LADAKH: Pasukan keselamatan India meronda jalan-jalan di wilayah Himalaya, Ladakh, pada Khamis (25 September) selepas perintah berkurung dikenakan susulan rusuhan berdarah sehari sebelumnya yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan berpuluh-puluh lagi.
Kekacauan itu berpunca daripada bantahan besar-besaran menuntut status negeri penuh dan kuota pekerjaan khas untuk penduduk tempatan.
Rakaman televisyen menunjukkan jalan raya di Leh dipenuhi kenderaan rosak dengan cermin pecah, kedai-kedai ditutup, dan anggota keselamatan meronda kawasan yang kini sunyi.
Seruan protes menyusul daripada Gabungan Demokratik Kargil (KDA) yang mewakili kumpulan politik, sosial dan perdagangan di wilayah itu.
Ahli Parlimen Ladakh, Encik Mohmad Haneefa, mendesak keadilan atas kematian penunjuk perasaan di kalangan anak muda. “Saya menuntut siasatan yang adil, bebas dan mengikut tempoh masa yang jelas terhadap kematian pelajar-pelajar kita,” katanya di platform X. Beliau juga menuntut bantuan kepada keluarga mangsa dan hukuman kepada pihak yang bertanggungjawab.
Menurut pegawai polis, sekurang-kurangnya 80 orang cedera dalam pertempuran, enam daripadanya parah, manakala lebih 50 individu telah ditahan. “Ini adalah hari paling berdarah dalam sejarah politik Ladakh,” kata Encik Jigmat Paljor, penyelaras badan induk protes, Ladakh Apex Body, yang selama ini menganjurkan bantahan secara aman. “Anak muda kita gugur ketika memperjuangkan hak mereka.”
Sejak enam tahun lalu, penduduk Ladakh menganjurkan demonstrasi aman dan mogok lapar bagi menuntut lebih banyak kuasa autonomi dan peluang pekerjaan. Namun pada 24 September, suasana berubah apabila golongan muda yang kecewa memecahkan tradisi protes damai.
“Itu adalah letusan kemarahan generasi muda, seakan revolusi Gen-Z,” kata aktivis terkenal Encik Sonam Wangchuk dalam satu kenyataan video. Beliau yang sebelum ini mengetuai siri mogok lapar menegaskan bahawa beliau tidak pernah menyeru keganasan, tetapi amaran telah diberi bahawa rasa kecewa boleh membawa keadaan menjadi liar. “Mereka sudah lama menunggu, tetapi suara mereka tidak didengar.”
Menurut penganjur, tunjuk perasaan bermula di Taman Peringatan Syuhada, tapak bersejarah yang sering menjadi lokasi bantahan aman. Namun kumpulan belia meninggalkan kawasan itu dan bergerak ke pejabat parti pemerintah Bharatiya Janata Party (BJP) serta bangunan pemerintah tempatan, menyebabkan konfrontasi dengan polis. Kenderaan polis dibakar dan pejabat pegawai kanan tempatan diserang.
Kementerian Dalam Negeri India menyatakan pihak polis “terpaksa melepaskan tembakan” selepas diserang oleh perusuh yang dikatakan diapi-apikan ucapan Encik Wangchuk, termasuk rujukan kepada kebangkitan Arab Spring dan protes Gen Z di Nepal. “Kami mempertahankan diri selepas diserang,” kata kenyataan rasmi kementerian itu.
Sejak 2019, apabila pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi membubarkan status separa autonomi Jammu dan Kashmir serta memisahkan Ladakh menjadi wilayah persekutuan tanpa badan perundangan sendiri, penduduk tempatan berasa hak mereka semakin terhakis.
Berbeza dengan Jammu dan Kashmir yang masih mempunyai dewan undangan negeri, Ladakh kini ditadbir terus dari New Delhi tanpa wakil rakyat tempatan yang dipilih.
Penduduk Ladakh, yang lebih 90 peratus terdiri daripada komuniti pribumi berstatus Komuniti Pribumi Terdaftar atau Scheduled Tribes, menuntut supaya wilayah mereka dimasukkan ke bawah Jadual Keenam Perlembagaan India, yang memberi kawalan pentadbiran tempatan dan melindungi hak tanah serta budaya. Mereka juga mahukan kuota pekerjaan khas untuk memastikan peluang pekerjaan awam diberikan kepada penduduk asal.
“Anak muda menganggur selama lima tahun, hak demokrasi dirampas. Ini adalah pencetus keresahan sosial,” kata Wangchuk. Walaupun kadar celik huruf Ladakh mencecah 97 peratus, kadar pengangguran graduan mencecah 26.5 peratus dua kali ganda purata kebangsaan India.
Penganalisis politik dari Leh, Encik Siddiq Wahid, menyifatkan keganasan ini sebagai amaran keras kepada New Delhi. “Apa yang berlaku di Ladakh menakutkan. Penduduk sedar identiti mereka terancam sejak hak mereka dirampas enam tahun lalu,” katanya. “Kemarahan anak muda amat membimbangkan kerana mereka sudah hilang sabar dan tidak nampak masa depan.”
Encik Sajad Kargili, ahli jawatankuasa pemerintah yang ditubuhkan untuk berdialog dengan aktivis, turut menegaskan keperluan tindak balas segera. “Pemerintah mesti faham bahawa belia kini marah dan tidak lagi memilih jalan aman seperti mogok lapar. Jangan abaikan seruan mereka,” katanya.
Ladakh bukan sahaja isu dalaman India tetapi juga titik strategik. Wilayah dataran tinggi dan tandus ini bersempadan dengan China dan menjadi laluan penting tentera India.
Pada 2020, tentera India dan China bertempur di sempadan Garis Kawalan Sebenar (LAC) di timur Ladakh, menyebabkan 20 anggota India dan empat anggota China terkorban. Sejak itu, Ladakh kekal sebagai pusat ketegangan keselamatan India-China.
Kini, tindakan pemerintah Modi pada 2019 kembali menghantui India apabila Ladakh, yang dulunya tenang, muncul sebagai pusat protes baru. “Dulu masalah hanya tertumpu pada Kashmir, kini New Delhi berdepan cabaran dalaman kedua yang serius,” kata Encik Wahid.
KDA dan Ladakh Apex Body menuntut pemerintah India segera mengadakan rundingan bermakna dan melindungi hak rakyat tempatan. Mereka juga mendesak siasatan telus terhadap penggunaan peluru hidup oleh polis yang membawa maut. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg