Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Eropah dilanda gelombang sejuk beku, enam maut dalam kemalangan cuaca

Jan 7, 2026 | 2:31 PM
Jalan-jalan dilitupi salji selepas salji lebat turun sepanjang malam di Slupsk, utara Poland, pada 5 Januari 2026. Di bahagian barat laut Wilayah Pomeranian dan timur laut Wilayah Pomeranian Barat, amaran tahap III telah dikuatkuasakan berikutan salji lebat yang menyebabkan litupan salji meningkat sehingga 60 sentimeter di beberapa kawasan.
Jalan-jalan dilitupi salji selepas salji lebat turun sepanjang malam di Slupsk, utara Poland, pada 5 Januari 2026. Di bahagian barat laut Wilayah Pomeranian dan timur laut Wilayah Pomeranian Barat, amaran tahap III telah dikuatkuasakan berikutan salji lebat yang menyebabkan litupan salji meningkat sehingga 60 sentimeter di beberapa kawasan. - Foto EPA

PARIS: Gelombang sejuk melampau terus melumpuhkan pergerakan di seluruh Eropah untuk hari kedua berturut-turut pada 6 Januari, dengan sekurang-kurangnya enam kematian dilaporkan akibat kemalangan berkaitan cuaca, dalam episod cuaca paling dingin yang melanda benua itu setakat musim sejuk ini.

Sejak suhu beku pada 5 Januari, lima orang dilaporkan maut di Perancis manakala seorang wanita meninggal dunia di Bosnia susulan salji tebal dan hujan lebat yang mencetuskan banjir serta gangguan bekalan elektrik di rantau Balkan.

Di Paris, dua lapangan terbang utama Roissy–Charles de Gaulle dan Orly terpaksa membatalkan sejumlah besar penerbangan awal pagi 7 Januari bagi memberi ruang kepada kerja-kerja pembersihan landasan dan proses penghapusan ais pesawat.

Pihak berkuasa penerbangan memaklumkan 40 peratus penerbangan pagi di Charles de Gaulle dibatalkan, manakala 25 peratus di Orly turut ditunda. Di Britain, suhu menjunam hingga -12.5 darjah Celsius di Norfolk antara 5 Januari hingga 6 Januar, sementara suhu bawah -10 darjah Celsius di Netherlands menyebabkan perkhidmatan kereta api terhenti pada pagi 6 Januari.

“Semalam merupakan malam paling sejuk musim sejuk setakat ini,” menurut Pejabat Meteorologi Britain sambil mengesahkan hampir seluruh United Kingdom berada di bawah amaran salji dan ais dengan jangkaan salji tambahan.

Keadaan sejuk melampau turut menjadikan jalan raya licin dan berbahaya.

Keadaan licin akibat ais mengorbankan tiga nyawa dalam kemalangan jalan raya di barat daya Perancis pada pagi 5 Januari. Seorang pemandu teksi pula meninggal dunia di hospital pada malam yang sama selepas kenderaannya terbabas dan terjunam ke Sungai Marne di wilayah Paris. Penumpangnya masih dirawat akibat hipotermia, menurut sumber polis. Seorang lagi pemandu maut di timur Paris selepas kenderaan yang dipandunya bertembung dengan lori berat.

Cik Melanie Coligneaux, seorang cef pastri, berkata beliau keluar dari rumahnya di Beny-Bocage, barat laut Perancis, seawal 5 pagi bagi mengelakkan kesesakan terburuk. “Keadaan jalan teruk. Kami tidak mahu merosakkan kereta atau, lebih buruk, terlibat dalam kemalangan,” katanya kepada AFP.

Di Belanda, Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam, hab penerbangan utama negara itu, mencatat hari kedua pembatalan penerbangan akibat cuaca buruk, dengan sekurang-kurangnya 600 penerbangan dibatalkan dan penumpang berdepan barisan panjang di kaunter syarikat penerbangan.

Syarikat penerbangan Belanda, KLM, yang bertanggungjawab melakukan proses nyahais ke atas kebanyakan pesawat di Schiphol, memberi amaran bahawa bekalan cecair nyahais hampir kehabisan, sambil menyalahkan keadaan cuaca yang “melampau” serta kelewatan bekalan.

Perkhidmatan kereta api yang dikendalikan operator nasional Belanda, NS, hanya mula beroperasi semula selepas jam 10 pagi (waktu tempatan), dengan perkhidmatan terhad selepas itu.

Bagaimanapun, penerbangan kembali beroperasi dari Liverpool di barat laut England dan Aberdeen di timur laut Scotland selepas kedua-dua lapangan terbang itu ditutup pada Isnin berikutan cuaca sejuk melampau. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg