Topik diikuti
Pergi ke BHkuGerakan ‘Cockroach’ India ikrar teruskan bantahan hingga menteri letak jawatan
Gerakan ‘Cockroach’ India ikrar teruskan bantahan hingga menteri letak jawatan
Gerakan ‘Cockroach’ India ikrar teruskan bantahan hingga menteri letak jawatan
NEW DELHI: Pergerakan satira Cockroach Janta Party (CJP) berikrar akan meneruskan bantahan sehingga Menteri Pendidikan India, Dharmendra Pradhan, meletakkan jawatan selepas sekurang-kurangnya 180 orang cedera dalam pertembungan dengan polis di New Delhi.
Ribuan penunjuk perasaan berhimpun di pusat ibu negara India pada 20 Julai bagi menuntut peletakan jawatan Encik Pradhan serta pembaharuan menyeluruh terhadap sistem peperiksaan negara.
Bantahan itu dianggap antara demonstrasi terbesar di New Delhi dalam tempoh kira-kira lima tahun dan mencerminkan peningkatan pengaruh CJP, sebuah gerakan yang bermula di media sosial pada Mei lalu.
Sejak ditubuhkan, CJP berjaya meraih jutaan pengikut dalam talian dan muncul sebagai antara cabaran terbesar kepada pemerintah Perdana Menteri Narendra Modi sejak beliau memenangi penggal ketiga pada 2024.
Pemimpin CJP, Encik Ashutosh Ranka, menegaskan gerakan itu tidak akan menghentikan bantahan selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi.
“Kami tidak akan berhenti. Pradhan mesti dipecat,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Sehingga 21 Julai, ratusan penunjuk perasaan masih berkhemah di kawasan bantahan Jantar Mantar di New Delhi sambil terus mendesak pembaharuan terhadap sistem pendidikan negara.
Keadaan bertukar tegang pada 20 Julai apabila polis melepaskan gas pemedih mata dan menggunakan belantan untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang cuba berarak menuju ke bangunan Parlimen.
Menurut Polis Delhi, seramai 178 orang cedera dalam pertembungan itu, termasuk 118 anggota polis dan beberapa pegawai kanan.
Polis berkata kira-kira 60 penunjuk perasaan turut mengalami kecederaan.
Dalam satu kenyataan, Polis Delhi menyifatkan tindakan peserta bantahan sebagai tidak terkawal, agresif dan ganas.
Bagaimanapun, penganjur bantahan mengecam tindakan keras pihak berkuasa dan mendakwa ratusan peserta cedera akibat kekerasan polis.
“Ia hari yang memalukan dalam sejarah demokrasi India apabila rakyat, khususnya pelajar yang datang membawa tuntutan yang sah, dipukul dengan kejam oleh polis Delhi,” kata Encik Ranka kepada AFP.
Beliau berkata telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kesihatan merangkap pemimpin kanan pemerintah, JP Nadda, pada 20 Julai, namun pemerintah masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan mereka.
Gelombang bantahan itu berlaku ketika rakyat India semakin hilang keyakinan terhadap sistem peperiksaan negara susulan beberapa skandal besar yang mencetuskan kemarahan awam.
Bulan Jun lalu, kira-kira 2.2 juta calon peperiksaan kemasukan ke sekolah perubatan terpaksa menduduki semula ujian di bawah kawalan keselamatan ketat selepas peperiksaan asal dibatalkan akibat kebocoran kertas soalan.
Sebelum itu, satu lagi kontroversi tercetus membabitkan sistem pemarkahan dalam talian bagi peperiksaan hampir dua juta pelajar sekolah menengah.
Skandal berulang itu menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan kredibiliti sistem peperiksaan di India.
Walaupun India mencatat pertumbuhan ekonomi yang pesat dalam beberapa tahun kebelakangan ini, jutaan belia masih berdepan kesukaran mendapatkan pekerjaan tetap dengan gaji yang baik.
Keadaan itu meningkatkan rasa tidak puas hati dalam kalangan generasi muda, yang melihat sistem pendidikan dan peperiksaan sebagai laluan utama untuk memperoleh peluang pekerjaan.
Pemerhati berpendapat bantahan kali ini bukan sekadar menuntut peletakan jawatan seorang menteri, malah mencerminkan kemarahan yang semakin memuncak terhadap kelemahan pengurusan sistem pendidikan dan peluang pekerjaan di negara paling ramai penduduk di dunia itu. - Agensi berita
