JAKARTA: Badan Pengawas Pilihan Raya Jakarta (Bawaslu), masih menyiasat dakwaan pelanggaran kempen yang dilakukan calon naib presiden, Encik Gibran Rakabuming, yang didakwa membabitkan kanak-kanak dalam kempen pilihan raya presiden 2024.
Sebelum ini, Encik Gibran dilihat mengajak kanak-kanak menyertainya di pentas kempennya, dan memberi mereka buku dan susu di Penjaringan, Jakarta Utara, pada 1 Disember.
Encik Benny Sabdo, penyelaras Bahagian Pengendalian Pelanggaran Bawaslu Jakarta, berkata Bawaslu Jakarta Utara masih menyiasat kejadian ini secara menyeluruh.
“[Kami] sedang menyiasatnya,” katanya kepada Tempo pada 4 Disember.
Encik Benny mengesahkan, peserta pilihan raya dilarang melibatkan kanak-kanak semasa berkempen, di bawah Peraturan KPU No 7 Tahun 2022, mengenai senarai pemilih dan sistem maklumat data pemilih.
Sementara itu, di tengah-tengah siasatan yang sedang dijalankan, tindakan lain Encik Gibran juga telah mendapat perhatian umum.
Anak sulung Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo itu mengedarkan susu percuma pada acara Jakarta Car Free Day pada 3 Disember.
Bawaslu Jakarta Pusat, sambung Encik Benny, sedang menyiasat dakwaan pelanggaran kempen dalam aktiviti ini.
“Pada dasarnya, kawasan CFD tidak boleh digunakan untuk aktiviti kempen, sama ada untuk calon presiden atau timbalan presiden atau calon legislatif,” tambahnya.
Bagaimanapun, Encik Gibran menafikan berkempen semasa acara CFD mingguan.
“Tiada sifat kempen,” katanya di Jalan MH Thamrin, Jakarta Pusat, sambil menambah bahawa beliau tidak menyeru orang ramai untuk mengundinya.
Encik Gibran telah memulakan kempen pilihan raya Presiden dan beliau berganding dengan calon Presiden, Encik Prabowo Subianto.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg