KUALA NERUS, TERENGGANU: Majlis konvokesyen lumrahnya adalah hari yang dinantikan graduan dan detik bahagia untuk dikongsi dengan seisi keluarga.
Namun rasa hiba pula menyelubungi bekas siswazah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Cik Haslina Kalang, sekeluarga.
Menurut akaun rasmi Facebook UniSZA, gadis 23 tahun itu menerima berita pemergian ayahnya, Allahyarham Kalang Tona, sekitar 10.30 pagi semasa menghadiri Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA ke-15 pada Isnin (6 November).
Cik Haslina merupakan graduan ijazah Sarjana Muda Hubungan Antarabangsa (Kepujian).
Beliau berkongsi kepada pihak universiti bahawa beliau sebenarnya berat hati untuk hadir majlis itu kerana risau keadaan ayahnya, yang menghidap angin ahmar.
Anak kedua dalam lima beradik itu menjelaskan: “Ayah suruh saya datang jugak konvokesyen dan dia nak saya naik ke pentas menerima ijazah”
“Saya tak sangka ayah pergi dulu sebelum saya naik ke pentas. Bagaimanapun saya kuat untuk naik juga sekejap menerima skrol.”
Beliau hadir ke majlis tersebut sambil ditemani kakak sulungnya.
Cik Haslina menambah beliau sempat berbakti kepada ayah dan menjaganya sepenuh masa selepas tamat belajar dan belum mendapatkan pekerjaan.
“Alhamdulillah, saya dapat berbakti kepada ayah dan saya redha dengan pemergian arwah di hari konvokesyen saya,” katanya.
Catatan Facebook itu menambah Cik Haslinda pulang ke kampung halaman di Tawau, Sabah sejurus selepas majlis itu untuk bersama ahli keluarga menerusi sumbangan RM2,500 ($725) daripada UniSZA.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg