Topik diikuti
Pergi ke BHkuGolongan profesional muda digalak tampil lakar masa depan masjid
Golongan profesional muda digalak tampil lakar masa depan masjid
Golongan profesional muda daripada pelbagai latar belakang digalak tampil menyumbang kepakaran, pengalaman dan perspektif mereka dengan menyertai Lembaga Pentadbiran Masjid (LPM), sekali gus membantu melakar masa depan masjid dan masyarakat.
Bagi golongan profesional muda, LPM bukan sekadar ruang untuk berkhidmat kepada masyarakat. Sebagai badan bertanggungjawab terhadap tadbir urus dan arah strategik masjid, LPM memberi peluang kepada individu supaya membawa perspektif baru serta menggunakan kepakaran dan pengalaman mereka dalam melakar hala tuju masjid.
Bagi Cik Noor Amirah Abdul Rashid, 30 tahun, penglibatan beliau dalam khidmat masyarakat bermula melalui kumpulan belia di Masjid Assyakirin, FITYAN.
Daripada aktif dalam kegiatan belia masjid, Eksekutif Akaun itu kemudiannya diberi peluang menyumbang sebagai anggota LPM Masjid Assyakirin.
Bagi Cik Amirah, pengalaman itu membuka ruang kepadanya menyumbang kepada masjid dan mengembangkan kemahiran kepimpinan dan belajar bekerjasama dengan individu daripada pelbagai latar belakang.
“Melalui pengalaman bersama FITYAN dan masjid, saya banyak belajar tentang kemajuan diri, sikap rendah hati, ketabahan dan kepimpinan.
“Setiap orang mempunyai pengalaman dan perspektif berbeza. Kita perlu bersedia mendengar, bekerjasama dan saling menyokong bagi mencapai matlamat yang sama,” jelas Cik Amirah.
Beliau yakin golongan muda mempunyai peranan penting dalam memastikan masjid terus berkembang dan kekal relevan dengan keperluan masyarakat.
Bagi Encik Izzairin Swandi, 37 tahun, pula, pengalaman profesional yang dimiliki seseorang boleh menjadi aset bermakna apabila disalurkan kepada masyarakat.
Pengurus Komunikasi dan Pensyarah Adjung itu kini berkhidmat sebagai Penolong Bendahari Masjid Pusara Aman.
Berbekalkan pengalaman dalam bidang komunikasi, kepimpinan dan penglibatan masyarakat, Encik Izzairin mengamalkan pendekatan strategik dalam khidmatnya, sambil tidak keberatan turun padang dan bekerja rapat dengan jemaah, keluarga serta sukarelawan.
“Setiap individu mempunyai kemahiran yang boleh dimanfaatkan oleh masyarakat. Sama ada dalam bidang kewangan, komunikasi, teknologi ataupun pengurusan, kepakaran itu boleh membantu masjid melaksanakan daya usaha yang lebih berkesan,” ujar pensyarah di Institut Teknologi Singapura (SIT) ini.
Namun, menurut Encik Izzairin, sumbangan kepada masjid bukan hanya tentang membawa kepakaran profesional.
Pengalaman berkhidmat dalam kepimpinan masjid turut mengajarnya nilai rendah hati, kerja berpasukan dan ketabahan, nilai yang beliau percaya penting dalam khidmat masyarakat dan kehidupan harian.
Eksekutif Penglibatan Masyarakat dan Perkongsian di Masjid Assyakirin, Cik Nur Nadiah Minhad, memberitahu Berita Harian (BH) bahawa penglibatan golongan muda dan profesional dalam kepimpinan masjid dapat membawa perspektif serta kepakaran yang pelbagai kepada pengurusan masjid.
Menurutnya, penyertaan mereka juga membuka ruang kepada masjid membina hubungan yang lebih kukuh dengan masyarakat, khususnya generasi muda.
“Setiap individu membawa pengalaman, kemahiran dan perspektif berbeza. Apabila mereka tampil berkhidmat, kepakaran tersebut dapat dimanfaatkan demi memperkukuh usaha masjid dalam memenuhi keperluan masyarakat,” ujar Cik Nur Nadiah.
Beliau berharap lebih ramai individu, khususnya golongan profesional muda, tampil menyumbang.
Bagi Cik Amirah dan Encik Izzairin pula, pengalaman mereka menunjukkan bahawa seseorang tidak perlu menunggu sehingga mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam kepimpinan sebelum tampil berkhidmat.
Kadangkala, apa yang diperlukan ialah kesediaan membawa apa yang kita tahu, belajar daripada orang lain dan bekerja bersama bagi sesuatu yang lebih besar daripada diri sendiri.
Masjid di kawasan Daerah Barat, atau District West, kini mengalu-alukan individu daripada pelbagai latar belakang profesional supaya menyertai LPM.
Jika anda mempunyai kemahiran, pengalaman atau perspektif yang boleh menyumbang kepada masyarakat, mungkin sudah tiba masanya bagi anda tampil dan bersama-sama melakar masa depan masjid.
SEKILAS
Permohonan dibuka dari 10 hingga 30 September 2026.
Mereka yang berminat boleh mendaftar melalui go.gov.sg/dw-bae-2027.
