Topik diikuti
Pergi ke BHkuGibran nafi letak jawatan kerana isu diploma
Prabowo akui kelayakan akademik jadi punca
Gibran nafi letak jawatan kerana isu diploma
JAKARTA: Gibran Rakabuming Raka menafikan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden Indonesia berpunca daripada kontroversi diploma, walaupun Presiden Prabowo Subianto mengakui masalah kelayakan akademik anak sulung bekas Presiden Joko Widodo itu menjadi faktor utama pengundurannya.
Encik Gibran, 39 tahun, menegaskan keputusan tersebut dibuat secara sukarela demi kepentingan negara dan memastikan pentadbiran kerajaan dapat diteruskan tanpa gangguan politik.
Dalam rakaman video hampir tujuh minit yang dimuat naik ke Instagram pada 12 November, beliau mengakui keputusan meninggalkan jawatan kedua tertinggi negara itu bukan sesuatu yang mudah.
“Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi inilah pilihan terbaik.
“Keputusan ini adalah keputusan peribadi saya dan tiada kaitan dengan diploma. Saya ulangi, tiada kaitan dengan diploma.
“Semua dokumen pendidikan saya lengkap dan sudah diserahkan kepada mahkamah,” katanya.
Encik Gibran mengumumkan peletakan jawatan selepas dua keputusan mahkamah tertinggi Indonesia menimbulkan persoalan mengenai kesahihan dokumen pendidikan yang digunakannya untuk memenuhi syarat bertanding dalam pilihan raya presiden 2024.
Kontroversi itu turut mencetuskan desakan supaya beliau dipecat daripada jawatan Naib Presiden.
Kira-kira 120 anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) dilaporkan menandatangani usul menggunakan Hak Menyatakan Pendapat (HMP), yang boleh membuka laluan kepada proses pemecatan.
Bagaimanapun, usaha tersebut tidak diteruskan selepas Encik Gibran mengambil keputusan meletak jawatan.
Dua keputusan mahkamah cetus tekanan
Kontroversi bermula apabila Mahkamah Perlembagaan (MK) meneliti dokumen pendidikan Encik Gibran dalam kes bernombor 01/PHPU.PRES-XXIV/2026.
Mahkamah mendapati tiada bukti mencukupi atau diploma asal yang dapat mengesahkan beliau sudah menamatkan pendidikan sekolah menengah atas atau kelayakan setaraf dengannya.
Mahkamah Agung (MA) kemudian mengukuhkan keputusan tersebut melalui kes rayuan bernombor 742 K/TUN/2026.
Mahkamah memutuskan surat pengesahan kelayakan pendidikan yang dikeluarkan Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia pada 2019 tidak sah dan terbatal di sisi undang-undang.
Keputusan itu menimbulkan persoalan sama ada Encik Gibran memenuhi syarat pendidikan minimum untuk bertanding sebagai Naib Presiden.
Encik Gibran pernah belajar di Sekolah Menengah Orchid Park di Singapura sebelum mengikuti program persediaan universiti UTS Insearch di Australia.
Beliau kemudian melanjutkan pengajian di Institut Pembangunan Pengurusan Singapura (MDIS) dan memperoleh ijazah sarjana muda dalam bidang pemasaran daripada University of Bradford, Britain, yang ketika itu bekerjasama dengan MDIS.
Encik Gibran sebelum ini mahu mendapatkan pengesahan kesahihan sijil akademiknya melalui Mahkamah Pentadbiran Negara (PTUN).
Namun, Menteri Penyelaras Undang-Undang, Hak Asasi Manusia, Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Yusril Ihza Mahendra, berkata usaha itu tidak akan mengubah keputusan Mahkamah Agung yang sudah muktamad.
Prabowo akui masalah kelayakan pendidikan
Sebelum mengumumkan peletakan jawatannya, Encik Gibran menemui Prabowo di Istana Merdeka, Jakarta, pada 12 November, kira-kira 10.15 pagi.
Beliau menyerahkan surat pengunduran diri kepada Presiden sebelum mengemukakannya secara rasmi kepada Majlis Permusyawaratan Rakyat (MPR).
Dalam sidang media selepas pertemuan itu, Encik Prabowo mengucapkan terima kasih kepada Encik Gibran atas sumbangannya sebagai Naib Presiden dan rakan gandingannya dalam pilihan raya 2024.
Encik Prabowo memberikan penjelasan berbeza mengenai sebab pengunduran Gibran.
Menurutnya, Encik Gibran percaya beliau sudah mengikuti proses pendidikan yang betul, tetapi sistem pendidikan luar negara berbeza daripada keperluan yang ditetapkan undang-undang Indonesia.
“Gibran percaya bahawa beliau sudah menjalani pendidikan mengikut aturan yang betul. Namun, kita memahami bahawa sistem pendidikan di luar negara berbeza daripada sistem kita.
“Sebaliknya, keputusan mahkamah menunjukkan terdapat percanggahan atau kekurangan dalam memenuhi syarat yang ditetapkan oleh sistem perlembagaan kita,” katanya.
Encik Prabowo berkata keadaan itu mendorong Gibran mengambil keputusan melepaskan jawatan demi kepentingan negara dan rakyat.
Gibran anggap pengunduran satu pengorbanan
Dalam ucapannya, Encik Gibran menegaskan peletakan jawatan bukan bermakna beliau mengakui tidak berkemampuan menjalankan tanggungjawab.
Sebaliknya, beliau menyifatkannya sebagai langkah besar yang perlu diambil bagi memastikan pemerintah terus berfungsi dengan baik.
“Keputusan untuk berhenti bukan pengakuan bahawa saya tidak berkemampuan.
“Sebaliknya, ini langkah besar yang perlu saya ambil supaya pemerintah dapat terus bergerak dengan lebih tenang, bersatu dan memberikan tumpuan sepenuhnya,” katanya.
Beliau berkata seseorang pemimpin perlu berani meletakkan kepentingan negara mengatasi kedudukan peribadi.
Menurutnya, kematangan dalam kepimpinan bukan sekadar mempertahankan kuasa, tetapi juga mengetahui masa yang sesuai untuk melepaskannya.
Encik Gibran turut mengimbas keputusannya menerima pelawaan Encik Prabowo untuk menjadi calon Naib Presiden pada September 2023.
Ketika itu, beliau masih memegang jawatan Datuk Bandar Surakarta dan terpaksa meninggalkan beberapa projek pembangunan yang dimulakannya.
Beliau juga mengakui keputusan menyertai Encik Prabowo membawa kesan terhadap hubungannya dengan parti politik yang sebelum itu membimbing kerjayanya.
Namun, Encik Gibran berkata beliau menerima pelawaan tersebut kerana percaya generasi muda perlu berani mengambil risiko demi berkhidmat kepada negara.
Mohon maaf kepada rakyat Indonesia
Dalam ucapan perpisahannya, Encik Gibran turut memohon maaf kepada rakyat Indonesia atas segala kekurangan sepanjang memegang jawatan.
Beliau mengakui masih banyak harapan rakyat yang belum dapat dipenuhi dan masalah yang belum diselesaikan.
“Kepada seluruh rakyat Indonesia, terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.
“Dari lubuk hati saya, saya memohon maaf atas setiap harapan yang belum dapat dipenuhi, setiap masalah yang belum diselesaikan dan setiap hati yang mungkin terluka kerana kekurangan saya,” katanya.
Encik Gibran turut mengucapkan terima kasih kepada Prabowo, anggota Kabinet, kakitangan pemerintah dan sukarelawan yang menyokongnya.
Beliau turut berpesan kepada generasi muda supaya tidak berputus asa mengejar cita-cita besar meskipun berdepan pelbagai cabaran.
Peletakan jawatan Gibran kini membuka laluan kepada pemilihan Naib Presiden baharu.
Encik Prabowo akan mengemukakan dua calon kepada MPR, yang kemudian akan bersidang untuk memilih penggantinya.
Mengakhiri ucapannya, Gibran menegaskan bahawa pengundurannya tidak bermakna beliau akan berhenti berkhidmat kepada masyarakat.
“Hari ini mungkin satu bab dalam perjalanan saya berakhir, tetapi kecintaan saya kepada Indonesia tidak akan pernah berakhir.
“Saya akan sentiasa bersama rakyat Indonesia dalam apa jua keadaan. Terima kasih Indonesia dan sehingga kita bertemu lagi,” katanya. - Agensi berita