Hampir 60 orang gelandangan, atau individu yang tinggal mahupun tidur di jalanan, telah diberi tempat berteduh sementara dalam ruang khas di sekurang-kurangnya empat masjid serata Singapura sejak 2020.
Golongan ini, yang kesemuanya warga Singapura, menerima sokongan seperti tempat tinggal untuk semalaman di salah satu ruang masjid dan mempunyai akses kepada keperluan asas seperti tilam, kemudahan mengecas dan tempat mandi.
Empat masjid ini adalah Masjid Kassim dan Masjid Al-Ansar, yang terletak di kawasan timur, serta Masjid Hang Jebat dan Masjid Assyakirin bagi kawasan barat.
Keempat-empat masjid tersebut adalah antara pertubuhan di bawah rangkaian Rakan Kerja Mendamping dan Memperkasa Gelandangan (Peers) – sebahagian daripadanya mengendalikan program tempat tidur selamat atau Safe, Sound Sleeping Places (S3P).
Namun hanya Masjid Assyakirin dan Masjid Hang Jebat yang masih menyediakan ruang khusus di bawah program S3P buat masa ini.
Peers dilancarkan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) pada 2019 untuk menghimpunkan MSF, agensi pemerintah lain dan rakan kongsi masyarakat, bagi membantu golongan gelandangan di sini.
Menteri Bertanggungjawab bagi Penyepaduan Perkhidmatan Sosial, Encik Desmond Lee, semasa Parlimen pada 25 September menukil rangkaian Peers sebagai contoh kerjasama pelbagai pihak bagi menyokong golongan gelandangan secara lebih berkesan dan mampan.
Beliau berkata pemerintah, masyarakat, relawan dan rakan kongsi korporat tidak boleh bertindak sendiri, tetapi harus bekerjasama sebagai rakan kongsi rapat.
Masjid Sultan merupakan masjid pertama dalam rangkaian Peers setelah menyertai rangkaian itu pada suku keempat 2019.
Menjawab pertanyaan Berita Harian (BH), MSF berkata terdapat 22 S3P yang beroperasi dan terdapat sekitar 100 individu yang menetap di S3P serata Singapura.
Menurut MSF, rakan kongsi S3P menyediakan tempat tidur bagi orang gelandangan dalam ruang yang selamat dan terlindung – lengkap dengan kemudahan asas seperti tilam, kabinet dan tempat mandi untuk mereka istirahat semalaman.
Pada masa yang sama, ia membolehkan rakan kongsi dan agensi perkhidmatan sosial mendekati individu ini, di samping mendorong mereka mendapatkan aturan perumahan yang stabil.
Pegawai pembangunan sosial Masjid Assyakirin di Taman Jurong, Ustaz Muhammad Hazim Mohamed Yasin, berkata masjid itu telah menempatkan sekitar 20 orang gelandangan secara keseluruhan.
Menurut Ustaz Hazim, masjid itu telah membuka pintu kepada orang gelandangan sejak suku kedua 2020, kerana ia “mengenal pasti keperluan bagi menyediakan ruang dan tempat teduh bagi individu yang terjejas dek Covid-19”.
Buat masa ini, masjid itu menempatkan empat orang gelandangan.
Antaranya ialah ‘Zak’ (bukan nama sebenar), ayah tiga orang anak berusia 54 tahun yang menetap di Masjid Assyakirin sejak Jun.
Ustaz Hazim berkata masjid itu berupaya menampung lima orang gelandangan pada satu-satu masa.
“Lazimnya, individu yang dirujuk ke masjid ini (oleh MSF) berada dalam lingkungan usia 30 hingga lewat 50-an tahun.
“Kami melihat jumlah orang gelandangan agak konsisten (secara tahunan) sejak kami memulakan usaha ini,” ujarnya yang berkata individu gelandangan menetap secara purata selama empat hingga enam bulan, sebelum mereka berpindah keluar selepas berhasil mendapatkan aturan perumahan yang stabil.
Aturan perumahan yang stabil ini merangkumi penempatan bersifat jangka panjang di bawah Skim Penyewaan Awam (PRS) yang meliputi inisiatif seperti Kemudahan Berkongsi Bilik Bujang (SRSF) dan Skim Berkongsi Flat untuk Orang Bujang Kendalian Pengendali (JSS-OR).
Menteri Pembangunan Negara, Encik Chee Hong Tat, dalam satu jawapan bertulis pada 26 September, berkata skim SRSF dan JSS-OR telah berkesan bagi menempatkan orang gelandangan.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Encik Abdul Muhaimin Abdul Malik, mengenai keberkesanan SRSF dalam menyokong orang gelandangan semasa sidang Parlimen baru-baru ini.
Menurut laman rasmi HDB, kedua-dua skim ini dikendali agensi perkhidmatan sosial yang dilantik untuk antara lain, mengurus penghuni dan memastikan mereka disokong perkhidmatan sosial.
Pemerhatian serupa turut dikongsi oleh pengurus Masjid Al-Ansar, Cik Annurah Ahmad, yang berkata tempoh paling singkat individu gelandangan menetap di masjid itu adalah selama tiga bulan, manakala paling lama adalah setahun.
Sejak menawarkan ruangnya kepada golongan gelandangan pada November 2021 bagi membantu mereka yang terjejas oleh Covid-19, masjid yang terletak di kawasan Bedok North Avenue 1 itu telah menerima 18 rujukan oleh MSF dan enam daripadanya ditempatkan di masjid itu, tambah beliau.
“Kami menyediakan keperluan asas kepada individu gelandangan ini dengan keperluan asas seperti peralatan mandi dan makanan ringan.
“Kemudahan mencuci baju, termasuk termasuk penggunaan mesin basuh dan pengering, juga disediakan untuk mereka.
“Individu yang memerlukan bantuan kewangan untuk menambah pendapatan mereka akan dirujuk ke Unit Pembangunan Sosial masjid bagi mendapatkan sokongan lanjut,” jelas Cik Annurah.
Katanya lagi, individu gelandangan terakhir telah keluar dari ruang masjid itu – yang dapat menampung lima individu pada satu-satu masa – pada 11 Februari 2024.
Pegawai Masyarakat di Masjid Kassim, Encik Muhammad Saifuddin Jumadi, pula berkata masjid itu telah menyokong dan menempatkan hampir 30 individu gelandangan sejak April 2020.
Beliau berkata masjid itu dapat menampung sehingga enam individu gelandangan pada satu-satu masa dan kesemuanya telah mendapatkan penempatan stabil.
Bagi Masjid Hang Jebat pula, ia mampu menampung dua orang gelandangan pada satu-satu masa.
Penolong Pengurus masjid itu, Ustaz Muhammad Haziq Mohamed Yasin, berkata meskipun keluasan masjid agak kecil, ia ingin “memainkan peranan aktif dalam menyokong keperluan masyarakat melalui inisiatif seperti S3P”.
Beliau berkata gelandangan terakhir yang meninggalkan masjid itu adalah pada 15 Mac 2024 dan secara keseluruhan, ia telah menempatkan enam orang gelandangan sejak membuka pintu kepada golongan tersebut pada Oktober 2021.
“Walaupun ia bukan satu huraian jangka panjang, ia berfungsi sebagai langkah sementara untuk membolehkan pegawai kebajikan sosial dan agensi berkaitan berusaha mencari penempatan yang lebih stabil untuk mereka,” ujarnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg