfe, yang dalam perjalanan dari Madrid ke Seville, merempuh sebuah kereta api milik syarikat swasta, Iryo.
Rempuhan kuat menyebabkan beberapa gerabak tergelincir dan terhumban ke kawasan cerun berhampiran landasan, manakala penumpang terperangkap dalam timbunan besi dan serpihan gerabak.
Seorang penumpang yang terselamat, Encik Fernando Seco, 62 tahun, berkata kereta api yang dinaikinya berhenti kira-kira setengah jam selepas bertolak dari Madrid akibat kesesakan lalu lintas kereta api.
Tidak lama kemudian, kereta api itu bergerak semula dan meningkatkan kelajuan sebelum tiba-tiba merempuh kereta api yang masih berhenti di hadapannya.
Encik Seco bersama penumpang lain segera keluar dari gerabak belakang dan menyelamatkan diri ke kawasan ladang berhampiran.
Beliau kemudian melihat beberapa gerabak kereta api yang dirempuh tergelincir ke kawasan cerun.
Menurutnya, sebatang besi landasan menembusi sebuah gerabak dari bawah hingga ke atas, menyebabkan kerosakan amat teruk.
Beliau bersama beberapa penumpang lain bergegas membantu mangsa yang terperangkap dalam gerabak yang remuk.
“Keadaan sangat sunyi kerana ada yang sudah meninggal dunia, manakala mereka yang cedera terlalu parah sehingga tidak mampu bersuara,” katanya.
Mangsa yang terselamat menggunakan serpihan gerabak sebagai pengusung sementara untuk membawa keluar penumpang yang cedera.
Beberapa doktor yang kebetulan berada dalam kereta api turut memberikan rawatan kecemasan di kawasan ladang pokok badam berhampiran lokasi nahas.
Seorang lagi penumpang, Encik Antonio de la Corte, 77 tahun, berkata beliau sedang tidur ketika rempuhan berlaku.
“Bam!” katanya ketika menggambarkan bunyi hentaman yang mengejutkannya.
Beliau tercampak ke hadapan dan mengalami kecederaan pada lutut, manakala abangnya terhantuk kepala.
Menurutnya, sebatang besi menembusi bahagian dalam gerabak dan mengorbankan beberapa penumpang yang duduk di sebelah kanannya.
Penduduk dan pekerja ladang berhampiran turut membantu dengan memotong pagar bagi membolehkan penumpang berlindung di kawasan tanaman.
Seorang penduduk Yébenes, Encik Yahadi Mohamed Maulud, 41 tahun, bergegas ke lokasi kejadian selepas mendapat tahu mengenai kemalangan itu.
Beliau membawa bekalan air minuman dan membantu memindahkan mangsa yang cedera.
“Kami menemui keadaan yang amat mengerikan,” katanya sambil menceritakan keadaan mangsa yang mengalami kecederaan serius.
Puluhan ambulans, kereta polis dan jentera bomba kemudian tiba, manakala helikopter penyelamat berlegar di ruang udara untuk membantu operasi kecemasan.
Pasukan penyelamat menggunakan kren bagi mengangkat serpihan gerabak yang remuk untuk mencari mangsa yang masih terperangkap.
Menteri Pengangkutan Sepanyol, Encik Óscar Puente, berkata siasatan awal mendapati nahas berpunca daripada kegagalan sistem keselamatan landasan, disusuli arahan yang salah daripada pusat kawalan kereta api di Madrid.
Menurutnya, sistem keselamatan mengalami kerosakan kira-kira 8.30 pagi, menyebabkan enam kereta api di kawasan berkenaan terpaksa berhenti.
Namun, pusat kawalan kemudian membenarkan kereta api Renfe meneruskan perjalanan pada kelajuan biasa walaupun sebuah lagi kereta api masih berhenti di hadapannya.
Beliau menyifatkan arahan tersebut sebagai tidak dapat dijelaskan dan jelas tidak betul.
Kereta api Renfe bergerak sejauh kira-kira 25 kilometer sebelum merempuh kereta api Iryo pada 8.53 pagi.
Menurut laporan media Sepanyol, pemandu kereta api Iryo telah memaklumkan pusat kawalan bahawa kereta apinya tidak dapat bergerak semula.
Bagaimanapun, maklumat itu tidak disampaikan kepada pemandu Renfe yang sedang menghampiri lokasi berkenaan.
Encik Puente berkata kereta api sepatutnya diarahkan bergerak perlahan, pada kelajuan sekitar 40 kilometer sejam, supaya pemandu dapat memberhentikannya jika terdapat halangan.
Punca sebenar dan pihak yang bertanggungjawab masih dalam siasatan.
Perdana Menteri Sepanyol, Encik Pedro Sánchez, yang melawat lokasi kejadian, mengumumkan tiga hari berkabung bagi memperingati mangsa.
“Tidak mungkin sebuah negara seperti Sepanyol mengalami dua kemalangan kereta api laju dalam tempoh setahun,” katanya.
Nahas terbaru itu berlaku selepas perlanggaran dua kereta api laju berhampiran Adamuz pada Januari lalu yang mengorbankan 46 orang.
Kededua kemalangan melibatkan pengendali sama, Renfe dan Iryo, di laluan Madrid-Seville.
Tragedi terbaru itu turut meningkatkan tekanan terhadap kerajaan Encik Sánchez menjelang pilihan raya umum pada 29 November, dengan keselamatan prasarana pengangkutan menjadi antara isu yang mendapat perhatian.
Perkhidmatan kereta api laju antara Madrid dengan Andalusia digantung sementara bagi membolehkan kerja menyelamat dan siasatan dijalankan.
Bagi Encik Maulud, yang sering menggunakan kereta api untuk urusan perniagaan di Madrid, pengalaman menyaksikan kemusnahan tersebut meninggalkan kesan mendalam.
“Saya tidak akan menaiki kereta api itu lagi,” katanya. – Agensi berita.